ALIRAN   -   Prinsip-prinsip Dasar
 
Aliran Kesedaran Negara (Aliran) ialah sebuah pergerakan sosial. Tujuannya ialah untuk meningkatkan kesedaran sosial dan menggalakkan tindakan sosial yang akan membawa kepada keadilan sosial.

Keadilan sosial hanya mungkin jika susunan sosial membolehkan setiap manusia hidup sebagai seorang manusia. Hidup sebagai seorang manusia pula bermakna menegakkan sifat perikemanusiaan dalam setiap seorang di antara kita. Perikemanusiaan kita adalah penjelmaan yang menyeluruh terhadap nilai-nilai sejagat yang abadi seperti kebenaran, keadilan, kebebasan, persamaan, kasih sayang, belas kasihan, kesederhanaan, bertolak-ansur dan sifat mengenal batas yang terkandung dalam sanubari tradisi-tradisi rohaniah yang agung. Inilah sebabnya mengapa penyedaran perikemanusiaan kita merupakan inti kerohanian di dalam diri kita. Hanya dengan memperlihatkan perikemanusiaan kita sahajalah dapat kita membuktikan taat setia kita kepada Tuhan.

Sesungguhnya ini membawa kita kepada prinsip-prinsip asas Aliran, prinsip-prinsip yang mesti dipegang oleh seseorang jika dia ingin menyertai pergerakan ini. Prinsip-prinsip asas in sama sahaja dengan dasar-dasar asas yang telah dirangka pada tahun 1977, tetapi sekarang ianya telah dihuraikan dengan lebih lanjut lagi secara lebih tepat dibawah tajuk-tajuk yang berasingan.

Tajuk-tajuk ini adalah untuk tujuan sedemikian. Namun, harus ditegaskan di sini bahawa kami tidak percaya bahawa kehidupan atau masyarakat boleh dipecah-pecahkan. Kami berpegang kepada konsep yang menyeluruh terhadap umat manusia dan satu pandangan yang menggabungkan komuniti, alam semulajadi dan alam semesta.

PRINSIP-PRINSIP ASAS

Tuhan, Manusia dan Masyarakat

1 Kepercayaan kepada Tuhan sebagai kebenaran abadi yang mengandungi segala nilai-nilai sejagat yang mentakrifkan perikemanusiaan kita; penerimaan Kewujudan Tuhan menerusi perbuatan-perbuatan yang membuktikan perikemanusiaan kita.

2 Sebuah masyarakat yang berbelas kasihan yang menganggap mempertingkatkan nilai-nilai kemanusiaan yang ada pada insan melalui pembebasan dari pengabdian dalaman seperti sikap mementingkan diri sendiri dan sifat pengecut serta rantaian luaran seperti kemiskinan dan penindasan sebagai matlamat utamanya.

3 Penanaman nilai-nilai suci yang abadi ke dalam individu menerusi kawalan terhadap ciri-ciri maksiat supaya berdasarkan pertimbangkan etika.

Politikan, Pentadbiran & Kehakiman

4 Satu sistem politik yang membela kebebasan dan maruah manusia, mengembangkan hak-haknya, memajukan tanggungjawabnya, menggalakkan penyertaan yang cergas dalam pembentukkan polisi-polisi awam, membenarkannya untuk menggunakan kekuasaan yang berkesan ke atas kerajaan dan seterusnya mengawal penguasaan kerajaan.

5 Satu proses politik yang menekan pertanggungjawapan, meningkatkan pengaliran maklumat secara bebas, melindungi kebebasan media, mempertahankan otonomi berbagai kumpulan sosial dan mengawal setia hak untuk menyuarakan pendapat yang berbeza.

6 Satu persekitaran politik yang memastikan perlakuan politik yang aman jujur; rakyat harus berupaya memilih dan memecat pemimpin-pemimpin mereka menerusi pilihanraya yang bebas dan adil. Perubahan sosial yang penting harus dimungkinkan melalui desakan-desakan secara aman.

7 Sebuah struktur pentadbiran di mana asas kerajaan ialah masyarakat saiz sederhana pada peringkat setempat yang ingin mengurangkan kuasa birokrasi dan memperluaskan skop bagi pengurusan sendiri dan peraturan sendiri.

8 Satu hubungan pemimpin-rakyat dalam pentadbiran, politik dan lapangan-lapangan lain yang berharmoni kerana ianya berdasarkan kepada  prinsip-prinsip etika; pemimpin-pemimpin mestilah terdiri daripada individu-individu yang bermaruah dan berkeupayaan, dengan kebijaksanaan dan daya pandangan ke masa depan. Mereka juga harus mempunyai nilai-nilai ikhlas yang lain yang membawa kesan yang positif terhadap masyarakat.

9 Satu sikap yang berotonomi dan kreatif ke arah perkembangan falsafah negara, pembuatan polisi dan perancangan yang mesti dipengaruhi oleh pengalaman dan kedudukan sendiri; bukannya hasil dari peniruan yang membuta dari teori-teori asing dan contoh-contoh pembangunan yang terdapat di tempat lain.

10 Satu perkhidmatan kehakiman yang benar-benar bebas dan adil serta undang-undang yang terikat kepada keadilan sosial yang dilaksanakan oleh sistem perundangan dengan orientasi rakyat.

Ekonomi

11 Ekonomi yang adil di mana kekayaan dan sumber-sumber terletak di bawah amanah rakyat secara keseluruhannya dan diuruskan menerusi koperatif-koperatif tempatan, usahasama-usahasama masyarakat dan perbadanan-perbadanan kebangsaan; di dalam lingkungan susunan ekonomi ini harus ada ruang dan peluang yang secukupnya bagi kebebasan individu dan daya utama dalam pertanian, perdagangan, industri dan profesion-profesion yang lain.

12 Penyamaan dalam peluang untuk mendapat makanan yang baik, pakaian yang secukupnya, kesihatan yang baik, pelajaran yang berguna dan hiburan yang secukupnya menerusi pembahagian kekayaan yang adil dengan mementingkan golongan majoriti. Barangan dan perkhidmatan harus dibahagikan sejajar dengan keperluan-keperluan manusia supaya sifat belas kasihan dan perkongsian menjadi nilai-nilai yang memandu ekonomi secara keseluruhannya.

13 Pengurangan perbezaaan pendapatan dan penghapusan pecahan-pecahan kelas dengan tujuan mengwujudkan sebuah masyarakat yang berpadu di mana manusia mengekalkan sifat individunya yang tersendiri tetapi disatukan oleh sifat perikemanusiaan yang serupa.

14 Kebimbingan yang dilakukan dengan penuh kesedaran terhadap corak penggunaan dan sistem pengeluaran menerusi perubahan-perubahan struktural dan dengan menekankan nilai-nilai seperti pengenalan batas dan kesederhanaan supaya satu cara hidup yang sederhana menjadi cita-cita unggul masyarakat.

15 Penghapusan rasuah, ketamakan dan sifat perolehan pada semua peringkat khasnya dalam kelas atasan masyarakat supaya kebajikan golongan terbanyak yang lemah dan tanpa pengaruh tidak akan dikorbankan demi kesejahteraan suatu golongan elit yang kuat dan kaya-raya.

Sains, Teknologi dan Pekerjaan

16 Pembentukan satu tapak saintifik yang kuat dan satu tradisi saintifik yang kukuh. Ini akan membantu pertumbuhan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

17 Pembangunan teknologi yang berharmoni dengan falsafah sosial dan keperluan-keperluan kita, dan pada masa yang sama, memajukan kepintaran dan kreativiti manusia.

18 Transformasi konsep dan amalan kerja melalui teknologi yang lebih bercirikan  kemanusiaan, pekerjaan-pekerjaan yang lebih kreatif, komuniti-komuniti dengan saiz yang lebih kecil tetapi lebih berpadu dan satu struktur sosial yang lebih memperlihatkan kesamaan supaya pekerjaan menjadi satu aktiviti yang membebaskan manusia daripada rantai-rantai pengabdiannya dan memuaskan dari segi rohaniah.

Pelajaran, Kebudayaan, Bahasa dan Agama

19 Transformasi sistem pelajaran kita dalam sebegitu cara di mana ia menekankan penyemaian nilai-nilai etika, menggalakan pemikiran yang kritikal dan kreatif, memberi kemahiran dan pengetahuan yang membolehkan seluruh  masyarakat menyertai dalam pembangunan moral dan intelektual generasi baru.

20 Satu konsep mengenal kebudayaan Malaysia yang progresif dengan nilai-nilai umum yang dikongsi oleh berbagai komuniti sebagai terasnya dan perpaduan di tengah-tengah kepelbagaian sebagai prinsip panduannya. Kebudayaan Malaysia akan wujud melalui proses evolusi.

21 Peningkatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama setiap rakyat Malaysia, galakan yang secukupnya bagi perkembangan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan perlindungan yang ikhlas untuk penggunaan dan pengajian bahasa- bahasa tempatan yang lainnya.

22 Satu pendekatan yang progresif ke arah Islam dan lain-lain agama di dalam negara ini supaya mereka boleh, secara individu dan secara berkumpulan, menyediakan asas rohaniah bagi pembentukan semula masyarakat Malaysia.

23 Hak pengikut-pengikut  berbagai agama untuk mengamalkan kepercayaan mereka dalam keamanan dan keharmonian.

Hubungan Etnik

24 Satu penglibatan yang bersungguh-sungguh ke arah penghapusan punca-punca asas ekonomi, sosiologi, politik dan psikologi yang menyebabkan pemisahan etnik dan pertelingkahan dalam masyarakat pelbagai etnik kita.

25 Satu daya-usaha yang dirancang untuk menghapuskan prasangka etnik dan anggapan-angappan palsu berhubung dengan sesuatu kumpulan etnik. Satu percubaan yang ikhlas untuk mengembangkan persefahaman yang lebih mendalam mengenai kedudukan dan aspirasi berbagai komuniti.

26 Penyingkiran pecahan-pecahan etnik, bahasa atau agama dalam kehidupan awam negara kerana penekanan yang berterusan ke atas perbezaan-perbezaan sedemikian akan hanya membahagikan negara dengan lebih dasyat lagi dan memusnahkan sebarang harapan yang tinggal bagi penyatuan dan perpaduan tulin pelbagai etnik yang amat penting dalam penyedaran perikemanusiaan kita.

Wanita, Keluarga dan Persekitaran

27 Pembebasan kaum wanita dari kesemua struktur dan sikap, perlakuan dan prasangka yang berbentuk diskriminasi terhadap mereka kerana ini menghalang wanita dari menyempurnakan peranan mereka sebagai pasangan yang setaraf dengan lelaki dan yang ingin hidup sebagai seorang manusia.

28 Perlindungan keluarga sebagai satu unit yang perlu dan penting dalam masyarakat, yang memelihara dan mengekalkan nilai-nilai rohaniah yang abadi yang penting untuk tamaddun manusia.

29 Usaha yang dilakukan dengan penuh kesedaran untuk melindungi persekitaran fisikal kita dan keseluruhan sistem ekologi kerana manusia ialah sebahagian dari alam dan mempunyai hubungan yang suci dengannya.

Susunan Antarabangsa

30 Persediaan untuk berganding bahu dengan negara-negara lain yang sealiran untuk mengatasi pengawalan dan penguasaan ke atas ekonomi, teknologi, maklumat dan sumber-sumber budaya dunia oleh segelintir negara yang kaya dan berkuasa. Keadaan inilah yang bertanggungjawab sebahagiannya ke atas kemunduran negara-negara seperti negara kita.

31 Satu percubaan yang ikhlas untuk berdikari dalam setiap lapangan sebagai satu cara  membebaskan diri kita dari penguasaan ekonomi dan teknologi mereka yang kuat. Persediaan untuk melanjutkan satu polisi yang benar-benar berkecuali dalam hubungan-hubungan antarabangsa bagi memelihara kebebasan politik kita.

32 Kesanggupan untuk bersedaya-upaya bagi menamatkan proses ketenteraan kerana is hanya menggugat keselamatan, meningkatkan ketegangan sedunia dan membazirkan sumber-sumber yang bernilai yang boleh digunakan bagi kebajikan manusia; pada masa yang same, mesti ada keazaman baru untuk mencapai keamanan menerusi penyelidikan yang lebih luas mengenai cara-cara menghasilkan perubahan sosial tanpa keganasan.

33 Satu usaha untuk mencapai susunan dunia yang baru di mana individu-individu, kumpulan-kumpulan dan negara-negara berhubung sesama lain dalam kebebasan, persamaan dan keadilan berdasarkan perikemanusiaan dan matlamat yang serupa.

Kesemua 33 dasar-dasar asas yang dinyatakan di sini sudah pasti tidak meliputi kesemua persoalan-persoalan yang pernah menerima keprihatinan kami. Beberapa isu penting dalam perjuangan kami sebenarnya diringkaskan di bawah tajuk-tajuk yang lain. Tidak juga harus dilupakan yang ia hanya satu gariskasar sahaja. Analisa yang lebih terperinci mengenai beberapa prinsip-prinsip asas boleh dijumpai dalam berbagai terbitan kami. Yang lain-lainnya akan dikaji dengan lebih mendalam di penulisan pada masa-masa yang akan datang.
 

Kembali ke muka depan laman web Aliran