Ooi Heng mendapati Pota memaparkan beberapa ciri-ciri yang dikongsi bersama sebelum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dalam masa dua hari, pemerintah pusat telah mencadangkan dua akta baru dan enam pindaan akta sedia ada untuk memerangi ancaman IS yang dijuga digelar sebagai Isis (Islamic State of Iraq and al-Sham) atau Isil (Islamic State of Iraq and the Levant).
Tanggal 30 Mac 2015, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi membentangkan dua rang undang-undang (RUU) yang merupaan akta baru untuk bacaan kali pertama, yakni RUU Pencegahan Keganasan 2015 atau nama singkatannya Pota, bersamaan dengan Prevention of Terrorism Act 2015, dan RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Jaafar membentangkan pindaan bagi lima akta sedia ada untuk bacaan kali pertama seperti berikut:
1. RUU Penjara (Pindaan) (No. 2) 2015;
2. RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015;
3. RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015;
4. RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015;
5. RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kemudian pada hari kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah membentangkan RUU Keterangan (Pindaan) 2015 untuk bacaan kali pertama.
Lapan RUU di atas adalah saling berkait dan harus dibaca bersama. Ahli parlimen, masyaarakat madani dan pelbagai pihak lain prihatin terhadap pembentangan lapan RUU ini khususnya Pota kerana implikasinya adalah luas dan melangkaui persempadanan negara.
Namun begitu, apa yang pelik adalah, pada ketika ulasan ini ditulis, iaitu hampir 48 jam selepas Pota dan RUU berkaitan dikemukakan dalam Dewan Rakyat, portal rasmi Parlimen Malaysia yang telah mencapai penarafan lima bintang daripada Multimedia Development Corporation (MDEC), masih belum memuat-naik (upload) teks kandungan RUU berkaitan ke atas portal rasminya.
Sepatutnya, dalam era internet jalur lebar, semua teks kandungan RUU dimuat-naik ke atas portal rasmi Parlimen Malaysia, sejurus selepas RUU tersebut dibaca kali pertama dalam Dewan Rakyat sekitar jam 11.30 pagi.
Walau bagaimanapun, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah meneliti Pota dan beberapa pindaan berkaitan dan ingin membangkitkan kebimbangan berhubung peruntukan-peruntukan dalam RUU ini yang mungkin menjejaskan prinsip-prinsip negara hukum yang menjadi asas kepada sistem perundangan dan kehakiman di negara ini.
KPRU mendapati, Pota memaparkan beberapa ciri-ciri yang dikongsi bersama sebelum Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dmansuhkan seperti berikut:
Pertama, di bawah subseksyen 3 (1), seseorang pegawai polis boleh tanpa waran menangkap mana-mana orang jika dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa terdapat alasan yang menjustifikasikan siasatan diadakan mengenai kes orang itu di bawah Pota.
Kedua, kedua-dua “perintah tahanan” dan “perintah sekatan” boleh dilanjutkan secara infiniti.
Di bawah “perintah tahanan”, seseorang boleh direman dalam jagaan polis selama 21 hari, kemudian dipanjangkan reman dalam jagaan polis selama 38 hari, diikuti tahanan di bawah “perintah tahanan” selama dua tahun yang oleh dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi, kemudian dua tahun lagi dan seterusnya tanpa had.
Sementara itu, di bawah “perintah sekatan”, seseorang boleh direman dalam jagaan polis selama 21 hari, kemudian dipanjangkan reman dalam jagaan polis selama 38 hari, diikuti tahanan terhad di bawah “perintah sekatan” selama lima tahun yang oleh dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi, kemudian dua tahun lagi dan seterusnya tanpa had.
Ketiga, menurut subseksyen 10 (6), orang yang menjadi subjek siasatan itu dan saksi dalam suatu siasatan tidak boleh diwakili oleh peguam bela dan peguam cara dalam siasatan itu kecuali apabila keterangannya sendiri sedang diambil dan direkodkan oleh Pegawai Siasatan.
Sementara itu, menurut subseksyen 11 (2), tiada apa jua dalam seksyen ini boleh memberi kuasa subjek siasatan atau peguam bela dan peguam caranya atau wakilnya, jika ada, hadir di tempat tahanan atau penjara.
Keempat, di bawah subseksyen 19 (1), tiada apa-apa kajian semula kehakiman dalam mana-mana mahkamah mengenai, dan tiada mahkamah mempunyai atau boleh menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan, apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan Keganasan pada menjalankan kuasa budi bicaranya mengikut Pota, kecuali mengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam Pota yang mentadbir tindakan atau keputusan itu.
Kelima, tanpa pematuhan kepada prinsip-prinsip negara hukum secara tegas, konsep-konsep subjektif seperti “mempercayai”, ‘kuasa budi cara”, “adil’, “kepentingan keadilan” dan seumpamanya mungkin membuka ruang untuk tafsiran yang bermasalah atau penyalahgunaan.
Melihat kepada permasalahan yang wujud dalam Pota dan RUU berkaitan, KPRU khuatir kemungkinan penyalahgunaannya boleh menggalakkan rule by law dan bukannya rule of law. Justeru, KPRU mencadangkan supaya penelitian secara terperinci dan menyeluruh dilakukan terhadap lapan RUU ini.
Untuk berbuat demikian, sejurus selepas perbahasan peringkat dasar RUU berkaitan, KPRU mencadangkan supaya RUU tersebut dirujuk kepada sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang akan meneliti RUU tersebut secara terperinci dan menyeluruh.
Hal ini kerana, dalam sistem sedia ada, di mana perbahasan peringkat jawatankuasa diteruskan dalam sesebuah jawatankuasa majlis atau Committee of the Whole dalam Dewan Rakyat, tidak mewujudkan suasana yang menggalakkan peranan perundangan seseorang ahli Parlimen.
KPRU berpendapat, praktis penelitian suatu RUU dalam sesebuah Jawatankuasa Pilihan Khas dapat mengukuhkan peranan perundungan seseorang ahli Parlimen. Memandangkan implikasi Pota dan RUU berkaitan yang begitu besar, kini masanya pihak pemerintah pisat dan pihak Speaker Dewan Rakyat mempertimbangkan secara serious cadangan ini.
Ooi Heng ialah pengarah eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).
1 April 2015
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme