ALIRAN Kenyataan Media Aliran

Hentikan Politik Takut

Sudah menjadi begitu ketara bagi semua rakyat Malaysia yang waras pemikirannya bahawa Barisan Nasional sedang berusaha untuk bermain api dan membawa negara yang kita cintai ini ke tahap keganasan dan rusuhan, semata-mata untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya ke-10 akan datang.

Parti BN mengelak menangani isu serius seperti demokrasi dan keadilan, kebertanggungjawapan dan ketelusan, rasuah dan kronisme, integriti dan kebebasan badan kehakiman, peranan polis dan media massa, serta penglibatan umum dan kebajikan. Sebaliknya BN menggunakan politik takut.

Pada 21 dan 22 November, BN telah menerbit dan menyiarkan iklan yang menggambarkan adegan ganas. Ia juga menonjolkan isu basi seperti negara Islam dan perdana menteri bukan Melayu.

Pada sekurang-kurangnya tiga kejadian selama lima hari yang lalu, perdana menteri sendiri telah memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya rusuhan. Pada suatu ketika, dia mendakwa bahawa rusuhan mungkin akan berlaku pada sehari sebelum pilihanraya bila Barisan Alternatif sedar bahawa ia tidak akan menang dalam pilihanraya ini. Pada satu ketika yang lain, beliau menyatakan bahawa "jika mereka inginkan Pembangkang mereka boleh mengundi mereka. Selepas itu mereka harus berikan mereka mandat, majoriti dua pertiga. Tetapi kita tidak akan jamin yang ini boleh membawa keamanan."

Politik takut ini telah dicapai dengan bantuan media massa yang dimiliki dan dikawal oleh BN.

Pilihanraya yang bebas dan adil tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan takut. Adalah jelas bahawa Dr Mahathir dan BN telah menggunakan ugutan bagi mendapatkan majoriti dua pertiga. Politik takut ini hanya menambahkan lagi masalah Barisan Alternatif, yang sudahpun terpaksa menghadapi masalah pengubahan sempadan kawasan undian, kelengahan membenarkan 680,000 rakyat Malaysia mengundi kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi mengesahkan pendaftaran mereka, perbezaan-perbezaan dan pengundi hantu di senarai undi, misteri menjalankan undi pos, liputan berat sebelah media, penggunaan tidak sah jentera pemerintahan oleh pemerintah sementara, dan politik wang.

Kami faham bahawa BN akan melaksanakan lagi satu kempen kotor dalam beberapa hari akan datang, mungkin pada 28 November. Beberapa scenario yang telah dicadangkan: dari rusuhan yang diadakan oleh orang yang memakai baju-T Keadilan, yang mana beribu-ibu helai telah dipesankan oleh orang bukan Keadilan, ke penyiaran kononnya hubungan sulit Anwar melalui media massa, ke banyak lagi Surat Akuan yang mendakwa seribu macam hal, dsb.

Cuba ingatkan usaha terkutuk UMNO pada pilihanraya 1990 di mana Tengku Razaleigh, ketika itu pemimpin pembangkang Semangat 46, digambarkan sebagai memakai tengkolok yang mempunyai tanda yang UMNO dakwa merupakan salib Kristian, maka Razaleigh dikatakan mengkhianati kepentingan orang Islam. Berjuta-juta naskah akhbar milikan dan kawalan BN yang menerbitkan gambar tersebut disebarkan kepada orang ramai secara percuma, lebih-lebih lagi orang Melayu, sehari sebelum hari pilihanraya. Stesyen TV sentiasa menyiarkan gambar ini. Akibat dari taktik kotor ini ialah kempen pembangkang telah dilemahkan dan negara kita hampir sampai ke tahap keruntuhan sosial dan politik.

Kami menyeru agar BN dan juga perdana menteri sendiri menyentuh isu-isu penting masakini dan bukan menggunakan taktik kotor dan merbahaya semata-mata untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

Kami memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis, dan pihak berkuasa yang lain untuk menjaga demokrasi dan memastikan mereka yang telah menggunakan taktik, sama ada dari Barisan Nasional maupun Barisan Alternatif, dan tanpa mengira pangkat, perlu ditangani serta merta. Suruhanjaya mesti memberi ketetapan serta merta sama ada menggunakan taktik takut dan ugutan adalah satu kesalahan.

Ini akan mengelakkan ugutan dan keganasan dan seterusnya mempromosi pilihanraya yang bebas dan adil.

Rakyat telah bangkit dan sedar. Kami mengawasi ahli politik, media, Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis dan pihak berkuasa yang lain.

Jawatankuasa Eksekutif Aliran
24 November 1999

Juga disokong oleh:

  • Alaigal
  • freeMalaysia website
  • Center for Orang Asli Concerns
  • IDEAL
  • International Movement for a Just World (JUST)
  • Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar
  • Jemaah Islah Malaysia (JIM), Penang
  • KOMAS
  • Penang Organic Farm
  • People's Manifesto Initiative
  • SEDAR
  • Society for Christian Reflection
  • Solidaritas Timor Timur Malaysia
  • Suaram
  • Tholilaliyin Tholar