Berita racun yang amat membimbangkan

Baru-baru ini (27 September 1999) akhbar pro-pemerintah Berita Harian menghidangkan secebis berita di halaman pertamanya yang mengisahkan satu kajian yang dilakukan oleh seorang profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Sukiman Sarmani, terhadap kadar arsenik di negara kita yang tercinta ini.

Mengikut laporan itu, kajian yang dilakukan terhadap sekumpulan 12 orang sihat secara berterusan sejak 12 September ini menunjukkan kandungan arsenik mereka yang tinggi, "iaitu purata 200 hingga 600 mikrogram bagi setiap liter air kencing (ug/L)".

Laporan akhbar arus perdana itu (yang seolah-olah disediakan untuk membantu orang ramai memahami dengan mendalam isu racun arsenik ekoran dari dakwaan Anwar bahawa beliau diracuni arsenik baru-baru ini) seterusnya mencadangkan bahawa "Kajian ini bertujuan mendapat gambaran lebih tepat berhubung kandungan purata arsenik penduduk negara ini."

Apa yang harus membimbangkan kita ialah bagaimana kajian terhadap 12 orang itu dapat mencerminkan realiti tentang kedudukan racun arsenik di kalangan penduduk di negara ini? Dengan kata lain, bolehkah kumpulan kecil ini mewakili jutaan manusia yang duduk di negara kita? Adakah sampel ini cukup representative? Kalau tidak, pengkaji berkenaan perlu memberi penjelasan lanjut tentang kajian yang baru dilakukan ini. Sekurang-kurangnya untuk menjaga kredibiliti beliau sebagai ahli sains yang profesional.

Sebaliknya, jika kajian ini benar-benar mencerminkan keadaan kesihatan dalam masyarakat kita masa kini, kita sudah tentunya harus merasa amat bimbang kerana kita semua adalah pembawa racun arsenik paras tinggi yang terdapat di bumi ini. Dengan kata lain, Malaysia ini tidak lagi selamat bagi kita semua, tak kira sama ada pak menteri atau orang biasa. Nampaknya hujah yang mengatakan duduk di rumah sendiri (lebih-lebih lagi yang bersaiz besar) lebih selamat dari duduk di dalam penjara tidak boleh dipakai lagi.

Jika inilah status kesihatan kita, sudah tentunya kita ingin tahu apakah yang selama ini dibuat oleh pihak berkuasa untuk memastikan keracunan jenis ini tidak mencapai tahap yang begitu merbahaya. Tidakkah pihak berkenaan harus dipertanggungjawabkan kerana lalai menjaga keselamatan kesihatan warga Malaysia?

Dan seterusnya, tidakkah hal yang begitu mendebarkan dihebahkan secepat dan seluas mungkin oleh media massa arus perdana sebagai memberi amaran kepada rakyat jelata? Kenapakah kebanyakan media massa nampaknya diam membisu dalam hal ini? Tidakkah ini menjadi satu tanggungjawab sosial media berkenaan untuk memberitahu rakyat hal arsenik yang amat meracunkan itu? Tidakkah boleh kita bayangkan betapa sibuknya para wartawan dan editor yang berwibawa memberi laporan terkini tentang krisis racun ini yang telah merebak ke seluruh negara? Tidakkah boleh kita bayangkan pelbagai gambar mangsa racun yang disiarkan sepenuh halaman akhbar bagi tatapan kita semua? Dan sudah tentunya para menteri yang mesra rakyat akan meluahkan perasaan terharu mereka mengenai krisis racun tersebut?

Atau adakah kita semua sudah begitu lali dibuat oleh racun arsenik ini hinggakan kita tidak ada daya upaya untuk membuat apa-apa reaksi? Mungkin kebas perasaan sebagai salah satu akibat keracunan ini?

Akhir sekali, kita juga harus berasa amat bimbang jika berita tentang kajian racun arsenik ini dapat dipertikaikan kesahihannya. Ini kerana ada pihak tertentu, khususnya sebilangan media utama, yang mungkin berusaha dari masa ke semasa untuk menghina, malah mencabuli, kewarasan (intelligence) dan minda rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang rasional serta akur kepada nilai-nilai murni seperti keadilan dan kebenaran seharusnya mempunyai keupayaan untuk mengenalpasti mana-mana laporan yang bertujuan untuk mengeliru dan seterusnya menjatuhkan martabat manusia.

Sumber: ALIRAN, 28 September 1999