Kenyataan Media Aliran
Hentikan Keganasan: Hormati Hak Perlembagaan Kita
Aliran menyeru kepada pihak berkuasa, khususnya polis, menghentikan serangan ganasnya terhadap hak asasi kita. Walaupun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, hak-hak ini—berkumpul secara aman, berjalan secara bebas, andaian bahawa seseorang itu tidak bersalah hingga dibuktikan salah, melalui proses keadilan selepas ditangkap, dsb.—telah tidak dihormati langsung. Sebaliknya pihak berkuasa telah bersikap kasar dan menggunakan taktik menindas.
Satu perhimpunan aman yang dicadangkan pada 15 April 2000 untuk menunjukkan solidirati dan simpati terhadap bekas timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah tidak diberikan permit kebenaran.
Perdana Menteri dan pihak berkuasa mendakwa bahawa para penunjuk perasaan merancang untuk merusuh dan menimbulkan keganasan. Tetapi tidak ada satu buktipun diberikan bagi menyokong dakwaan tersebut.
Sebaliknya beberapa orang pemimpin dan aktivis dari Parti keADILan telah ditangkap pada 14 April. Sekatan jalan diadakan dimerata tempat di seluruh negara dan anggota polis kelihatan di stesyen keretapi menyoal orang ramai yang menuju ke Kuala Lumpur.
Dalam masa yang sama, beribu-ibu pegawai polis telah dikerahkan. Mereka membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur dan merubahkannya menjadi negara polis.
Maka tidak hairanlah hanya ratusan manusia yang berkumpul untuk menunjuk perasaan pada 15 April. Jelaslah mereka tidak mengancam sesiapa. Walau bagaimanapun pihak polis masih bersikap keras terhadap mereka. Gas pemedih mata dan meriam air digunakan terhadap mereka. Penunjuk perasaan dikejar dan 48 orang, termasuk dua orang wanita dan seorang bawah umur, ditahan. Mereka direman di 10 balai polis yang berlainan. Kesemuanya dikenakan reman lanjutan di Mahkamah Majistret KL pada 17 April.
Selain daripada 48 orang ini, Mohd Ezam, Gobala Krishnan, Abdul Malek Hussein dan Tian Chua juga telah direman selama 5 hari atas alasan disyaki "menghasut orang ramai melibatkan diri dalam satu perhimpunan haram". Dua pemimpin keADILan yang lain—Muhammad Zahid dan Sanusi Abdullah—yang dicari-cari oleh polis telah menyerahkan diri dan dijangka akan direman juga.
Kita mengesali tindakan Majistret Lailacul Junaidah yang mengadili kes reman itu tidak membenarkan mereka yang tercedera dihantarkan ke hospital untuk rawatan. Ada di antara mereka mendakwa mereka telah diserang.
Apa yang juga dikesali ialah Cheah Kah Peng, peguam yang menemani Tian Chua ke Balai Polis, dan yang menuntut proses keadilan, telah turut ditahan. Malah beliau telah dilucutkan pakaian dan dimasukkan ke dalam kurungan yang penuh sesak. Setelah dibebaskan, belau telah dikenakan jaminan polis dan diperlukan melaporkan diri pada 16 Mei untuk mengetahui sama ada beliau akan didakwa kerana menghalang pegawai polis dari menjalankan tugas mereka.
Aliran menyeru keapda pihak polis agar membebaskan serta merta tanpa apa-apa syarat mereka yang ditahan. Mereka hanya menunjuk perasaan dan meluahkan hak mereka. Mereka tidak mengancam sesiapa dan tidak menimbulkan rusuhan.
Aliran juga menyeru kepada polis sekali lagi agar mereka menghentikan tindakan kasar dan berhenti menyerang Perlembagaan Persekutuan kita. Nampaknya mereka tidak mendapat iktibar dari hukuman terhadap Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara, atas sebab menyerang Anwar Ibrahim, bekas Timbalan PM. Inilah sebabnya Aliran dan kumpulan lain menuntut hukuman yang lebih berat bagi Rahim Noor kerana jenayah yang telah dilakukannya mempunyai kesan yang mendalam terhadap kelakuan Polis.
Akhir kata, Aliran menuntut PM Dr Mahathir sebagai bertanggungjawab terhadap ancaman kepada hak-hak kita dan sikap tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan kita. Beliau juga bertanggungjawab terhadap penukaran wajah KL menjadi sebuah negara polis. Malah beliaulah yang mendakwa bahawa para penunjuk perasan akan menimbulkan rusuhan dan lantas melepaskan polis mengambil tindakan keras terhadap pemimpin dan penyokong keADILan.
Dr Francis Loh
Setiausaha
18 April 2000