Kesejahteraan, Keadilan, dan Kemajuan

mahathir
Mahathir: ingin melihat Malaysia maju - tetapi pembangunan membawa keuntungan untuk siapa?
Kemajuan negara dan rakyat diangkat sebagai paling penting oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Di dalam wawancaranya dengan Chamil Wariya dari TV3, Mahathir berkata beliau ingin melihat Malaysia maju dan mengukir nama di peringkat antarabangsa.

Secara prinsipnya, ramai di kalangan rakyat Malaysia sudah tentunya bersetuju dengan Mahathir kerana siapa yang tidak mahukan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran dalam kehidupan mereka? Tapi apa yang boleh menjadi faktor perbalahan ialah bagaimana "kemajuan" maupun "pembangunan" itu ditakrif dan direalisasikan oleh perdana menteri khususnya dan pemerintah amnya.

Kita sedia maklum bahawa banyak projek pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pemerintah sejak Merdeka lagi yang memberi manfaat kepada rakyat jelata, seperti pembukaan skim tanah Felda, pembinaan hospital, sekolah, dsb.

Tetapi ada juga projek "pembangunan", lebih-lebih lagi pada masa kebelakangan ini, yang rata-rata hanya dapat menguntungkan segelintir manusia sahaja — tetapi projek itu tetap dijalankan atas nama kemajuan negara dan rakyat. Dalam istilah popular sekarang, projek pembangunan ini merupakan projek "mega" yang menelan belanja berjuta-juta, malah berbilion-bilion, ringgit wang rakyat - sama ada dalam bentuk Formula One circuit, Putrajaya maupun Empangan Bakun sebagai contoh yang umum sedia ketahui. Pendek kata, projek yang membazir.

Soalan asas yang harus dimajukan apabila bercakap tentang projek mega ini ialah, adakah projek mewah ini benar-benar dapat memberi kebaikan dan keuntungan kepada orang ramai, atau adakah ianya hanya menjaga kepentingan golongan elit tertentu sahaja? Adakah projek besar ini akhirnya berjaya menjana peluang keemasan bagi segolongan kecil manusia untuk meraih keuntungan material yang amat banyak?

Kalau wang yang bakal digunakan untuk projek mewah ini sebaliknya digunakan untuk, misalnya, mendirikan lebih banyak rumah kos rendah dan klinik awam, tidakkah ini satu pengembelingan sumber wang yang lebih berwibawa dan berprihatinan? Lebih-lebih lagi kita sedia maklum bahawa ramai lagi di antara rakyat kita yang masih tercari-cari rumah murah dan rawatan perubatan yang murah. Pendekatan ini sudah tentunya bukan anti-pembangunan.

Hujah di atas menunjukkan betapa perlunya perbincangan terperinci sebelum satu-satu projek yang menelan belanja yang banyak dapat dijalankan. Projek yang dilancarkan secara gelojoh dan seperti kilat boleh mendatangkan mudarat kepada negara amnya. Itulah sebabnya kita memerlukan barisan pembangkang yang kuat di Parlimen untuk memastikan projek pembangunan yang selama ini dilaung-laungkan oleh pemerintah sebagai projek untuk rakyat adalah benar-benar memberi kebaikan kepada rakyat jelata, khususnya mereka yang miskin dan terbiar.

Perdebatan yang bermakna dan bertaraf tinggi dari segi keintelektualannya di Parlimen antara pembangkang dan pemerintah adalah penting untuk memastikan wang rakyat benar-benar digunakan untuk kebajikan rakyat, bukan untuk segelintir manusia. Kita inginkan pengagihan kemewahan negara dilakukan secara adil agar majoriti rakyat dapat menikmati kekayaan negara.

Pemerintahan yang "kuat" dari segi kebanyakan kerusi (misalnya pencapaian majoriti dua pertiga) tidak semestinya menghasilkan pembangunan yang seimbang dan baik bagi rakyat jelata. Malah kekuatan ini boleh memberi parti pemerintah (yang mendapat kerusi yang amat banyak) semacam lesen untuk melakukan sesuatu yang membelakangi kehendak dan keperluan rakyat jelata. Barisan pembangkang yang teguh akan dapat menentukan kebertanggungjawapan (accountability) dan ketelusan parti yang memerintah.

Lagipun, "kemajuan" dan "pembangunan" yang dimajukan oleh pemerintah BN selama ini nampaknya terlalu menekankan kemajuan material. Tidakkah pembangunan juga seharusnya menyentuh hal peningkatan martabat manusia melalui, misalnya, peradabannya yang mulia, ilmu tinggi dan fikiran tajam, dan kemajuan rohaniah yang boleh membantu membentuk manusia yang baik dan berhemah tinggi. Pembangunan seperti ini sudah tentunya mempunyai kaitan rapat dengan laungan untuk mendapatkan kebebasan bersuara, kebebasan berkumpul, kebebasan berpersatuan, kebebasan media, autonomi universiti, dsb. Dengan kata lain, pembangunan bukan material juga penting bagi manusia.

Sesungguhnya kebebasan ini — yang diikuti dengan tanggungjawab — perlu untuk memastikan kepentingan rakyat selari dengan kepentingan pemerintah, dan juga untuk memberi ruang bagi rakyat bersuara dan mengambil bahagian aktif dalam politik dalam usaha menentukan hala tuju negara. Cara ini juga boleh membantu usaha memupuk kestabilan negara di mana rakyat jelata bebas menyuarakan ketidakpuasan mereka dengan harapan satu penyelesaian bakal ditemui secara aman dan rasional. Inilah juga satu-satu kaedah untuk mendirikan sebuah masyraakat penyayang dan prihatin.

Itulah juga sebabnya, sebagai contoh, pelajar perlukan kebebasan untuk berfikir dan bersuara supaya minda mereka terbuka dan lantas dapat meningkatkan martabat mereka sebagai manusia yang berakal fikiran. Tenaga intelek mereka sudah tentunya berharga dalam usaha negara cuba membangunkan dirinya. Kita sudah tentunya tidak mahu suatu pemerintah yang sebaliknya ingin mengawal minda (thought control) pelajar dari peringkat tadika ke sekolah hinggalah kolej/universiti. Ini akan hanya menghasilkan segolongan pelajar yang menjadi pak turut, lurus dan kurang berwibawa — dan mungkin senang menerima bulat-bulat cerita tukang karut. Sesungguhnya, para pelajar yang bernas dan kritis adalah satu aset kepada negara yang inginkan perubahan positif.

Pembangunan yang holistik atau menyeluruh yang dapat memanfaatkan rakyat jelata boleh membawa Malaysia ke alaf baru dengan penuh keyakinan.

Sumber: ALIRAN (18 November 1999)