Kebebasan dan Kedaulatan
Dalam majlis mengumumkan Manifesto Barisan Nasional tempoh hari, pemimpin parti itu, Mahathir Mohamad, menjelaskan dengan panjang lebar betapa pentingnya negara dan rakyat Malaysia menjaga kebebasan dan kedaulatan yang mereka perolehi sejak negara ini mencapai kemerdekaan.
Tambah beliau, negara Malaysia—di bawah pemerintahan Barisan Nasional berjaya melepaskan dirinya dari cengkaman kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang sentiasa mencari jalan untuk mengembangkan pengaruh politik, dan juga ekonominya, di seluruh dunia. Kita juga, katanya lagi, tidak segan silu mengkritik apa yang dianggap sebagai ketidakadilan yang dilakukan terhadap sesetengah negara membangun oleh kuasa besar. Kita dengan bangganya menghulur tangan untuk membantu mangsa perang di Bosnia, Iraq dsb. Pendek kata, Malaysia mempunyai kebebasan dan kedaulatan untuk cuba menegur, kalau tidakpun berbuat sesuatu untuk membetulkan, apa yang dianggap salah atau tidak adil.
Sesungguhnya kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga dengan kebolehan negara kita berbuat demikian walaupun kes-kes sejarah tertentu menunjukkan negara kita pernah gagal melepaskan dirinya dari tindak tanduk kuasa besar sepertimana berlaku ketika Presiden George Bush dari AS memulakan usahanya untuk memerangi Iraq. Pada peringkat awal konflik Teluk itu, Malaysia serta negara lain telah bersetuju mengambil bahagian dalam pakatan yang dirancangkan oleh AS untuk mengebom Iraq.
Dalam majlis tersebut, nampaknya Mahathir hanya menekankan faktor kebebasan dan juga kedaulatan Malaysia dalam konteks hubungan antarabangsanya. Keadaan kebebasan dan kedaulatan rakyat dalam negara tidak begitu dihiraukan. Kedaulatan sebahagian besar rakyat Malaysia telah tercabul semata-mata kerana lazimnya kebebasan dan hak asasi mereka dirampas oleh pihak pemerintah.
Di manakah kedaulatan kita jika, misalnya, kebebasan kita untuk bersuara disekat oleh undang-undang seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), OSA (Akta Rahsia Rasmi), Akta Penerbitan dan Percetakan, dsb? Di manakah peluang kita sebagai rakyat negara yang bebas dan merdeka untuk meluahkan buah fikiran dan kritikan jika hampir semua akhbar dan stesyen radio dan TV ini dimiliki dan di kuasai oleh pemilik yang rapat atau sehaluan dengan parti pemerintah—dan rata-rata menyalurkan pandangan yang pro-pemerintah sahaja? Kenapa pendapat kita sebagai rakyat yang berdaulat perlu disekat oleh pemerintah BN seolah-olah kita berada dalam zaman penjajah British yang lalu?
Mahathir lazim mengkritik kuasa Barat kerana bersikap kurang adil. Misalnya, kita sering diingatkan bahawa media antarabangsa yang berasal dari negara maju seperti CNN, BBC, Disney, syarikat media Rupert Murdoch dsb. mempunyai pengaruh dan kekuatan siaran ke seluruh dunia hingga berkesan meminggirkan media tempatan atau nasional yang kecil saiznya. Situasi ini juga menimbulkan kemungkinan berlakunya penjajahan budaya dan ekonomi terhadap negara membangun khususnya.
Kalaulah ini satu kenyataan yang ngeri, maka keadaan yang agak sama juga wujud di peringkat nasional. Di Malaysia kita sedia maklum bahawa organisasi media gergasi dipegang oleh golongan yang rapat dengan pihak pemerintah, dan ini menerbitkan keadaan di mana pandangan kritis dan alternatif sukar mendapat ruang dan peluang di media arus perdana.
Kemajuan material lazimnya menjadi tumpuan besar bagi semua negara khususnya negara membangun. Tetapi turut penting ialah kebebasan rakyat untuk membincangkan bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan, dan juga cara digunakan untuk mengagih-agihkan kemewahan negara secara saksama antara rakyat jelata. Rakyat yang berdaulat seharusnya mempunyai keupayaan untuk, misalnya, menentukan tidak ada penyelewangan wang atau sumber kekayaan negara yang berlaku hingga menghasilkan keadaan di mana hanya segelintir manusia sahaja yang dapat mengecapi nikmat kekayaan negara.
Dan jika rakyat tidak setuju mengenai kaedah tertentu yang digunakan oleh pemerintah dalam usaha untuk mencapai pembangunan, rakyat perlu diberi kebebasan untuk meluahkan pandangan mereka melalui perbincangan, tulisan dan juga, jika perlu, demonstrasi secara aman. Perbuatan mereka ini tidak harus dicapkan sebagai perbuatan pembelot negara atau tali barut kuasa asing.
Memberi label ‘anti-pembangunan’, ‘anti-nasional’, ‘anasir subversif’, ‘pembelot’, dan ‘tali barut kuasa asing’ menampakkan ketidakupayaan pihak berkuasa menangani kritikan yang sahih dari rakyat yang bebas lagi berdaulat. Malah ini juga menunjukkan kecenderungan pemerintah untuk sengaja mengada-adakan ‘musuh asing’ dalam usahanya meraih simpati atau sokongan membabi buta dari rakyat. Ini bukanlah sifat pemerintah yang memerintah sebuah negara yang berdaulat.
Kedaulatan rakyat terserlah jika keperluan dan kepentingan golongan miskin, misalnya, dijaga dan dimajukan oleh pihak berkuasa supaya taraf kehidupan mereka dan juga martabat mereka sebagai manusia dapat dipertingkatkan. Begitu juga halnya dengan segolongan rakyat yang mencari keadilan melalui proses perundangan dan mahkamah akan merasa diri mereka berdaulat jika keadilan dapat mereka perolehi dan majukan.
Tetapi rakyat akan merasakan kedaulatan dan kebebasan mereka kosong jika peluang mereka—seperti segolongan manusia yang berkisar 680,000 bilangannya—untuk membuang undi diketepikan kerana kononnya senarai nama pengundi berdaftar tidak sempat disiapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Seperkara lagi, rakyat bukanlah bebas dan berdaulat jika mereka ditakut-takutkan oleh parti politik tertentu dalam usaha mereka untuk memilih parti yang bakal memerintah negara di masa depan. Rakyat sepatutnya bebas untuk memilih dalam pilihanraya umum siapa yang mereka suka dan percayai dapat memajukan masyarakat dari pelbagai segi.
Sekatan yang masih dikenakan oleh pihak berkuasa dalam sebuah negara membangun seperti Malaysia terhadap kebebasan dan kedaulatan rakyat jelatanya hanya mempersendakan makna sebenar kemerdekaan yang dicapai dan diragut dari tangan penjajah zaman silam. Apa yang juga berlaku di sini ialah wujudnya satu bentuk penjajahan baru, iaitu imperialisme dalaman, yang mengawal ketat selok belok kehidupan rakyat. Sesungguhnya penjajahan ini adalah satu perbuatan terkutuk yang dilakukan oleh pihak yang masih gagal untuk membebaskan dirinya dari belenggu imperialisme lama.
ALIRAN
23 November 1999