Home Civil Society Voices Agenda reformasi parlimen perlu lebih jelas era Malaysia Madani

Agenda reformasi parlimen perlu lebih jelas era Malaysia Madani

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menyambut baik dan menyokong sepenuhnya agenda reformasi parlimen yang disebut Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagi menjadikan Parlimen Malaysia sebagai sebuah parlimen kelas pertama, seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Antara yang menjadi fokus beliau kali ini, antara lainnya bagi memperkasa jawatankuasa pilihan parlimen, pengenalan semula akta perkhidmatan parlimen, pengenalan sesi soal jawab perdana menteri dan keanggotaan kesemua ahli parlimen persendirian dalam jawatankuasa pilihan parlimen.

Perkembangan ini agak positif dan memberangsangkan bagi sebuah institusi terpenting negara, Parlimen Malaysia.

Kami ingin mengetahui perancangan lanjut Yang di-Pertua akan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan baharu, bilangan berserta keahliannya, termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, yang akan memantau semua kementerian pimpinan perdana menteri memandangkan kabinet sudah terbentuk lebih daripada dua bulan selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Kami mencadangkan juga sebuah jawatankuasa pilihan parlimen bagi belanjawan dan kewangan ditubuhkan berasingan bagi menyemak hal ehwal kewangan lain yang tidak termasuk di bawah pantauan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Untuk jawatankuasa pilihan parlimen berasaskan kementerian dan tema yang penting, seperti hal ehwal dalam negeri, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, pertahanan dan hal ehwal luar negeri, pilihan raya dan demokrasi pelbagai parti, hak asasi, jawatankuasa yang ditubuhkan khas untuk memantau seharusnya bersifat tetap dan disenaraikan dalam peraturan mesyuarat supaya semua jawatankuasa ini akan kekal wujud sepanjang masa dengan hanya keahlian mereka ditukar selepas setiap pilihan raya umum. Kesinambungan ini akan mengekalkan keberkesanan dan pemantauan jawatankuasa itu sendiri.

Kami juga ingin mencadangkan supaya pihak Yang di-Pertua menggalakkan dan membenarkan seoptimum mungkin penubuhan kumpulan rentas parti parlimen Malaysia seperti penggal lepas yang telah berjaya merapatkan jurang penglibatan kumpulan masyarakat madani serta orang awam dalam proses pembuatan dasar negara di Parlimen yang dianggotai oleh ahli parlimen rentas parti secara multipartisan seperti kumpulan rentas parti parlimen Malaysia pendanaan politik yang diterajui oleh Ideas.

READ MORE:  Two views on Malaysia Agreement 1963 and parliamentary representation

Sebagai contoh, kumpulan rentas parti parlimen Malaysia reformasi Parlimen mesti ditubuhkan segera bagi mengkaji dan mencadangkan segala bentuk penambahbaikan Parlimen yang diperlukan bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Usaha ini akan dapat membantu pihak Parlimen menentukan hala tuju yang jelas dalam mereformasi parlimen era Malaysia Madani.

Gagasan mulia Malaysia Madani harus diangkat menjadi payung naratif untuk mendukung demokrasi pelbagai parti dan mendalami reformasi parlimen dan institusi penting yang lain. Persengketaan antara-parti yang sengit harus digantikan oleh persaingan antara-parti yang sihat, profesional dan produktif.

Akhirnya, kami menyeru supaya gabungan ini terus dijadikan rakan strategik Parlimen Malaysia sebagai kesinambungan usaha memperkasa Parlimen Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Ditegaskan juga usaha ini selari dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh perdana menteri dan semangat yang ditunjukkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sendiri bagi mengangkat semula martabat Malaysia selaku negara demokrasi berparlimen yang gemilang di persada dunia dan kelas pertama.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

Organisasi:

  • Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
  • Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas)
  • Engage Network
  • Wisdom Foundation
  • Bait Al Amanah
  • Reform Malaysia
  • Undi18

Individu:

  • Maha Balakrishnan
  • Dr Lim Chee Han
  • Prof Wong Chin Huat
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x