ALIRAN Aliran: Fokus Pilihanraya

Melucahkan Reformasi?

Rencana Zulkiflee Bakar yang tersiar dalam Mingguan Malaysia keluaran 3 Julai 1999 yang bertajuk, "Era reformasi sukakan lucah", menimbulkan beberapa tanda tanya khususnya kepada pembaca yang ingin mengetahui apakah niat atau motif sebenarnya di sebalik penerbitan tulisan tersebut, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat kita yang sedang mengalami angin perubahan.

Untuk kepentingan mereka yang tidak berkesempatan untuk membaca akhbar tersebut, kita perturunkan sedikit petikan dari rencana itu sebagai memberi gambaran kasar apa yang telah ditulis:

"Seorang teman dari Malaysia telah menghubungi saya minggu lalu bertanyakan kebenaran berita bahawa pelakon terkenal Indonesia, Sophia Latjuba berbogel.
"Menurut teman saya itu yang juga seorang peminat Internet, dia hanya melihat cover majalah yang memaparkan seolah-olah Sophia berbogel.

"Sebenarnya saya tidaklah terkejut dengan pertanyaan teman saya itu kerana beberapa hari sebelum itu saya juga sudah ditawarkan untuk membeli beberapa buah majalah yang memaparkan aksi-aksi wanita yang cukup mengghairahkan."

Mungkin di sini ada pembaca Mingguan yang tertanya-tanya, adakah penulis Zukiflee bertujuan untuk memberitahu kepada sidang pembaca di Malaysia bahawa beliau selalu dikerumuni rakan-rakan yang dahagakan bahan bacaan seks? Atau, adakah beliau sendiri mungkin mudah "terdedah" kepada beberapa majalah dan akhbar Indonesia yang berunsur lucah? Adakah ini mesej yang ingin disampaikan? Tidak mungkin, malah tidak munasabah.

Jadi apa yang dapat kita syaki ialah tulisan Zulkiflee ini bertujuan— dengan cara halus—menconteng arang ke atas pergerakan reformasi di Indonesia dan, seterusnya, membendung angin reformasi di negara kita yang dicintai. Pendek kata, memburuk-burukkan pergerakan reformasi. Ini juga bermakna rencana itu berusaha untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia pada keseluruhannya tentang apa yang disifatkan sebagai bahaya dari kegiatan reformasi seperti di Indonesia.

Salah satu risiko yang muncul ekoran dari pergolakan reformasi di Indonesia, mengikut hujahan Zulkiflee, ialah penekanan terhadap kebebasan media yang mutlak. Kebebasan yang kononnya berakhir dengan kemunculan majalah dan akhbar murahan yang mendedahkan badan bogel model dan pelakon. Bukan itu sahaja, rencana itu menghujah bahawa suasana yang amat liberal itu boleh juga mengakibatkan segolongan pelajar universiti—barisan pemimpin negara masa depan -- terjebak dalam kancah seks dan perbogelan.

Gambaran ini sudah cukup untuk membuat kita berhenti sejenak memikirkan hal yang berkaitan dengan reformasi. Salah satu perkara yang boleh ditimbulkan ialah, benarkah golongan cendiakawan, pelajar, budayawan, ahli politik, ahli agama, dll. yang bekerja keras untuk menjayakan projek reformasi di Indonesia inginkan, antara lain, kebebasan media yang mutlak hingga menghalalkan pembogelan wanita dan artis terkenal di media arus utama? Tidak masuk akal, dan tidak mungkin.

Lagipun, dalam mana-mana proses perubahan sosial, ada pihak (seperti majalah murahan) yang sudah tentu akan cuba mencari kesempatan untuk meraih keuntungan sebanyak mungkin melalui apa cara pun. Dengan kata lain, janganlah disebabkan nila setitik susu sebelanga menjadi rosak.

Kita percaya ramai di kalangan cendiakawan, pelajar, dsb. di Indonesia menginginkan media yang bukan sahaja bebas tetapi juga bertanggungjawab. Kebebasan yang membolehkan pelbagai pendapat dari pelbagai golongan dalam masyarakat dapat disuarakan demi mendirikan keadilan sosial. Kebebasan yang membolehkan rakyat menentukan pemerintah tidak menipu atau menyalahgunakan kuasa dan wang rakyat. Kebebasan yang boleh menjamin demokrasi tulen berakar di dalam masyarakat. Kebebasan jenis ini (yang tidak mutlak) sudah tentunya dapat membenteras kecenderungan sesetengah pihak yang kononnya ingin membelakangkan "tatasusila kemanusiaan".

Mungkin Sdr Zulkiflee dan rakan-rakannya perlu juga diingatkan bahawa kelucahan dalam media khususnya dan masyarakat amnya boleh hidup dan berkembang tanpa menerima tiupan angin reformasi. Tidak berapa lama dahulu media arus utama di negara kita begitu ghairah sekali menonjolkan gambar tilam yang dibawa keluar masuk kamar mahkamah. Tilam ini, warga Malaysia diberitahu hampir setiap hari, ialah tempat di mana terdapatnya percikan air mani seorang bekas timbalan perdana menteri.

Bukan itu sahaja. Media arus utama (bukan media picisan dan kecilan) seolah-olah memberi kelas bimbingan seks kepada rakyat jelata tentang istilah seperti liwat, melancap, dubur, dll. Kesemua wacana seks ini tidak diiringi gambar lucah, tetapi mungkin sekadar cukup untuk menaikkan nafsu seks sesetengah warga Malaysia.

Tujuan kita di sini mendedahkan dua bentuk kelucahan media bukanlah berniat untuk mengatakan tidak ada salahnya memperdagangkan pembogelan dan kelucahan. Dengan kata lain, two wrongs do not make a right. Apa yang ingin disampaikan di sini ialah pertama, kelucahan boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Kedua, kelucahan media boleh berlaku tanpa mendapat galakan apa-apa pergerakan reformasi. Dan akhir sekali, kelucahan dan kebebasan media yang mutlak bukanlah merupakan prioriti golongan reformis.

Seperkara lagi, menonjol dan menitik-beratkan aspek perubahan yang dialami oleh reformis Indonesia yang berkisar pada faktor kelucahan akan mendedahkan diri kita kepada kecaman bahawa kita sendiri terperangkap dalam kewartawanan murahan. Penulisan yang berpandukan nilai-nilai rohaniah dan kemanusiaan boleh membantu kita membezakan apa yang benar daripada apa yang batil, apa yang baik daripada apa yang buruk. Inilah juga cara kita berikhtiar untuk meningkatkan martabat manusia.

Sumber: ALIRAN (5 Julai 1999)