ALIRAN Pak Menteri dan Kebertanggungjawapan

Prinsip kebertanggungjawapan (accountability) adalah amat penting dalam arena politik kerana ahli politik, lebih-lebih lagi mereka yang bertaraf menteri, diamanahkan oleh rakyat yang memilih mereka dalam pilihanraya umum untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu demi kebajikan dan kesejahteraan orang ramai.

Dengan kata lain, pak menteri harus dipertanggungjawabkan kepada umum, lebih-lebih lagi jika berlaku sesuatu penyelewengan atau kelalaian pada diri pak menteri berkenaan dalam tugas sehari-hariannya, kerana tindak-tanduk beliau akhirnya boleh mencetuskan pembaziran wang rakyat dan kadangkala juga meragut nyawa rakyat. Pendek kata, kebertanggungjawapan juga berperanan untuk mengingatkan pak menteri supaya jangan bersikap angkuh dan alpa.

Pelaksanaan prinsip kebertanggungjawapan ini lazimnya—dalam konteks negara lain—mengakibatkan perletakan jawatan pak menteri yang berkenaan. Ini berlaku sekiranya, misalnya, kecuaian beliau sebagai ketua kepada kementerian berkenaan telah mengakibatkan kemelaratan, kematian atau kecederaan serius sebilangan ahli masyarakat berkenaan.

Itulah sebabnya kita rasa tidak sedap hati setelah terbaca artikel tulisan seorang insan bernama Syed Akbar Ali di sebuah akhbar arus utama hari ini. Antara lain, beliau berhujah, "In Japanese politics if anything goes wrong, someone resigns in shame. If a plane crashes, the Minister of Transport may resign. We do not know how this can solve a problem but they can afford to do this because they have a larger pool of talented manpower. We do not have such luxuries." (Terjemahan: Dalam politik Jepun jika sesuatu yang tidak baik berlaku, seseorang itu akan meletakkan jawatannya kerana malu. Jika sebuah kapal terbang terhempas, Menteri Pengangkutan mungkin letak jawatan. Kita tidak tahu bagaimana ini boleh menyelesaikan masalah tetapi mereka mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian kerana mempunyai bilangan tenaga manusia yang berkaliber yang banyak. Kita tidak ada "kemewahan" ini.) Tetapi yang peliknya ialah di perenggan seterusnya Syed Akbar kelihatan sedar akan bahaya yang ada jika dibiarkan seseorang pemimpin berpaut pada kedudukannya terlalu lama.

Inilah satu contoh menunjukkan orang seperti Syed Akbar ini nampaknya tidak begitu menghargai prinsip kebertanggungjawapan ini. Persoalan sama ada kita mempunyai cukup tenaga manusia untuk membiarkan seseorang itu meletakkan jawatan tidak timbul langsung. (Apakah negara kita ketandusan pemimpin yang berwibawa?) Apa yang perlu ditekankan di sini ialah jawatan seperti menteri itu harus diambil perhatian berat oleh semua orang kerana implikasi dari tindakan atau polisi pak menteri berkenaan menimbulkan kesan yang bakal dirasai oleh rakyat jelata.

Perletakan jawatan mungkin kurang kita saksikan di negara kita, tetapi ini merupakan satu "budaya politik" yang tidak asing bagi ahli politik di negara lain seperti Jepun, India, Britain, Itali, Sweden, Perancis dan Amerika Syarikat. Tindakan meletakkan jawatan menimbulkan beberapa persoalan yang penting. Salah satunya ialah ia menunjukkan pak menteri berkenaan tahu dan peka terhadap prinsip kebertanggungjawapan.

Satu lagi elemen yang tidak kurang penting yang tersemat pada tindakan meletakkan jawatan ialah perasaan malu. Malu mempunyai nilai sosial yang penting yang boleh menghindar seseorang itu berbuat jahat, ataupun menentukan seberapa yang boleh perkara yang tidak baik atau sumbang tidak akan berulang lagi. Perasaan malu juga menandakan keupayaan seseorang mengaku kesilapan yang telah dilakukan, dan seterusnya cuba menyelamatkan harga dirinya.

Ya, perletakan jawatan pak menteri tidak semestinya dapat menyelesaikan sesuatu masalah, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membina satu budaya politik yang menggalakkan pak menteri bersikap lebih etikal, bertanggungjawab dan menjaga maruahnya.

Kalau tidak, kita akan sentiasa menyaksikan ramai pak menteri di negara kita khususnya yang berpaut pada jawatan mereka seolah-olah nyawa mereka bergantung kepada jawatan mereka, dan tanpa mempedulikan sama ada hakisan tanah berlaku di tepi jalanraya yang menyebabkan kemalangan manusia; jatuhnya bangunan apartmen disebabkan tanah runtuh; terhempasnya kapal terbang; merebaknya virus "JE" dan nipah; atau munculnya "jerebu". Pak menteri tetap berdiri tegak dengan jawatannya sehinggalah pada satu hari mereka disingkirkan dari jawatan berkenaan kerana tindak-tanduk mereka tidak dapat ditanggung lagi oleh jemaah menteri.

Sumber: ALIRAN (12 Jun 1999)