ALIRAN Antara Mengajar Kebenaran dan Kepalsuan

Lidah pengarang New Sunday Times hari ini yang bertajuk "Semaikan ilmu, bukan kebencian" ("Sow knowledge, not hatred") mengekori, dan memberi penekanan yang lebih kuat lagi, kritikan Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi terhadap sekumpulan tenaga pengajar sekolah dan universiti yang dicapkan sebagai anti-pemerintah.

Hujahan yang diutarakan oleh editorial akhbar arus utama ini pada asasnya bertujuan menyemaikan perasaan benci dan marah orang ramai terhadap sebilangan tenaga pengajar berkenaan. Tetapi malangnya editorial ini pada keseluruhannya hanya berjaya menonjolkan kekeliruannya, kalau tidak kecetekan fahamannya, mengenai ilmu dan peranan pengajar.

Ilmu, seperti yang kita tahu, penting dalam kehidupan seseorang kerana secara idealnya ia membantu seseorang itu mempertingkatkan martabatnya sebagai seorang manusia dan ahli masyarakat yang berguna. Dan tidak kurang pentingnya ialah ilmu juga bertujuan membebaskan diri seseorang itu dari cengkaman jahiliah, prasangka dan fikiran kolot lagi mengongkong.

Tanggungjawab murni tenaga pengajar sama ada di sekolah maupun universiti rata-rata ialah membina semangat ingin tahu dan juga keupayaan yang tinggi untuk memisahkan kebenaran dari kebatilan di kalangan anak murid mereka. Itulah sebabnya dalam aspek ini kita sealiran dengan hujahan editorial ini yang berbunyi, "They (lecturers and teachers) must instil into the young the habit of impartial inquiry. They should judge issues on their merits, not allegations and prejudices." (Terjemahan: Mereka (pensyarah dan guru) mesti menanamkan tabiat ingin selidik secara bebas di kalangan muda mudi. Mereka sepatutnya menentukan isu-isu berdasarkan fakta, bukan dakwaan dan prasangka.)

Sudah tentunya pengajaran yang berkesan—yang selari dengan "kepentingan negara" serta matlamat pembinaan negara—bukan sekadar melibatkan anak murid semata-mata menghafal nota-nota yang dicurahkan kepadanya oleh pengajar, atau menerima bulat-bulat apa yang diluahkan guru tanpa apa-apa persoalan. Proses pengajaran dan pembelajaran sudah tentunya merangkumi usaha membina semangat ingin tahu dan menyoal. Melainkanlah jika kita merancang untuk menghasilkan robot remaja yang boleh dikawal melalui remote control.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah, tabiat ingin tahu dan menyoal ini di kalangan pelajar amat perlu digalakkan, tidak kira sama ada parti Barisan Nasional atau parti lain yang memerintah negara ini. Proses pembelajaran ini penting kerana inilah caranya untuk membina sebuah generasi muda yang mencintai dan mementingkan fakta, kebenaran, keadilan, kemajuan intelek dan moral tinggi. Inilah juga kaedahnya untuk kita cuba mencapai kecemerlangan akademik dan intelek dalam masyarakat kita.

Generasi ini seharusnya berkeupayaan mengenepikan tohmahan, fitnah dan dakwaan melulu sepertimana yang terdapat tidak lama dahulu di kebanyakan dada akhbar arus utama. Generasi seperti inilah yang bakal menjadi "tiang" kuat yang akan membantu mendiri sebuah masyarakat yang maju lagi berhemah tinggi.

Kita juga sedia maklum bahawa pengajaran akademik yang berkesan ialah pengajaran yang bertapak di alam nyata. Misalnya, apalah maknanya pengajaran moral kepada anak murid sekiranya tenaga pengajar membisu seribu bahasa mengenai tindakan yang tidak bermoral yang dilakukan oleh sekumpulan pemimpin. Bolehkah pengajar berdiam diri jika dia terlihat fitnah yang ditabur di merata-rata tempat dalam masyarakat kita? Dan seterusnya, perlukah pengajar ini dilabelkan sebagai "penghasut" dan "anti-pemerintah"?

Integriti dan maruah tenaga pengajar bukan sahaja diukur dari segi kemampuannya menabur ilmu di kalangan anak muridnya, tetapi juga kesanggupannya menegur apa yang dirasakan salah dan sumbang yang berlaku dalam masyarakatnya. Lagipun, kita harus sedar bahawa tenaga pengajar sepatutnya tidak berperanan sebagai tukang karut (spin doctor).

Sumber: ALIRAN (13 Jun 1999)