Home Civil Society Voices 2015 Civil Society Voices Dua malam di lokap – tetapi tiada siasatan

Dua malam di lokap – tetapi tiada siasatan

Photograph: themalaysianinsider.com

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Berikut ialah lapuran polis oleh Dr Jeyakumar Devaraj mengenai tahanan 25 aktivis di Pejabat Kastam Kelana Jaya pada 23 Mac selama dua hari.

Saya amat tidak puas dengan tindakan polis Kelana Jaya menghalang orang awam dan aktivis daripada meminta penjelasan dan maklumat tentang GST di kaunter GST Pejabat Kastam Di-Raja Malaysia, Kelana Jaya pada 23 Mac 2015. Pihak polis tidak membenarkan kami berinteraksi dengan pegawai-pegawai Kastam sepanjang hari itu.

Pada petang 23 Mac, lebih kurang 600 orang polis telah mengkasari dan menangkap orang awam dan aktivis-aktivis yang berada di Pejabat Kastam dan juga beberapa orang awam yang berhenti di hadapan pejabat kastam untuk mendapat tahu apa yang sedang berlaku.

Antara pencabulan-pencabulan yang dilakukan oleh pihak polis di bawah arahan OCPD Petaling Jaya terhadap orang-orang awam, aktivis-aktivis, ahli-ahli Parlimen yang datang ke kiosk Informasi GST, di Pejabat Kastam untuk bertanya penjelasan untuk 106 soalan mengenai GST adalah seperti berikut:

Menghalang orang awam daripada mendapatkan maklumat di pejabat awam (Kiosk Informasi GST) dengan menutup pintu masuk kaunter GST dan menggunakan LSF (Light Strike Force). Walaupun kaunter GST adalah tempat orang untuk mendapatkan penjelasan mengenai GST, pihak polis langsung tidak peduli dan telah mengepung lebih 100 orang awam dan aktivis dari pukul 11.00 pagi hingga 5.00 petang.

Tangkapan tidak sah: Lebih kurang jam 5.00 petang, kira-kira 80 orang awam, aktivis dan ahli-ahli Parlimen telah ditangkap dengan cara yang cukup kejam. Pihak kami telah dikasari teruk – ditolak, ditarik, diheret dan dipukul.

Pihak kami telah berunding dengan pihak polis agar satu perjumpaan dengan Pengarah Kastam diuruskan untuk menjawab soalan-soalan mengenai GST memandangkan kaunter GST telah ditutup. Pengarah Kastam En Abdul Ghani Othman bersama dua pakar GST telah menemui pihak kami pada lebihkurang pukul 12.30 tengah hari, tetapi selepas dua soalan sahaja, dia ‘melarikan diri’ dengan senarai 106 soalan kami.

READ MORE:  Anwar must ask police to release auxiliary policewoman arrested for allegedly insulting him

Pihak kami mengharapkan Pengarah tersebut akan memberi penjelasan bertulis atau lisan. Malangnya dia langsung tidak berkomunikasi, maka terpaksalah pihak kami menunggu lebih empat jam untuk jawapan dari Pengarah tersebut.

Apabila waktu pejabat Kastam tamat, pihak polis mengumumkan bahawa kami mesti beredar dalam masa lima minit. Sementara pihak kami sedang berbincang tentang arahan polis, tiba-tiba polis menyerbu, memukul dan menolak semua orang awam masuk ke dalam trak polis. Pihak kami telah beberapa kali meminta polis memberitahu jika mereka mahu buat tangkapan dan pihak kami akan bekerjasama sepenuhnya, namun ia tidak dihiraukan.

Pencabulan hak semasa dalam penahanan: Semua yang ditangkap pada 23 Mac 2015 telah dinafikan hak untuk berjumpa dengan peguam walaupun ramai tahanan telah mengemukakan permintaan untuk berjumpa dengan peguam, dan beberapa orang peguam sukarelawan menunggu di luar Balai.

Melarang kami berjumpa peguam adalah satu pencabulan hak yang terjamin dalam Perlembagaan Negara dan Kanun Acara Jenayah (KAJ). Jika polis enggan memberikan kami hak berjumpa peguam, maka seorang pegawai polis berpangkat DSP harus mengeluarkan notis 28A(8) untuk menyekat hak kami tetapi prosedur ini juga tidak dilakukan.

Pada lebih kurang 10.00 malam 23 Mac, selepas kenyataan 112 saya telah dirakam dan gambar photo dan cap jari saya telah diambil, saya diberi surat jamin diri oleh pihak polis dan kad pengenalan saya dikembalikan pada saya. Saya dinasihat tunggu sehingga proses itu dilaksanakan untuk OKT yang lain supaya kami boleh bersama-sama keluar dari balai. Tetapi selepas satu jam, kertas jamin diambil balik dan saya dihantar balik ke lockap.

Selepas itu saya dan 25 OKT yang lain digari dan dibawa ke Lokap Pusat di Shah Alam dalam satu lori polis yang dipandu laju dan secara merbahaya sehingga beberapa orang OKT di dalamnya telah jatuh ke lantai lori.

READ MORE:  Sanusi's arrest: Why in the middle of the night?

Pada hari ke esokannya, kami 25 orang yang ditahan telah dibawa depan seorang majistret wanita, dan Tn Vasu yang mewakili polis memohon tiga hari reman untuk kesemua kami. Peguam kami telah cuba memberitahu pada Pn Majistret bahawa semua penyiasatan telahpun dilaksanakan dan permohonan reman harus ditolak.

Tetapi Pn Majistret percaya Tn Vasu yang berhujah bahawa polis memerlukan masa untuk mengaturkan “kawat cham” dan untuk menentukan dalang-dalang di belakang peristiwa di kastam dan membenarkan reman selama dua hari.

Walaupun kami disimpan dua malam di lockap Shah Alam, langsung tidak ada sebarang siasatan lanjut dilakukan keatas kami 25 OKT semasa tempoh reman iaitu 24 Mac dan 25 Mac. Hanya sekumpulan pegawai D7 telah datang dan mengisi borang selidik berkaitan keahlian dalam kongsi gelap dan gangster yang langsung tidak kena mengena dengan kehadiran kami di pejabat kastam pada 23 Mac.

Saya mahu polis menyiasat:

Siapakah pegawai tinggi polis yang keluarkan arahan untuk menghalang dan menyekat kami dari berjumpa dengan pegawai kastam. Tugas polis hanyalah untuk menjaga ketenteram awam dan bukan untuk menghalang orang awam berjumpa dengan kakitangan kerajaan.

Siapakah pegawai tinggi polis yang keluarkan arahan menangkap kami semua pada 5.00 petang 23 Mac. Pada takat itu, kami baru sedar bahawa kami telah ditipu oleh pihak kastam dan kami memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan semua orang yang telah datang sebelum bersurai. Mengapa masa itu tidak dibenarkan? Apakah kecemasannya untuk buat tangkapan secara yang kasar?

Siapakah pegawai tinggi polis yang mengeluarkan arahan untuk mereman saya dan 24 orang OKT yang lain. Kerana adalah jelas pihak polis di perengkat Balai Kelana Jaya telahpun buat keputusan untuk lepaskan saya atas jamin mulut kerana semua penyiasatan terhadap saya telahpun diselesaikan. Tetapi keputusan perengkat polis Kelana Jaya dibatal dan saya ditahan. Kuasa polis di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah adalah untuk menyiasat bukan untuk “mengajar” atau membalas dendam. Reman terhadap kami 25 orang merupakan salahguna kuasa polis. Siapakah yang mengarahkan reman terhadap kami?

READ MORE:  Dr Jeyakumar, three others arrested: Forced evictions and demolitions of farms happening now!

Saya mahu aduan ini disiasat oleh pihak atasan polis yang neutral. Disebabkan operasi ini melibatkan hampir kesemua daerah polis di Selangor dan juga melibatkan OCPD Petaling Jaya dan Timbalan Ketua Polis Negeri Selangor, maka kami mahukan siasatan kami dilaksanakan oleh pihak polis Bukit Aman yang mempunyai pangkat yang lebih besar daripada KPD.

Pendekatan pihak polis dalam menangani perkara ini bukan sahja menyusahkan orang awam dan aktivis yang berkumpul untuk dapat maklumbalas pihak kastam tetapi juga menjatuhkan imej polis di kalangan orang ramai.

Pihak polis memerlukan kepercayaan dan kerjasama orang ramai untuk melaksanakan segala tanggungjawab polis secara lancar dan berkesan. Tetapi jika orang ramai berpendapat polis tidak bersikap profesyional tetapi sedang bertindak berat sebelah serta keras, mereka akan hilang kepercayaan terhadap polis dan tidak akan memberi kerjasama mereka.

Oleh itu perkara ini harus disiasat kerana nampaknya ada beberapa pegawai di perengkat atasan PDRM yang bertindak keterlaluan sehingga nama baik dan prestasi polis sendiri tercemar.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x