ALIRAN Kenyataan Media Aliran

Umumkan Laporan Suruhanjaya Siasatan

Aliran berasa terkejut ekoran dari pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa "Kabinet Menteri akan membuat keputusan pada hari Rabu sama ada mengumumkan laporan Suruhanjaya Penyiasatan tentang kecederaan yang dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada dalam tahanan polis" (The Sun, 12/4/99).

Aliran berharap TPM dan Kabinetnya tidak akan membelakangkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed bahawa "penemuan Suruhanjaya itu akan diumumkan" Dr Mahathir telah dilaporkan sebagai berkata, "... tidak ada gunanya diadakan penyiasatan jika ia tidak diumumkan." (The Sun, 7/4/99).

Kita berharap Kabinet akan berprihatin bahawa Suruhanjaya Siasatan ini didirikan sebagai satu respons kepada desakan orang ramai yang ingin mengetahui tentang serangan yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim dan mengenal pasti siapakah penyerang berkenaan demi menjaga dan memajukan keadilan.

Janganlah kita lupa bahawa Suruhanjaya ini didirikan kerana kepentingan awam; dana awam telah digunakan untuk menjalankan Suruhanjaya ini; dana awam inilah yang membolehkan laporan itu dikumpul dan dijilid untuk edaran. Dan kepentingan awam mendesak agar laporan ini diumumkan. Ini adalah satu perbuatan yang logik dan manasabah.

Tindakan yang ingin menyorok laporan ini dari mata umum adalah satu perbuatan yang memperolok-olokkan keadilan.

P Ramakrishnan
Presiden
13 April 1999