Kenyataan Media
Menyegarkan Ingatan Mahathir…
Komen perdana menteri, dalam usahanya memberi justifikasi ke atas
penyertaan Abu Talib dalam suruhanjaya penyiasatan untuk mengenalpasti
penyerang Anwar Ibrahim, adalah membingungkan: "Adakah beliau (Abu Talib)
didapati bersalah membinasakan bukti?" Mahathir bertanya sebagai satu
respons terhadap kenyataan media Aliran tempoh hari yang membantah
perlantikan bekas Peguam Negara itu ke dalam suruhanjaya tersebut. "Dia
harus didakwa kalau benar, tetapi ini hanya jenis syak wasangka yang sama
yang diperkatakan tentang seseorang tanpa apa-apa bukti. Anda tidak boleh
menghukum orang berdasarkan ini—ia adalah sesuatu yang tidak dibuktikan;
ia semata-mata khabar angin.
Nampaknya ingatan Mahathir perlu diperbetulkan untuk mengingatkannya
tentang sejarah singkat. Sudah menjadi satu kenyataan bahawa 11 buah pita
video dan empat sampul surat yang mengandungi gambarfoto dalam kes Vijandran
telah dimusnahkan. Sudah menjadi kenyataan bahawa Abu Talib telah memberi
arahan membinasakan bukti tersebut. Sudah menjadi realiti bahawa satu
perdebatan hangat berlaku dalam Parlimen. Sudah menjadi kenyataan bahawa
bekas Peguam Negara itu menggunakan budibicaranya dan menasihati polis
supaya pita video dan gambarfoto dimusnahkan.
Tetapi bekas Peguam Negara itu tidak didakwa di mahkamah kerana memberi
arahan untuk memusnahkan bukti. Ini adalah membingungkan, sepertimana halnya
Azizan yang juga tidak didakwa walaupun beliau mengaku bahawa kononnya dia
telah diliwat—berbeza dengan hal Sukma dan Munawar yang didakwa dan
dipenjarakan setelah mereka "mengaku" diliwat.
Aliran menyokong Mahathir 100 peratus bila dia berkata, "anda tidak boleh
menghukum orang atas dasar itu (syak wasangka) -- ia bukanlah sesuatu yang
telah dibuktikan; ia semata-mata khabar angin."
Jadi atas alasan apakah Anwar dipecat? Mahathir mendakwa bahawa beliau
membuat keputusan itu atas sebab-sebab moral setelah berbincang dengan
beberapa orang. Tidakkah itu khabar angin kerana ini adalah tuduhan salah
laku seks yang tidak terbukti dan masih belum terbukti?
Kredibiliti Mahathir berada di paras paling bawah sekarang—ramai orang
Malaysia tidak mempercayainya lagi. Setelah 18 tahun memimpin, sudah tiba
masanya dia undur diri secara terhormat.
P. Ramakrishnan
Presiden Aliran
3 Februari 1999