Home Civil Society Voices Anti-lompat parti: Saranan berkaitan perjalanan dan kandungan jawatankuasa pilihan khas

Anti-lompat parti: Saranan berkaitan perjalanan dan kandungan jawatankuasa pilihan khas

File photo: Aliran

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Surat terbuka kepada jawatankuasa pilihan khas berkaitan rang undang-undang pindaan perlembagaan persekutuan dan anti-lompat parti:

Terlebih dahulu kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menyambut baik penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas, khusus bagi meneliti penggubalan undang-undang anti-lompat dan perkara-perkara yang berkaitan.

Kami juga memuji sikap matang kesemua 59 orang ahli parlimen yang terlibat dalam perbahasan secara sihat yang menyentuh pelbagai aspek serta mendalam dalam sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin, 11 April lepas.

Seperti apa yang disebut Perdana Menteri Ismail Sabri sebagai “manifestasi politik sihat” dan perdebatan profesional juga mendalam yang didambakan dalam sebuah negara demokrasi sihat ini, mesti diteruskan. Tahniah!

Setelah kami meneliti dengan rapat perkembangan dan mengadakan perbincangan berkaitan isu ini, kami telah sepakat menyenaraikan saranan konstruktif kepada jawatankuasa pilihan khas untuk dipertimbangkan, seperti berikut:

(1) Bahawa musyawarah jawatankuasa pilihan khas diperkembangkan untuk merangkumi segala isu yang berkaitan dengan isu lompat parti seperti pindaan terhadap Akta Pertubuhan 1966, pengkanunan peruntukan pembangunan kawasan, lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan, pendanaan politik, kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan pemisahan fungsi peguam negara dan pendakwa raya.

Rakyat Malaysia umumnya inginkan semua isu di atas yang menggalakkan gejala lompat parti dipertimbangkan untuk dicari jalan penyelesaiannya, namun jika ruang lingkup perbincangan yang terlalu sempit hanya akan menghampakan orang ramai dan menjejaskan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan dalam isu undang-undang anti-lompat ini.

(2) Bahawa jawatankuasa pilihan khas menjemput secara terbuka semua pemegang taruh – ahli parllimen, parti politik, organisasi masyarakat madani (CSO), ahli akademik dan individu-individu – untuk memberi cadangan secara bertulis kemudian memilih di kalangan mereka yang dijemput untuk membentang pandangan mereka secara terperinci di hadapan jawatankuasa pilihan khas.

READ MORE:  Proposed constitutional amendment overreaches the objectives of 'anti-hopping' and is open to abuse

(3) Bahawa jawatankuasa pilihan khas akan menggunakan budi bicaranya akan memuatnaik segala cadangan bertulis oleh orang awam di laman sesawang Parlimen Malaysia dan menyiarkan – secara langsung dan terbuka – semua sesi libat urus dengan semua yang dijemput, kecuali mereka yang memilih untuk tidak diumumkan cadangan atau libat urus bersama mereka. Hal ini akan membolehkan orang awam dan pemegang taruh dapat mengikuti proses musyawarah jawatankuasa pilihan dengan lebih jelas dan telus.

(4) Bahawa jawatankuasa pilihan khas akan menyiarkan kepada orang awam secara mingguan dan berperingkat dapatan dan keputusan jawatankuasa pilihan khas terutamanya deraf undang-undang anti-lompat yang terkini. Dengan cara ini, jawatankuasa pilihan khas boleh mengadakan perbincangan tertutup dan pada masa yang sama membolehkan orang awam mengikut perkembangan jawatankuasa ini.

Dalam kata lain, jawatankuasa pilihan khas boleh menyelesaikan isu demi isu ke arah syor-syor terakhir, tanpa membuat pusingan U yang tidak dijangka. Jawatankuasa pilihan khas harus mengambil iktibar kerumitan dalam libat urus bermula dari November 2021 sehinggalah 6 April 2022, yang mana rundingan dan keputusan awal boleh dibangkitkan semula dan ditolak pada saat-saat akhir.

(5) Bahawa syor-syor jawatankuasa pilihan khas akan dibentangkan dalam Parlimen dan sebarang pindaan dan keputusan lain dibuat hanya dalam mesyuarat dewan parlimen, dan bukannya dalam mesyuarat kabinet; serta semua ahli parlimen diberikan hak untuk mengundi secara bebas dan tidak dikongkong oleh arahan parti.

Ia akan memberi ruang kepada ahli parlimen membuat keputusan secara bebas tanpa mengakibatkan kuasa veto secara hakiki oleh segelintir ahli parlimen untuk menggagalkan undang-undang anti-lompat, sekali gus menggagalkan MoU antara kerajaan dan blok utama pembangkang.

Sehubungan dengan itu, perdana menteri selaku ketua majlis harus menetapkan suatu tarikh bagi sebuah sidang khas kedua berkaitan pindaan perundangan ini seperti dijanjikan, dalam masa terdekat.

READ MORE:  Select committee on anti-defection amendments: A case of better late than never

(6) Bahawa jawatankuasa pilihan khas akan mengesyorkan agar sama ada tempoh perjalanan jawatankuasa pilihan khas ini wajar dilanjutkan atau jawatankuasa pilihan khas baru ditubuhkan untuk meneliti dan mengemukakan syor untuk isu-isu lain yang menyumbang kepada aktiviti lompat parti – seperti yang disenaraikan di (1) di atas – tetapi tidak harus dimasukkan dalam undang-undang anti-lompat.

Jika perlu, jawatankuasa pilihan khas ini atau jawatankuasa pilihan khas yang baharu kelak harus berfungsi sehingga akhir penggal parlimen kali ini, sepertimana semangat yang digambarkan dalam MoU.

(7) Mencadangkan supaya jawatankuasa pilihan khas melantik beberapa orang penasihat daripada CSO dan akademia yang mahir serta pakar berkaitan isu yang sedang diteliti jawatankuasa pilihan khas. Kami mencadangkan dua orang individu yang dikenali dengan kepakaran dalam bidang berkenaan, seperti berikut:

  • Prof Wong Chin Huat, saintis politik, Sunway University
  • Maha Balakrishnan, pakar demokrasi berparlimen dan felo penyelidik, Jeffrey Cheah Institute, Sunway University

Kami berharap pihak jawatankuasa pilihan khas dapat memberikan perhatian sekali gus mengambil tindakan sewajarnya terhadap setiap saranan di atas. Diharapkan proses pembentukan sebuah perundangan berkaitan isu lompat parti ini berjalan dengan penuh demokratik dan telus. Selamat maju jaya!

Surat terbuka ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Ditandatangani oleh:

  • Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)
  • Engage Network
  • Bait Al-Amanah
  • Institute for Political Reform and Democracy (Reform)
  • Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas)
  • Persatuan Pengundi Muda (Undi18)
  • Wisdom Foundation
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:


The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x