Kenyataan Media Aliran
Hentikan ancaman terhadap pengundi Sabah
Pada 12-13 Mac, pilihanraya Sabah akan menentukan sama ada pengundi Sabah pada keseluruhannya akan sekali lagi menolak parti Barisan Nasional (BN).
Untuk pengetahuan umum, BN belum pernah memenangi satu pilihanraya pun di Sabah bermula dengan pilihanraya 20-21 April 1985. Lima tahun yang lalu, BN berjaya membentuk satu kerajaan negeri Sabah setelah kalah kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) - hanya dengan menggalakkan pembelotan beberapa wakil PBS.
Kini, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalan barunya, Datuk Abdullah Badawi, begitu terdesak untuk meraih kemenangan untuk membolehkan mereka mengawal ketidakpuasan hati mereka terhadap kepimpinan Dr. Mahathir dalam UMNO, dan juga dalam UMNO Sabah yang merupakan kubu sokongan bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pemecatannya pada 2 September 1998.
Oleh itu, Dr. Mahathir sekali lagi mengancam pengundi Sabah bahawa Kerajaan Pusat tidak akan bekerjasama dengan kerajaan negeri pembangkang. Dia juga secara terang-terangan mengancam untuk memotong dana pembangunan daripada sampai ke kawasan pilihanraya pembangkang.
Adalah menyedihkan kerana Dr. Mahathir dan BN tidak mengambil iktibar dari Tambunan pada tahun 1984 apabila pemansuhan status daerah Tambunan menjanakan populariti PBS. Pembulian dan ancaman dari Perdana Menteri beberapa hari sebelum pilihanraya negeri ini adalah satu penghinaan bagi pengundi Sabah.
Aliran menggesa kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk menentukan semua calon dan ahli-ahli kempennya, lebih-lebih lagi mereka yang rapat dengan BN, secara terang dan jelas mengumumkan bahawa mereka menghormati secara prinsip:
- hubungan negeri-pusat yang adil dan seimbang mengikut lunas-lunas Perlembagaan,
- hak asasi pengundi untuk menentukan kerajaan, dan
- hak semua pembayar cukai, tanpa mengira kecenderungan politik, untuk menikmati program yang dibiayai kerajaan pusat.
Kalau tidak, Dr. "Penswastaan" perlu bersikap konsisten dan menambah lagi bahawa pengundi di kawasan pilihanraya pembangkang yang tidak dapat menikmati kebaikan dari projek pusat tidak perlu membayar cukai pusat.
Jawatankuasa Eksekutif Aliran
9 Mac 1999