Kenyataan Media Aliran
Barisan Nasional di Sabah: persoalan yang belum dijawab
Jelas bagi warga Malaysia dan pengundi Sabah bahawa parti-parti pembangkang di Sabah bertarung dalam pilihanraya ini secara tersendiri.
Sebagai perbandingan, Barisan Nasional (BN) negeri nampaknya tidak berupaya untuk berlawan dalam pilihanraya ini tanpa kemasukan besar "bantuan luar".
Dalam hal ini, pertunjukan ramai menteri Kabinet bukan Sabah, menteri besar, ketua menteri, pemimpin parti komponen BN, dan juga pegawai kerajaan pusat berterbangan ke Sabah untuk mengendalikan kempen BN adalah melucukan sekiranya ia tidak menimbulkan tiga persoalan kritikal yang mana tiada siapa dalam BN yang ingin menjawab.
Soalan 1
Tidakkah negara ini menghadapi krisis ekonomi yang memerlukan perhatian penuh menteri Kabinet, pemimpin parti dan pegawai kanan kerajaan? Jika ya, bagaimana tokoh-tokoh BN ini dapat memberi justifikasi terhadap masa yang diluangkan untuk berkempen dan yang sepatutnya untuk tugas-tugas menteri dan pegawai?
Soalan 2
Adakah tokoh-tokoh BN ini yang berada di Sabah untuk "perasmian projek kerajaan", "bersama dengan rakyat", dan "memberi khidmat kepada awam", melakukannya dengan menggunakan wang saku mereka, atau adakah wang rakyat dipergunakannya untuk tujuan ini?
Soalan 3
Jika kerajaan dan perkhidmatan awam boleh berfungsi tanpa ramai menteri dan pegawai kerajaan ketika pilihanraya ini, kenapa perkhidmatan awam perlukan menteri dan pegawai kerajaan berkenaan pada waktu biasa?
Aliran menggesa Suruhanjaya Pilihanraya untuk meneliti dengan saksama perbelanjaan kempen bagi setiap calon bagi menentukan bahawa perbelanjaan seseorang itu tidak menjangkaui amaun maksima yang diperuntukkan oleh undang-undang. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pilihanraya perlu menjelaskan sama ada apa-apa perbelanjaan yang dibuat oleh menteri Kabinet, pemimpin parti dan pegawai kerajaan yang berkempen untuk mana-mana calon akan disifatkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan total calon berkenaan.
Jawatankuasa Eksekutif Aliran
10 Mac 1999