MAT Aliran Mengambil Keputusan Untuk Menyaman Murad

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Aliran ke-23 di Pulau Pinang, keahlian Aliran sebulat suara telah memberi kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif pertubuhan itu untuk mengenakan saman terhadap Datuk Abdul Murad bin Khalid, seorang bekas Pembantu Gabenor Bank Negara.

Dalam satu Surat Akuan yang dibuat pada 26 Oktober 1999, yang kemudiannya diterbitkan atau disiarkan dengan luasnya melalui media tempatan dan asing, Murad telah mendakwa bahawa "Aliran dan Dr Chandra Muzaffar" teleh menerima sebanyak RM5 juta dari bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu "Master Account".

Dalam satu resolusi yang diluluskan, ahli-ahli Aliran menyuarakan bangkangan mereka terhadap dakwaan yang liar dan tidak terbukti bahawa kononnya Aliran adalah kroni Anwar Ibrahim dan bahawa Aliran diperalatkan untuk memajukan niat politik bekas timbalan perdana menteri itu.

Keahlian Aliran menjelaskan bahawa tiada sekalipun Aliran menerima apa-apa wang dari Anwar Ibrahim. Dalam jangkamasa 1992-1999, Aliran maupun AJKnya tidak pernah mengadakan hubungan atau membuat apa-apa perhitungan dengan Anwar Ibrahim. Malah, makalah yang kritis terhadap Anwar dan dasar-dasar yang berkaitan dengan beliau telah diterbitkan dalam Aliran Monthly.

Akaun Aliran pada tahun-tahun 1992-1999 telah diumumkan kepada pihak akhbar dan juga akan disiarkan dalam keluaran Aliran Monthly akan datang bagi tatapan umum.

Mesyuarat agung itu juga menetapkan bahawa segala ganjaran wang yang diperolehi dari saman sivil ini akan digunakan bagi mendirikan sebuah yayasan yang bertujuan menyediakan bantuan wang kepada NGO tempatan dan individu yang berjuang untuk keadilan, kebebasan, kerjasama antara etnik dan agama dan perpaduan. Aliran sendiri tidak akan menggunakan satu sen yang bakal diperolehi.

Akhir sekali, ahli-ahli Aliran melafazkan kekesalan mereka terhadap kemungkinan episod Murad ini dipergunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan politik tertentu, khususnya untuk menyapu arang ke atas muka sesiapa yang bersikap kritis terhadap pemerintah masakini.

Pegawai Aliran yang telah dipilih semula ialah: P. Ramakrishnan (Presiden), Dr Francis Loh (Setiausaha), Dr S.P. Subramaniam (Bendahari), dan Dr Mustafa K. Anuar (Pembantu Setiausaha). AJK lain yang dipilih ialah:

Dr Maznah Mohamad Anil Netto Zaharom Nain S. Francis Xavier

A. Jeyaseelan Gan Kong Hwee Jubal Lourdes Pajand Singh

Dr Chan Chee Khoon Dr Prema Devaraj Dr Khoo Boo Teik

 

 

P Ramakrishnan
Presiden 21 November 1999