Perjuangan Hak Manusia
Persoalan hak asasi manusia di dunia ini lazimnya membabitkan hal rakyat jelata memperjuang dan mempertahankan hak mereka sebagai segolongan manusia apabila berhadapan dengan apa yang disifatkan sebagai pencabulan atau penghakisan hak mereka oleh golongan dominan seperti pemerintah.
Misalnya, kebebasan untuk meluahkan perasaan dan pandangan yang seharusnya berada di tangan rakyat jelatalebih-lebih lagi dalam masyarakat madanitelah dibendung oleh golongan pemerintah. Atau, hak seseorang itu untuk memilih mana-mana parti politik (selain dari parti yang memerintah) serta ideologinya dikongkong oleh parti pemerintah.
Sesungguhnya pencabulan seperti ini wujud di merata tempat di dunia ini.
Namun kebiasaan amalan ini tidak harus diterima sebagai satu macam rukun hidup, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menghargai hak mereka dan martabat mereka sebagai manusia yang berfikiran dan bertamadun.
Itulah sebabnya berlandaskan keadaan dan pengalaman sejagat ini, ramai di kalangan rakyat Malaysia sudah tentunya merasa hairan, kalau tidakpun terkejut, apabila pemerintah Malaysia mengumumkan baru-baru ini hasratnya untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Hak Manusia. Seperti yang telah dinyatakan di atas, pengalaman sejagatmenunjukkan rakyat jelatasama ada dalam sejarah Eropah maupun Amerika Syarikatterpaksa berjuang (melalui cara fizikal atau/dan intelek) untuk mencapai dan memajukan hak asasi manusia mereka. Dengan kata lain, jarang sekali hak manusia "dianugerahkan" oleh golongan pemerintah kepada rakyat jelata.
Dalam kes Malaysia, persoalan hak manusia selalunya lebih mengingatkan kita tentang usaha-usaha golongan pemerintah mengikis sedikit demi sedikit hak manusia di kalangan rakyat. Contohnya, selain dari membendung kebebasan berkumpul dan berpersatuan, pemerintah juga masih menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang terang-terang mencabuli hak asasi dan lunas-lunas demokrasi; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang mengongkong kebebasan media massa dan bersuara; dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang juga menyempitkan ruang untuk mendapatkan maklumat.
Jadi sudah tentunya usaha pemerintah untuk memperkenalkan rang undang-undang yang berkaitan dengan penubuhan Suruhanjaya Hak Manusia di Parlimen baru-baru ini diterima khalayak dengan hati yang berdebar-debar. Adakah pemerintah sudah "bertaubat" dan benar-benar mengiktirafkan keperluan dan kepentingan rakyat dari segi hak asasi mereka? Atau, adakah terdapat niat yang tersirat di sebalik pengumuman penubuhan Suruhanjaya ini?
Ada juga pihak yang mencadangkan bahawa mungkin pilihanraya akan datang merupakan faktor yang mendesak pemerintah memajukan idea Suruhanjaya ini sebagai taktik untuk memancing undi orang ramai. Dengan kata lain, satu bentuk "PR exercise". Kekhuatiran ini menjadi begitu mendadak setelah pihak pemerintah bersikap "merahsiakan" (secretive) apabila cuba memperkenalkan rang undang-undang tersebut. Orang ramai tidak diberikan kesempatan untuk mendapatkan rang undang-undang itu dan sejurusnya memperdebatkan apa yang terkandung dalamnya.
Seperkara lagi, kekhuatiran mencengkam diri kita apabila pemerintah berusaha menggariskan bidang kuasa Suruhanjaya yang bakal didirikan itu. Apakah motfinya ini? kita akan tertanya-tanya. Tidakkah lebih baik sekiranya golongan yang lebih berwibawa dan tidak berkepentingan seperti Majlis Peguam, pertubuhan-pertubuhan yang memajukan hak asasi manusia, dll. diberikan peluang untuk memperdebatkan isu penting ini dan lantas mencadangkan bidang kuasa satu Suruhanjaya yang bebas?
Keahlian Suruhanjaya ini juga penting dibicarakan oleh golongan di atas untuk memastikan ianya betul-betul bebas, bertaring, dan berwibawa. Jika tidak, Suruhanjaya ini akan hanya dilihat sebagai usaha pemerintah melepaskan batuk di tangga, dan juga sebagai satu usaha memancing undi. Lebih teruk lagi jika badan ini dipandang oleh orang ramai sebagai satu boneka pemerintah.
Sesungguhnya sesebuah badan seperti Suruhanjaya Hak Manusia tidak boleh dijadikan mainan pilihanraya kerana ia melibatkan persoalan penting, khususnya maruah manusia dan martabat negara di mata dunia. Dan yang tidak kurang pentingnya ialah hal ini melibatkan persoalan amalan demokrasi di negara kita yang dicintai ini.
Sumber: ALIRAN (23 Julai 1999)