Kenyataan Media Aliran
Keputusan Bersalah Anwar: Sesuatu Yang Tidak Memeranjatkan
Keputusan perbicaraan terhadap Anwar Ibrahim tidaklah merupakan sesuatu yang memeranjatkan Aliran dan kebanyakan rakyat Malaysia. Ia sudah dijangka.
Orang biasa telah nampak dengan jelas, ketika perbicaraan ini berjalan, bahawa kes Anwar ini akan menemui kehampaan. Setelah pihak peguambela berjaya melawan usaha pihak pendakwaraya untuk membuktikan salah laku seks, mahkamah telah membenarkan permintaan pendakwaraya untuk membuat perubahan terhadap tuduhan agar tuduhan salah laku itu tidak perlu dibuktikan.
Mahkmah kemudiannya memutuskan bahawa bukti perbicaraan selama 25 hari -- bukti yang mana pihak peguambela merasakan boleh membantu kes mereka -- adalah tidak relevan dan diarahkan dinyahkan dari rekod mahkamah.
Lebih dari itu, peguambela tidak dibenarkan memanggil 10 orang saksi untuk membuktikan wujudnya konspirasi polis. Mata lebam Anwar dan layanan yang diberikan kepadanya semasa berada dalam tahanan polis dikatakan tidak relevan kepada kes tersebut.
Semasa perbicaraan itu dilangsungkan, hakim berkenaan telah membuat keputusan bahawa pihak peguambela perlu, sebelum kumpulan saksi berkenaan dipanggil, membuktikan relevannya saksi mereka dengan menyerahkan satu ringkasan testimoni terlebih dahulu. Keputusan ini amat luar biasa dan memerlukan pihak peguambela "menunjukkan diri" mereka, dan lantas menyiap-sediakan pendakwaraya terhadap bukti yang bakal dibentangkan oleh saksi peguambela.
Hujuhan utama peguambela -- bahawa beberapa personaliti yang berkuasa telah berkonspirasi untuk menjatuhkan Anwar -- pada mulanya dibenarkan tetapi kemudiannya diputuskan sebagai "tidak relevan". Pada satu ketika, peguambela utama Anwar, Raja Aziz Addruse, setelah berasa putus asa disebabkan keputusan "bukan relevan" yang berlanjutan, berkata, "Saya tidak tahu lagi apa yang relevan."
Kes ini, lebih dari kes guaman yang lain, telah menyebabkan rakyat Malaysia mempertikaikan apakah ilmu hukum sebenarnya. Dalam keadaan yang membingungkan, mereka sudah tentunya tertanya-tanya sama ada Anwar yang diadili atau sistem keadilan yang sebenarnya sedang diadili.
Malah tidak pernah sistem kehakiman kita begitu diteliti oleh umum sepertimana yang berlaku dengan kes perbicaraan Anwar. Rakyat Malaysia sekarang akan membuat kesimpulan mereka -- walaupun ia mungkin "tidak relevan" -- mengenai kedudukan sistem kehakiman di negara kita.
Mendiang Lord Denning pernah berkata, "Keadilan harus bertunjangkan kepercayaan" -- dan kepercayaan menjadi musnah apabila orang-orang waras akhirnya berasa keliru dan bingung.
Jawatankuasa Eksekutif Aliran
14 April 1999