Adakah kita menginginkan masa hadapan yang lebih teruk daripada sekarang, ujar Ahmad Izzudin Azmi.
Sewaktu saya remaja, saya sering membayangkan masa hadapan dunia yang bakal saya duduki pada tahun 2020 dipenuhi dengan teknologi yang canggih, alam sekitar yang terjaga, manusia yang mencapai aras baru dari sudut perbuatan dan pemikiran, manusia yang menjaga hubungannya dengan alam sekitar dan menjaga hubungan dengan manusia yang lain tanpa mengira status, bangsa apatah lagi agama.
Dan, yang paling penting, bumi ini ditadbir oleh pemimpin yang adil, saksama dan sayang kepada rakyatnya sendiri dan alam sekitar.
Tetapi impian saya meleset sama sekali setelah saya menjejakkan kaki pada tahun 2020: dunia ini sama sekali tidak seperti yang saya bayangkan pada zaman saya remaja dahulu malah saya boleh simpulkan bahawa lebih banyak masalah yang dihadapi oleh manusia zaman sekarang berbanding dengan 10 tahun dahulu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Hari ini, walaupun kita telah mencapai tahap teknologi yang baru namun manusia masih lagi tidak mampu menyelesaikan masalah ketamakkan, keadilan dan keegoan.
Pada tahun ini dunia ini masih dipenuhi oleh pemimpin yang hanya fikirkan kuasa politik dan ekonomi, pemimpin yang hanya melihat rakyatnya sebagai kambing untuk digembala dan pemimpin yang langsung tidak menghargai alam dan isinya.
Pada tahun ini juga saya melihat manusia dihukum oleh alam dengan penyakit yang masih lagi belum ada penawarnya.
Akibat daripada kerakusan manusia terhadap alam dan isinya, manusia pada tahun 2020 ini dihukum dengan wabak yang menyerang satu dunia tanpa mengira pangkat ataupun bangsa.
Hampir lapan juta kes dicatatkan dan wabak ini juga sudah meragut lebih 400,000 kematian di seluruh dunia yang menyebabkan manusia dipaksa untuk hidup di dalam norma baharu, dan tidak cukup dengan itu, manusia di seluruh dunia juga diancam oleh krisis iklim yang sedang dan bakal melanda bumi ini.
Krisis iklim telah menyebabkan purata suhu bumi ini bertambah sebanyak 1C semenjak daripada zaman pra-industri lebih daripada 100 tahun dahulu. Pertambahan ini secara besarnya disebabkan oleh kegiatan ekonomi seperti penebangan atau pembakaran hutan, perindustrian dan pembakaran fosil api yang melepaskan gas karbon dioksida, nitrogen oksida dan mentana ke atmosfera.
Pertambahan sebanyak 1C mungkin tidak nampak besar dari sudut nombor namun kita telah menyaksikan beberapa perubahan dan kesan yang dramatik telah berlaku kepada iklim kita.
Paras air laut yang meningkat, cuaca ekstrem, kehilangan biodiversiti, ancaman kepada keselamatan makanan dan juga masalah kesihatan seperti wabak penyakit telah berlaku pada zaman kita hidup ini, dan situasi ini akan bertambah lebih teruk pada masa hadapan.
Kebanyakkan pemanasan global yang berlaku pada bumi kita telah terjadi semenjak 35 tahun yang dahulu dengan rekod suhu paling panas dicatatkan pada tahun 2010.
Report rasmi yang telah dikeluarkan oleh panel International Panel for Climate Change menyatakan bahawa pemanasan global dijangka akan mencapai 1.5C diantara tahun 2030 dan 2052 jika aktiviti manusia yang merosakkan bumi masih lagi tidak dikawal.
Kesan-kesan besar telahpun berlaku pada zaman ini, dan jika kita membukakan mata kita, kita dapat melihat kesan-kesannya di sekeliling kita.
Tarikh 5 Jun 2020 merupakan hari alam sekitar sedunia. Jadi marilah kita sama-sama memberi kesedaran kepada diri kita bahawa krisis iklim bukan sahaja akan memberi kesan kepada umat manusia, pokok dan binatang tetapi akan memberi kesan yang besar kepada generasi muda dan seluruh masa hadapan mereka.
Namun apa yang lebih mendukacitakan pada tahun 2020 ini adalah kita masih mempunyai pemimpin dan rakyat yang tuli dengan tanda-tanda yang telah ditunjukkan.
Sebahagian pemimpin masih lagi tidak belajar untuk menghargai alam dan isinya malah memilih untuk merosakkan lagi alam kurniaan tuhan ini dengan alasan pembangunan ekonomi walaupun kita tahu bahawa ini bukanlah pembangunan yang benar-benar diperlukan tetapi hanya untuk mengisi kantung-kantung setengah pihak.
Sebagai contoh, kerajaan negeri Pulau Pinang masih lagi memilih untuk menambak 4,500 ekar laut di bahagian selatan Pulau Pinang untuk membuat tiga pulau buatan. Projek yang dijangka menelan kos RM46bn ini dan mengambil masa selama 50 tahun untuk siap sepenuhnya ini bakal menghasilkan sebanyak 3.2 juta tan karbon setiap tahun, menurut “18 nasihat” yang dikeluarkan oleh Majlis Rancangan Fizikal Negara dan bakal menjadi penyumbang kepada krisis iklim.
Selain daripada itu, projek ini akan memusnahkan secara kekal kawasan laut cetek yang kaya dengan kepelbagaian marin di kawasan Teluk Kumbar, kawasan selatan Pulau Pinang, sekaligus akan memusnahkan ekosistem perikanan yang menjadi tulang belakang rezeki nelayan-nelayan selama bergenerasi.
Dalam tahun pertama permulaan projek ini, pihak pemaju akan mengikis lumpur-lumpur subur sepanjang kawasan persisiran pantai, dan akan mengakibatkan kemusnahkan kepada sumber perikanan semulajadi yang terkaya di Pulau Pinang.
Pelombongan pasir untuk projek ini akan menjejaskan lebih 6,000 orang nelayan di sepanjang pantai di utara negeri Perak.
Hasil pencemaran daripada projek penambakan di kawasan selatan Pulau Pinang akan mengancam kawasan “segitiga emas” akuakultur air payau, sumber lebih 50% bekalan ikan ternak di Semenanjung Malaysia. Pusat-pusat peternakan ikan di sini termasuk Sungai Udang di Pulau Pinang, serta Tanjung Piandang dan Kuala Kurau, terutamanya kawasan-kawasan paya bakau di Kuala Gula dan Kuala Sepetang di Perak.
Projek ini juga bakal memberi ancaman kepada keselamatan sumber makanan dan peningkatan harga makanan laut akan memberi kesan yang paling mudarat kepada penduduk golongan 40% yang terendah di Malaysia.
Menteri pertanian sendiri mengatakan di Parlimen bahawa projek ini bakal memberi kesan kepada 4,909 nelayan di Pinang dan 511 penternak akuakultur.
Di dalam surat bertarikh 25 Jun 2019 pula, ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar sendiri telah menasihatkan kerajaan Pulau Pinang bahawa “pembangunan projek akan menyebabkan kemusnahan kekal dan residual impact ke atas ekosistem dataran lumpur (mudflat), fishing ground, kawasan pendaratan penyu, dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau…. Kemusnahan kekal ini akan memberi impak negatif yang signifikan kepada sumber perikanan, nelayan dan jaminan sumber bekalan makanan negara.”
Nasihat ini dengan ironis telah dimasukkan ke dalam surat kelulusan bagi laporan penilaian impak alam sekitar tersebut, ditandatangani, oleh ketua pengarah jabatan tersebut pada hari terakhir beliau bertugas sebelum bersara.
Walaupun pihak kerajaan negeri sedar bahawa projek ini bakal membawa impak besar yang negatif kepada alam dan walaupun alam ini telah menunjukkan tanda-tanda bencana dan wabak kepada kita, namun mereka masih lagi memilih untuk meneruskan projek ini dan tidak cukup dengan itu mereka juga sanggup untuk menegakkan benang yang basah dengan ucapan dan artikel yang dipenuhi oleh pembohongan semata-semata.
Terdapat juga pengikut mereka yang sanggup untuk mengeluarkan artikel-artikel yang hanya dipenuhi oleh retorik semata-mata seperti menyatakan bahawa projek ini selari dengan sustainable development goals, projek ini akan membaikpulih biodiversiti marin dan pelbagai lagi artikel yang jelas menyimpang dari kebenaran.
Beberapa hari yang lepas, kolam akuakultur di sepanjang Sungai Udang di Perak, Tanjung Piandang, Kuala Kurau dan Kuala Gula di Perak telah berlaku kematian ikan dengan jumlah yang besar. Menurut Jabatan Perikanan, perkara ini berlaku disebabkan oleh ledakan alga yang berbahaya yang juga dikenali sebagai “red tide”.
Ribuan ikan yang mahal telah dibuang ke dalam laut di perairan Pulau Pinang. Kebanyakan bangkai-bangkai ikan ini telah hanyut ke kawasan pantai Teluk Kumbar. Pihak kerajaan tidak berbuat apa-apa mengenai isu pencemaran bangkai ikan ini, dan tiada sebarang peguatkuasaan dijalankan.
Projek tambakan ini dengan jelas akan bawa kemusnahan kekal kepada alam sekitar, menyumbang kepada krisis iklim, menggugat jaminan keselamatan makanan rakyat dan akan menjejaskan secara besar pendapatan nelayan di Pulau Pinang dan di utara Perak.
Segala kenyataan yang menyatakan bahawa projek ini tidak akan memberi kesan kepada alam sekitar ataupun projek ini mampu untuk membaikpulih alam sekitar merupakan satu propaganda jahat dan kenyataan “greenwashing” semata-mata yang hanya memihak kepada pihak yang bakal memperoleh keuntungan daripada projek ini.
Mereka yang terlibat dengan propaganda untuk menjustifikasikan kemusnahan ini seharusnya berhenti berbuat demikian dan mereka perlu membuka mata dan minda mereka dengan melihat dan memikirkan generasi hadapan yang bakal mewarisi bumi ini. Tiada nilai wang yang mampu untuk menggantikan masa hadapan rosak, dan wang ringgit itu tidak mampu untuk membeli kebenaran.
Berhentilah memihak kepada wang dan ketamakkan. Dengan segala tanda yang telah ditunjukkan dan dengan segala bencana yang telah kita hadapi, kita harus sedar sebagai seorang manusia bahawa kita perlu kembali kepada jalan yang benar iaitu jalan-jalan kemanusiaan dan bukannya jalan yang merosakkan.
Adakah kita menginginkan masa hadapan yang lebih teruk daripada sekarang?
Ahmad Izzudin Azmi ialah aktivis Penang Tolak Tambak
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme