Umat vampire?

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kita lupa bahawa Allah bersifat penyayang dan pemaaf, ujar Farhana Abdul Halim. Jika benarlah Hamza telah menghina Nabi, adakah mustahil dan salah untuk kita memaafkannya?

“Darah! Kami mahukan darahnya. Bawak dia pulang supaya kita boleh ambil darah si Murtad itu.. Orang Murtad darahnya halal! Kami mahu darahnya!!!”…..

Ini bukan satu babak di dalam filem box-office yang menjadi kegilaan jutaan remaja perempuan di seluruh dunia; ia juga bukan juga sebaris skrip yang dialih bahasa dari ‘The Twilight Saga’, akan tetapi ini adalah realiti, satu mimpi buruk bagi remaja Saudi berusia 23 tahun, Hamza Kashgari. Satu mimpi yang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Pada 5 Februari 2012, hari ulangtahun keputeraan Nabi Muhammad (S.A.W), Hamza telah menerbitkan puisi sepanjang tiga rangkap di laman Twitter beliau. Bait-bait puisinya menerangkan bagaimana Rasulullah menjadi sumber inspirasinya namun beliau menganggap baginda seperti kawannya. Puisinya membawa satu maksud yang mendalam dan bukan bertujuan untuk menghina Rasulullah. Malangnya, ramai di kalangan Muslim telah tersalah tafsir atau sengaja menyalahtafsirkan maksud tersirat puisi Hamza, beliau dituduh menghina Muhamad dan Islam, sekaligus dikatakan telah murtad dan tergelincir akidahnya.

Terkejut dengan reaksi masyarakat Saudi, Hamza memadamkan puisinya dan dengan seikhlas hati memohon maaf di laman Twitternya dan telah mengucap shahadah untuk memastikan akidahnya tidak tergelincir akibat puisi tersebut. Namun kemaafan yang dipinta tidak diendahkan.

Kerana takut akan keselamatannya, Hamza melarikan diri dari Saudi dan telah datang ke Malaysia dengan harapan agar kita dapat membantunya. Namun hampa, kerana seperti di Saudi, ‘Vampire’ juga wujud di Malaysia, tapi malangnya bukan “Vampire” sekacak dan sebaik seperti Edward Cullen yang menjadi igauan para remaja perempuan, tetapi “Vampire” sejahat dan serakus kumpulan ‘The Newborn Army’ yang sentiasa dahagakan darah. Mereka enggan memaafkannya dan merasakan kematian Hamza adalah wajar dan tepat.

READ MORE:  Book review: A study of bureaucratic Islam in Malaysia

Pada 12 Februari 2012, Hamza telah diusir pulang oleh Kerajaan Malaysia, bekas Kerajaan Islam Hadhari. Dituduh pengganas oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia (‘The Volturi’), Hamza diterbangkan ke Saudi secara rahsia, dan beliau bakal berdepan hukuman bunuh. Walaupun perintah telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghalang deportasi Hamza, Hishammuddin Hussein dengan angkuh menafikan kewujudan perintah itu. Tanpa rasa bersalah, Kerajaan 1Malaysia di bawah pimpinan Najib, telah berbangga dengan keputusan menghantar Hamza ke medan untuk dibunuh.

Di Malaysia ramai orang Islam bertukar menjadi ‘Vampire’ ala ‘Newborn Army’, tatkala terbaca headline akhbar tempatan yang tidak beretika dan ‘misleading’ (seperti biasa,) “Wartawan Arab menghina Nabi.” Golongan Muslim Vampire di Malaysia, menjerit mahukan Hamza dihantar pulang dan dibunuh kerana puisinya tanpa mengetahui isi kandungan puisi itu sendiri, apatah lagi untuk mengetahui cerita di sebalik perintah penangkapan Hamza.

Hanya mereka yang ingin mencari kebenaran mengetahui bahawa penangkapan Hamza adalah sesuatu yang bermotifkan politik dan bukanlah agama. Pergerakan Hamza dan rakan-rakanya telah lama dipantau oleh kerajaan Saudi. Puisinya dijadikan alasan untuk menangkap dan menghukumnya kerana penglibatannya dalam pergerakan kebangkitan kaum muda di Saudi. Hanya segelintir sahaja yang tahu bahawa Hamza telah menerbitkan puisi yang membawa maksud yang sama setahun yang lalu – tiada sebarang reaksi negatif diterima dan tiada tindakan yang diambil.

Tanpa mengetahui atau mencari kebenaran, masyarakat Islam khususnya di Saudi dan di Malaysia telah menjatuhkan hukuman tanpa soal selidik ke atas Hamza. Marah, benci dan ingin melihat Hamza diseksa sehingga mati, inginkan darahnya. Hamza dilabel sebagai penjenayah. Sedih sekali! Penganut dan pengamal agama yang cintakan keamanan menjadi golongan yang paling ganas. Islam bermaksud “peace or purity” tetapi umat Islam jauh dari sifat tersebut. Mereka seolah-olah lupa wujudnya prinsip-prinsip sistem keadilan Islam dalam menghukum seseorang manusia.

READ MORE:  Politik Islam membina hubungan baik dan buat kebajikan untuk semua, bukan menghina dan bermusuhan

Masyarakat Islam telah lupa ajaran Islam sebenarnya. Agama Islam dijadikan agama hukuman, segala kesalahan akan dihukumi dengan seberat-berat hukuman, tiada ruang untuk kemaafan. Islam dijadikan alat untuk menindas kaum yang lemah oleh mereka yang berkepentingan. Pemimpin-pemimpin agama obses mencari kesalahan dan dosa orang lain. Agama Islam dicemari umat Islam sendiri yang terlalu taksub dengan agama dan dosa dan di atas alasan ingin menjaga kesucian agama penindasan berleluasa.

Kita lupa bahawa Allah bersifat penyayang dan pemaaf. Jika benarlah Hamza telah menghina Nabi, adakah mustahil dan salah untuk kita memaafkannya? Nabi telah memaafkan perbuatan penduduk Kota Taif yang bukan sahaja menghina Baginda malahan telah melemparinya dengan najis. Setiap manusia, selagi belum berpisah roh dan jasadnya, Tuhan pasti akan menerima taubatnya.

Jadi siapa kita untuk tidak mengendahkan taubat Hamza? Boleh jadi para Sheikh di Saudi merasakan mereka lebih hebat dari Tuhan? Di dalam Surah An-Nur ayat 21, Yang Maha Pengampun dan Penyantun mengingatkan kita:

“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu?“.

Terniang-niang sebaris lirik dari lagu ‘Maafkan Kami’ dari filem Pendekar Bujang Lapok yang berbunyi, “Sedangkan Nabi ampunkan Umat!”

Jadi adakah masyarakat Islam masih mahukan darah Hamza? Ya atau tidak jawapannya, ia tidak membawa apa-apa perbezaan sekarang kerana Hamza sudah pun dihantar pulang untuk berdepan hukuman bunuh. Makanya vampire ‘the newborn Army’ di Malaysia boleh bersorak riang, darah Hamza boleh dinikmati. Umat akhir zaman adalah umat Vampire!

Farhana Abdul Halim ialah peguam dari Lawyers For Liberty.

Sumber: freemalaysiatoday.com

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x