Pragmatisme lawan Emosi
Dalam usahanya memancing undi komuniti etnik Cina, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memuji sikap "pragmatis" mereka sambil mencemuh komuniti etnik Melayu kerana kononnya bersikap "emosional" dalam menghadapi realiti dan masalah masyarakat masa kini.
Ramai yang merasakan penghinaan itu dilemparkan ke atas masyarakat Melayu manakala komuniti Cina "dianugerahkan" oleh Mahathir martabat agung.
Tetapi hakikatnya ialah kedua-dua komuniti menerima impak yang negatif dari teguran Mahathir tersebut. Ini kerana ungkapan "pragmatis" dalam konteks masyarakat Cinayang dikatakan menghargai "kestabilan politik" dan kemakmuran hidupmelambangkan satu sikap mementingkan diri sendiri (selfishness). Sikap yang tidak memikirkan persoalan yang lebih besar dan memberi kesan kepada masyarakat lebih luas dalam negara kita. Dan, sikap mementingkan diri sendiri ini tidak mengira cara apakah "kestabilan politik" itu diperoleh pihak pemerintah; asalkan periuk nasi terjaga, cukuplah.
Kecaman bahawa orang Melayu itu "emosional" menimbulkan gambaran satu kelompok manusia yang tidak berupaya berfikir secara rasional dan matang. Mengikut sedap hati saja tanpa mengira implikasi sosial and politik jangkamasa panjang bagi masyarakat Melayu khususnya dan negara amnya. Berdemonstrasi dan mengkritik pemerintah, mengikut pandangan ini, adalah sebahagian dari perbuatan dan sikap yang tidak memerlukan pemikiran yang mendalam.
Soalan asas di sini ialah adakah benar komuniti Cina ini begitu menonjol sekali sikap mementingkan diri sendiri? Adakah ini bermakna secara biologi dan budaya komuniti Cina diperbesarkan melalui nilai mementingkan diri sendiri ini? Kalau sejenak kita angkat andaian ini, di manakah dapat kita tempatkan orang-orang yang prihatin seperti Guan Eng dan Tian Chua, antara lain? Adakah mereka ini terlalu kecil bilangannya dalam masyarakat Cina hingga cukup menyandang kategori pengecualian atau exceptional?
Tentang keemosionalan orang Melayu pula, adakah masyarakat Melayu tidak berkemampuan untuk bersikap rasional? Tidakkah terdapat pemimpin politik, sekurang-kurangnya di masa dulu, yang berkaliber dan dinamis untuk memerintah negara ini sejak Merdeka lagi? Adakah Melayu semulajadinya tidak berkeupayaan untuk bersikap rasional dan bijak? Tidakkah terdapat perubahan yang positif sejak (atau sebelum) lahirnya buku Malay Dilemma di mana orang Melayu dilakarkan sebagai tidak berkebolehan dan tertinggal belakang khususnya dari segi ekonomi? Dan jika ini benar, adakah ini bermakna pemerintahan Mahathir telah gagal menggerakkan orang Melayu bersikap lebih positif lagi?
Dan dalam keghairahan menconteng arang ke atas komuniti Melayuyang sebilangan ahlinya dilihat sebagai tidak tahu terhutang budi kepada pemerintahpemerintah juga turut mengheret dan menyelar pelajar Melayu di universiti yang dikatakan lemah prestasi akademik mereka kerana terlalu "melibatkan diri dalam politik."
Satu soalan menonjol di sini: adakah kegagalan sebilangan pelajar Melayu untuk mendapat kecemerlangan akademik semata-mata disebabkan "penglibatan politik" mereka? Tidakkah mungkin ada faktor lain yang tidak kurang pentingnya dalam menentukan kedudukan akademik mereka? Seperkara lagi, tidakkah cemuhan terhadap pelajar universiti ini timbul ekoran dari kebangkitan kesedaran politik pelajar universiti yang tidak senang hati dengan ketidakadilan yang wujud dalam masyarakat dewasa ini?
Lagipun, pelajar dari komuniti etnik lain juga ada yang gagal meraih kecemerlangan akademik mereka. Ini bukanlah mencadangkan two wrongs make a right. Tapi sekadar mengingatkan kita kelemahan, seperti kekuatan, akademik tidak "dibolot" oleh satu-satu komuniti.
Dengan kata lain, dakwaan yang cuba mengaitkan kelemahan atau keburukan dengan faktor keturunan adalah satu tindakan yang tidak berasas. Malah ia membayangkan satu bentuk pemikiran yang berbau perkauman, satu-satu pemikiran yang boleh menimbulkan perasaan keluh kesah serta merenggangkan hubungan antara komuniti yang wujud dalam masyarakat kita.
Sesungguhnya melepaskan pandangan seperti ini boleh dianggap oleh orang lain sebagai satu tindakan yang kurang rasional; sesuatu lafazan yang emosional.
Sumber: ALIRAN (27 Julai 1999)