Kenyataan Media Aliran
Mari kita adakan pertarungan adil untuk Kubang Pasu
Aliran mengambil perhatian bahawa Dr. Mahathir Mohamad sudah pun mengambil "sikap mempertahankan diri" walaupun beliau belum lagi mengumumkan tarikh pilihanraya umum akan datang lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan kemungkinan Dr. Wan Azizah mencabar beliau di Kubang Pasu. Warga Malaysia sedar akan kebimbangan Dr. Mahathir mengenai kemungkinan pertarungan ini.
Pada pilihanraya umum tahun 1969, Dr. Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen ketika itu bagi Kota Star Selatan, kalah melawan Haji Yusof Rawa dari Parti Islam SeMalaysia (PAS). Selepas itu Dr. Mahathir memberontak terhadap Tunku Abdul Rahman dan dibuang dari UMNO. Pada pilihanraya umum selepasnya, Dr. Mahathir kembali ke UMNO tetapi bukan di kawasan Kota Star Selatan. Beliau bertarung di Kubang Pasu, menang, dan menguasai kawasan ini sejak masa itu.
Tetapi, dalam konteks saga Anwar Ibrahim ini, kemunculan Reformasi, dan krisis ekonomi yang berterusan, Dr. Mahathir sendiri harus sedar bahawa kawasan Kubang Pasu bukan lagi merupakan kubu Mahathir seperti mana dulu - lebih-lebih lagi jika Dr. Wan Azizah berlawan di Kubang Pasu dengan bantuan penuh dari pergerakan Reformasi.
Akibatnya, dan walaupun berjauhan dari kawasan pilihanrayanya, Dr. Mahathir telah pun mulai mengingatkan para pengundi Kubang Pasu bahawa beliaulah yang membawa Universiti Utara Malaysia ke Kedah dan juga Universiti Malaysia Sabah ke Sabah. Beliau telah mengumumkan bahawa jika Dr. Wan Azizah boleh membawa ratusan juta ringgit untuk pembangunan di Kubang Pasu, dia mungkin akan meminta pengundi untuk mengundi Dr. Wan Azizah.
Sikap Dr. Mahathir dengan jelasnya mencerminkan perasaan terdesak. Tetapi Aliran merasakan hujahan yang dibuatnya tidak secocok dengan mana-mana wakil rakyat, jauh sekali lagi orang yang menjawat jawatan Perdana Menteri.
Dr. Mahathir perlu mengelakkan diri dari bercakap tentang "membawa projek" dan "membawa tabung kewangan" seolah-olah projek-projek ini dibiayai dana beliau dan bukan dana awam. Jika Dr. Mahathir begitu yakin bahawa pengendalian krisis ekonomi ini tidak perlu dipertikaikan, dan jika dia begitu pasti bahawa cara dia menangani saga Anwar diterima oleh pengundi Kubang Pasu, biarkan dia bertarung secara adil untuk kawasan Kubang Pasu berdasarkan isu-isu berkenaan.
Tetapi, jika Dr. Mahathir merasakan dia tidak boleh mempertahankan Kubang Pasu dari ancaman Dr. Wan Azizah tanpa merukuk kepada politik "wang-untuk-pembangunan" Barisan Nasional, mungkin dia perlu mempertimbangkan kawasan baru.
Jawatankuasa Eksekutif Aliran
8 Mac 1999