Aliran: Fokus Pilihanraya
Kredibiliti, Media Arus Utama, dan Menteri Penerangan
Kredibiliti merujuk kepada kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap seseorang, barangan atau perkhidmatan. Kredibiliti, yang lazimnya tidak boleh atau tidak sepatutnya dijual beli, penting lebih-lebih lagi bagi institusi dan individu yang mana peranan mereka begitu menonjol dalam masyarakat.
Bagi seseorang individu yang ternama, misalnya, kredibilitinya diukur sama ada terdapat jurang antara apa yang dikata dan apa yang dikotakan. Pendek kata, kita ingin tahudalam bahasa pasarnyasama ada "cakap tak serupa bikin".
Jika kita ambil hal media arus utama pula, kredibilitinya sudah tentu bergantung kepada sejauh mana ia berusaha bersikap adil, saksama, dan objektif dalam pemberitaannya. Ini bermakna media yang mempunyai profesionalisme, etika tinggi dan "bisikan kalbu" (conscience) akan memastikan semua pihak yang terlibat dalam satu-satu isu atau perkara akan diberi peluang untuk memberikan pandangan mereka.
Tidak kurang penting dalam hal memperkatakan kredibiliti media ialah kita juga ingin tahu sejauh manakah media berani membuat laporan tanpa takut atau rasuah demi menegakkan keadilan sosial. Media yang berwibawa harus mempunyai iltizam ini kerana ia sudah tentu sedar bahawa kredibiliti yang dihargai itu hanya dapat diperolehi setelah ia menjalankan tugasnya dengan baik.
Jadi kita berasa sesuatu yang tidak kena apabila baru-baru ini Menteri Penerangan Khalil Yaakob dilaporkan (New Straits Times, 27 July 1999) sebagai mempertahankan kredibiliti media arus utama seperti Berita Harian, New Straits Times, Utusan Malaysia dan TV3 dengan mendakwa bahawa laporan media ini adalah objektif. Katanya lagi, media ini tidak semestinya menyokong Barisan Nasional dalam pemberitaannya, tetapi sekadar memastikan kejayaan, perancangan dan dasar pemerintah dijelaskan sebaik mungkin kepada khalayak ramai.
Seperti yang telah dijelaskan di atas, kredibiliti hanya boleh dicapai setelah orang ramai merasakan pihak yang berkenaan telah menunjukkan kewibawaannya melalui profesionalisme dan tanggungjawab yang telah dipikul dengan sebaik mungkin. Dengan kata lain, orang ramailah yang seharusnya mempunyai hak untuk menghakimi sama ada media arus utama mempunyai kredibiliti atau tidak; sama ada media ini bersikap objektif dan adil atau tidak. Tiada siapa, termasuk pak menteri, yang boleh "menyogok" kredibiliti media kepada orang ramai. Dengan kata lain, dalam bahasa Inggerisnya, credibility has to be earned.
Yang meragukan lagi ialah orang yang cuba "menjual" kredibiliti media arus utama ialah pak menteri yang tidak berapa lama dahulu menetapkan RTM tidak akan memberi ruang kepada parti pembangkang dalam kempen pilihanraya akan datang kerana "RTM dalam tangan kerajaan". Lafazan ini membayangkan ketidakupayaan atau keengganan pak menteri itu untuk diyakini bahawa RTM adalah harta pembayar cukai atau rakyat, bukan harta BN, dan oleh itu parti politik yang lain harus mempunyai tempat di RTM. Jadi, sejauh manakah dapat kita percayai "jaminan" pak menteri ini tentang kredibiliti media arus utama bila kredibiliti dirinya sendiri terumbang ambing?
Kesenyapan media arus utama mengenai hal ini begitu menonjol sekali. Adakah "silence is golden", atau adakah silence membayangkan media itu sedar akan kredibilitinya yang goyang pada masa kini. Kalau tidak, takkan sebilangan rakyat Malaysia ingin memboikot, kalau tidakpun membakar, beberapa akhbar arus utama tempatan? Atau adakah mereka yang menganjurkan pemboikotan akhbar ini bersikap "terlalu emosional"?
Adakah sebilangan rakyat itu begitu emosional jika akhbar yang dulunya mereka minati telah berperanan sebagai akhbar parti (party organ) BN, yang lazimnya memajukan pandangan dan ideologi parti yang memerintahdan tidak mengambil kisah sangat tentang apa yang diperkatakan oleh parti lawan? Sayugia diingatkan, akhbar parti lazimnya mementingkan hal parti berkenaan daripada parti lawan kerana memang itu fungsi utama akhbar parti. Tapi apa yang dikesali ialah kebanyakan media arus utama "menyorok" di belakang jenama syarikat media seolah-olah ianya adalah media bebas (independent), dan bukan lidah parti pemerintah.
Seperti maruah atau harga diri seseorang, kredibiliti mediakhususnya media arus utamatidak boleh dijual beli. Dan tidak kurang pentingnya, orang ramai tidak boleh dipaksa mempercayai kredibiliti media, lebih-lebih lagi jika kredibiliti ini disogokkan melalui political or administrative fiat.
Sumber: ALIRAN (31 Julai 1999)