Kenyataan Media
Memperolok-olokkan Proses Kehakiman?
Aliran berasa marah disebabkan tindakan untuk meminda tuduhan terhadap
Anwar Ibrahim di peringkat akhir kes pendakwaraya.
Setelah memperdaya seluruh negara dan dunia bahawa Anwar bersalah
kerana salahlaku seksnya; setelah mengheret sebuah bukti "tercemar"
dalam bentuk tilam keluar masuk kamar mahkamah; setelah memalukan
Shamsidar dan keluarganya; setelah mengaib dan memalukan ramai orang;
setelah menyuap butiran sensasi kepada media; setelah menimbulkan
huru-hara ini; tindakan pendakwaraya meminda tuduhan itu di peringkat
prosiding yang terlalu lewat telah menyebabkan ramai orang
tertanya-tanya sama ada ini memperolok-olokkan proses kehakiman.
Bila kes ini dimulakan, negara kita diberi gambaran bahawa Anwar telah
melakukan zina dan pengliwatan dan amat bersalah. Malah di atas alasan
inilah Dr Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan. Seterusnya, beliau memberitahu penonton televisyen
bahawa dia mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan Anwar seorang
‘peliwat’ dan tidak layak dari segi moral memimpin negara. Mahathir
menggunakan apa yang disifatkan sebagai "bukti kukuh" untuk memecat
Anwar dari UMNO. Oleh kerana kini tuduhan itu diubah, pihak peguambela
mungkin tidak dibenarkan menyoal Perdana Menteri di mahkamah untuk
menentukan sama ada bukti "kukuh"nya—yang telah mencetuskan tragedi
ini—boleh dipertahankan di mahkamah.
Untuk meminda tuduhan dari apa yang kelihatan sebagai satu fakta jelas
mengenai salahlaku seks kepada hanya "dakwaan" adalah seakan-akan
melakukan satu bentuk penipuan. Kesemua kroni dan pengampu yang
bersekongkol dengan perdana menteri dan bersama-sama bertindak membuang
Anwar dari UMNO kerana mempercayai PM mempunyai bukti—apakah yang
boleh mereka perkatakan sekarang?
Kini tidak lagi boleh diragui bahawa pihak yang berkuasa berusaha
bersungguh-sungguh untuk menyabitkan Anwar bersalah melalui apa cara
sekalipun. Oleh kerana sekarang mereka sedar bahawa peguambela Anwar
telah berjaya menangani dengan berkesan apa yang ditakrifkan sebagai
bukti, mereka mengambil keputusan untuk meminda tuduhan tersebut.
Nampaknya mereka boleh berbuat demikian. Tetapi apa yang betul di sisi
undang-undang tidak semestinya betul dari segi moral. Persoalan moral
inilah yang menghantui kami.
Adakah patut masa mahkamah dibazirkan dengan perkara yang tidak ada
relevan dengan kes ini? Adakah patut wang rakyat dihabiskan dengan boros
tanpa apa-apa pertanggungjawapan? Bolehkah kesemua kemusnahan yang
dilakukan terhadap watak dan integriti para individu itu dapat dipulih
kembali dengan membuang segala kekotoran dari rekod-rekod?
Pindaan terhadap tuduhan—yang berlaku di peringkat akhir kes
pendakwaraya—menidakkan hak mendapatkan keadilan semulajadi kepada
tertuduh. Ini menghalang pihak peguambela daripada membersihkan nama
Anwar dengan memanggil saksi untuk mempertikaikan bukti yang menjijikkan
dari saksi pendakwaraya yang kononnya beliau telah melakukan salahlaku
seks. Apa-apa tindakan pihak peguambela untuk membawa bukti yang
membela watak dan integriti Anwar akan dinyahkan sebagai "tidak
relevan".
Aliran mempertanggungjawabkan Peguam Negara terhadap perubahan
peristiwa ini. Beliau nampaknya telah membuat kesilapan walaupun
mempunyai banyak masa dan bukti untuk membentuk tuduhan yang sesuai dari
awal lagi. Pada rakyat Malaysia yang biasa, beliau telah kehilangan
kredibiliti dan kami meminta beliau meletakkan jawatan.
P. Ramakrishnan
Presiden
14 Januari 1999