Selamat datang ke Jinjang

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

1Malaysia? Putrajaya patut belajar daripada Jinjang tentang perpaduan nasional, kata Projek Dialog

Jinjang vigil for Adam Adli - Photograph: Selangorku.com
Jinjang vigil for Adam Adli – Photograph: Selangorku.com

Pernahkah anda melawat pekan Jinjang?

Pekan yang terletak di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini dibuka sebagai sebahagian daripada strategi perang saraf British dalam menghadapi ancaman komunis militan dulu. Ia merupakan salah sebuah Kampung Baru yang diwujudkan di bawah Rancangan Briggs.

Penduduk Jinjang rata-rata golongan working class berbangsa Cina. Pernah dengar istilah “Cina Jinjang”? Istilah yang digunakan untuk menggambarkan seorang Cina ‘totok’ yang kasar dan yang selalunya tidak berpelajaran tinggi. Jinjang juga seringkali menjadi bualan sebagai rough neighbourhood.

Tidak banyak yang menjadi tarikan di Jinjang. Dan sekiranya anda tidak tinggal di Jinjang atau mempunyai saudara atau kenalan di Jinjang, tidak ada sebab untuk anda masuk ke Jinjang.

Kecuali, anda mempunyai urusan di Pusat Tahanan Reman di Jinjang Utara. Yang merupakan sebuah kompleks yang dijadikan pusat bagi menempatkan mereka yang ditahan reman bagi proses siasatan jenayah.

Lokasi kompleks ini menyebabkan Jinjang kadangkala menjadi lokasi tumpuan perkembangan politik tanahair. Contohnya, semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada tahun 2011, mereka yang ditahan ada dibawa ke Jinjang sebelum dilepaskan.

Akhir-akhir ini pula, Jinjang sekali lagi menjadi perhatian apabila aktivis mahasiswa, Adam Adli, ditahan reman dan ditempatkan di sana sebelum didakwa. Kemudian, Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim juga ditahan semalaman di Jinjang sebelum dibebaskan oleh Mahkamah keesokan harinya.

Maka warga Malaysia pun datanglah ke Jinjang, menyalakan lilin sebagai tanda solidariti dengan Adam Adli, dan kemudiannya dengan Tian Chua, Tamrin dan Haris. Nyalaan lilin menjadi simbol protes dan desakan supaya mereka dibebaskan, diserikan dengan ucapan dan sorakan daripada mereka yang hadir. Seperti Kuala Kangsar, seperti Dataran Merdeka, seperti Stadium Kelana Jaya, Jinjang menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang meraikan demokrasi.

READ MORE:  Projek Malaysia: Federalisme dalam demokrasi, demokrasi dalam federalisme

Bayangkan, tiap-tiap malam (bila meraka ditahan): Jinjang sesak. Jinjang kecoh. Jinjang bising.

Malahan, ada satu malam Jinjang menyaksikan adegan kejar-mengejar dan tangkap-menangkap di antara polis dan para penyala lilin. Jika ini kawasan kelas menengah di mana-mana lokasi lain di Lembah Kelang, mungkin sekali aduan akan dibuat pada malam yang kedua.

Pada malam yang ketiga, ada yang akan merungut bagaimana hidup mereka diganggu kerana perhimpunan yang diadakan setiap malam. Sesak jalan. Bising. Kecoh. Kotor. Revolusi pun revolusi juga, tetapi tidur dan tenteram itu harus.

Tetapi ini Jinjang. Jinjang menerima para demonstran dan penyala lilin dengan tangan terbuka. Mereka yang datang akan dimaklumkan oleh warga Jinjang sendiri di mana tapak vigil pada malam itu. Malahan, penduduk Jinjang sendiri adalah antara mereka yang pertama akan berkumpul di tapak, sebelum orang luar berkumpul.

Ceramah berlangsung dengan menggunakan pembesar suara yang pasti didengari oleh penduduk setempat. Tetapi tidak ada aduan dan tidak ada rungutan. Malahan, penduduk Jinjang sendiri membarisi balkoni-balkoni yang berdekatan untuk mendengar apa yang disampaikan. Tidak lupa juga mereka yang memanjat pagar demi sudut pandangan yang terbaik.

Dan semasa pihak polis mengejar dan membuat tangkapan ke atas para penyala lilin, penduduk Jinjang telah membuka pintu rumah dan kedai mereka dan menerima para penyala lilin yang melarikan diri daripada polis yang sedang mengejar, tanpa mengira bangsa para penyala lilin.

Padahal, untuk hampir kesemua hari, para penyala lilin di hadapan Pusat Tahanan Jinjang berkumpul demi seorang mahasiswa muda berbangsa Melayu. Jika diikut retorik etno-nasionalis pasca pilihanraya umum ke-13, orang Cina telah mengkhianati orang Melayu dengan mengundi parti-parti Pakatan Rakyat. Orang Cina didakwa bersifat perkauman dan mempunyai agenda perkauman dalam pola pengundian mereka.

READ MORE:  Mansuh Akta Hasutan sekarang (Malay/English)

Tetapi, mengapakah di Jinjang, mungkin sekali tempat paling ‘Cina’ di Malaysia, mereka memberikan sokongan kepada seorang mahasiswa Melayu yang tidak ada kena mengena dengan mereka? Jika orang Cina telah mengkhianati Melayu, mengapa setiakawan begitu terserlah di Jinjang?

Bapa Adam Adli, pada hari anaknya dibebaskan dengan ikat jamin, telah datang sekali lagi ke Jinjang. Dia berterima kasih kepada penyokong anaknya dan kepada Jinjang, kerana telah menjadikan anaknya sebagai anak mereka sendiri melalui sokongan yang diberikan.

Mereka yang percaya dengan retorik “pengkhianatan Cina” ini sebenarnya sudah terputus dengan realiti akar umbi. Realitinya, ceramah-ceramah dan program-program anti-kerajaan mendapat sambutan warga Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya yang berbangsa Cina. Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina.

Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini.

Putrajaya patut belajar daripada Jinjang tentang perpaduan nasional.

Projek Dialog adalah suatu projek kemajuan sosial yang ingin memajukan debat dan persefahaman antara pelbagai suku kaum dan agama di Malaysia.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Kyle
Kyle
12 Jun 2013 9.10am

I was born and grew up in Jinjang. This article by Projek Dialog is quite real when describe the place and people there. In fact, Jinjang is no longer isolated from Malaysian society, the Chinese there, especially the younger generation, have many social and cultural interactions with other ethnic groups in Malaysia. Good job, Projek Dialog.

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x