Berita Baik dan Pilihanraya Umum ALIRAN Berita "Baik" dan Pilihanraya Umum

Jika Nujum Pak Belalang masih ada hari ini, dia sudah tentu meramalkan bahawa, berpandukan beberapa petanda, pilihanraya umum akan muncul tidak lama lagi.

Hati Pak Nujum sudah tentu tercuit apabila terdengar berita (baik) baru-baru ini bahawa pemerintah—setelah ia mengiktirafkan pengorbanan dan kesabaran para pekerja semasa ekonomi meruncing—sudah bersedia memberi ganjaran khas sebanyak RM600 kepada kakitangan sektor awam. Bukan itu sahaja, skim gaji pekerja badan berkanun seperti Bank Simpanan Nasional dan Tabung Haji akan diubahsuaikan mengikut perubahan ekonomi.

Tapi apa pula kaitannya dengan pilihanraya? Mungkin ada di antara kita tertanya-tanya. Nujum Pak Belalang sedia maklum bahawa seperti biasa, dan bagi kebanyakan parti yang memerintah, gambaran yang ingin disampaikan oleh pihak pemerintah lebih-lebih lagi pada waktu sebelum pilihanraya ialah ia amat berdamping rapat dengan rakyat jelata, sentiasa peka terhadap keperluan hidup mereka. Dengan kata lain, tiada jurang di antara rakyat dan pemerintah. Atau kalau boleh kita meminjam slogan pemerintah BN, pemimpin bersama rakyat.

Satu lagi perkembangan yang berpotensi menghasilkan berita "baik" kepada khalayak ramai ialah pemaparan media arus utama mengenai apa yang dicanang-canangkan sebagai lonjakan indeks saham KLSE. Satu lagi gejala ekonomi terbaru ialah penjualan bon bernilai AS$1 bilion yang diheboh-hebohkan sebagai menarik minat yang tinggi di kalangan pelabur asing (walaupun penjualan bon ini sebenarnya—dan pelik sekali— dipotong setengah dari nilai yang disasarkan, iaitu AS$2 bilion). Kedua-dua perkembangan ekonomi ini adalah, Pak Nujum kita akan berhujah, untuk memberi gambaran kepada rakyat jelata bahawa ekonomi negara sedang dalam proses pemulihan dan, seterusnya, menunjukkan strategi ekonomi yang digunakan pemerintah adalah berkesan.

Selain dari itu, ada stesyen TV nampaknya "beria-ia" menerbitkan program baru kononnya bertujuan untuk memberi ruang bagi penonton dan rakyat Malaysia meluahkan perasaan mengenai satu-satu isu. Ini adalah satu berita "baik' yang boleh membantu pihak pemerintah membina satu gambaran bahawa ia sentiasa peka terhadap perasaan dan keinginan rakyat jelata, dan juga bersikap demokratik.

Di samping itu, sudah mencul beberapa klip video yang mengingatkan kita tentang sumbangan parti BN terhadap pembangunan negara selama ini; dan juga tentang betapa pentingnya kestabilan negara (yang dijanakan, kononnya, oleh parti pemerintah) kepada pembangunan dan kesejahteraan negara.
Akhir sekali, satu petanda yang menunjukkan hari pilihanraya akan muncul tiba tidak lama lagi ialah berita "baik" (dari kacamata pihak pemerintah dan penyokongnya) mengenai "percakaran politik" dalam barisan parti pembangkang. Sudahpun tertera di dada akhbar pro-BN berita mengenai "pertelingkahan" antara, misalnya, DAP dan Parti KeADILan.

Pak Nujum dan pemerhati politik tanah air sudah tentu sedia maklum bahawa "masalah politik" di kalangan parti pembangkang mudah menjadi "bahan makanan" media arus utama di negara kita. Oleh sebab itulah pentingnya bagi para pemimpin barisan pembangkang bersikap "media savvy" apabila berhadapan dengan "serangan ideologi" parti pemerintah melalui jentera medianya. Ini bermakna jika benar wujud perselisihan pandangan di antara parti pembangkang, masalah ini perlu ditangani secepat mungkin dan dengan cara yang tidak boleh membuat pihak media arus utama (dan juga parti pemerintah) senang "tergiur".

Sebenarnya, Nujum Pak Belalang kita juga mungkin menaruh harapan dalam ramalannya mengenai kesudahan pilihanraya umum akan datang: agar keadilan, kebenaran dan ketelusan menang.

Sumber: ALIRAN (5 Jun 1999)