Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Kami, sekumpulan organisasi masyarakat sivil yang komited terhadap kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial, ingin mengemukakan bantahan kami atas cadangan pembinaan 18 loji “waste-to-energy” (WTE) di Malaysia.
Pertama sekali, kami ingin mengetahui sama ada penilaian impak sosial dan penilaian kesan kepada alam sekeliling telah dilaksanakan secara menyeluruh sebelum cadangan ini diteruskan. Penilaian ini adalah kritikal untuk memahami kesan sebenar projek ini terhadap komuniti dan alam sekitar kita.
Tanpa adanya penilaian impak yang mantap untuk menyokong keberkesanan dan keselamatan cadangan pembinaan loji-loji WTE ini, pelaksanaan cadangan pembinaan loji WTE adalah pramatang dan tidak munasabah memandangkan pengoperasian loji-loji ini berpotensi menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan komuniti setempat, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran dengan loji-loji ini.
Kajian yang dibangkitkan oleh Shukla et al (2024) menunjukkan bahawa pembakaran sisa akan menghasilkan hasil sampingan yang memudaratkan, dan penapisan hasil sampingan dan residu pembakaran memerlukan sistem penapisan yang kompleks, canggih dan teliti. Apakah bukti-bukti yang dapat menunjukkan bahawa loji-loji pembakaran sisa ini tidak akan menghasilkan bahan pencemar udara yang berbahaya seperti dioksin dan furan, serta gas-gas toksik, zarah halus dan logam berat, serta mempunyai sistem penapisan yang canggih yang dapat mengasingkan bahan pencemar udara yang berbahaya dan memudaratkan ini sebelum dilepaskan?
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pembinaan loji WTE adalah penyelesaian palsu (false solution) dalam menangani masalah perubahan iklim, krisis sisa dan pencemaran plastik. Ia juga tidak sejajar dengan hala tuju ekonomi pekeliling. Ini kerana loji WTE akan bersaing dengan pusat kitar semula untuk bahan yang sama dan segala usaha mengurangkan sisa sampah. Persaingan ini akan menjejaskan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi usaha kitar semula. Ia juga tidak menggalakkan pengurangan sisa ataupun reka semula (redesigning) sesebuah pembungkusan dan produk, lalu menyebabkan tanggungjawab pengurusan sisa bungkusan dan produk pada pengusaha terus kekal pada pengguna.
Pendekatan sisa sifar (zero waste) yang bermaksud “kurangkan pembaziran, kurangkan penjanaan sisa” harus dimasukkan dalam pelan pengurusan sisa nasional. Pendekatan ini bukan sahaja lebih mampan, tetapi juga lebih adil dan berkesan dalam jangka masa panjang.
Zero waste menekankan pengurangan sisa di sumber, penggunaan semula, isi semula, kitar semula bagi kertas, kaca, kadbod, aluminium, keluli, pengkomposan yang dapat menggantikan kebergantungan kepada loji WTE dan meminimumkan pencemaran alam sekitar.
Menurut satu laporan, rakyat Malaysia menjana kira-kira 16,720 tan sisa makanan setiap hari. Ini merangkumi hampir 44% daripada jumlah keseluruhan sisa domestik. Pengkomposan akan mengalih lebih daripada satu pertiga sisa makanan daripada pelupusan akhir.
Selain daripada itu, sisa plastik yang merangkumi hampir satu pertiga daripada sisa domestik di Malaysia adalah sangat membimbangkan. Oleh itu, sistem tanggungjawab pengeluar lanjutan (extended producer responsibility), guna semula dan isi semula perlu dilaksanakan untuk menangani krisis plastik.
Penggunaan teknologi WTE di Singapura telah menyebabkan penurunan yang ketara dalam kadar kitar semula mereka kepada 52% pada tahun 2023 (Ganesan, 2024). Penurunan kadar kitar semula ini boleh menyebabkan kehilangan sumber yang boleh dan patut dikitar semula seperti sisa makanan, kertas, konkrit, kayu, tekstil dan tin aluminium.
Di negara Denmark pula, apabila usaha kitar semula mereka meningkat dan sampah berkurangan, mereka terpaksa mengimport sampah daripada negara lain untuk mengekalkan pengoperasian loji WTE tersebut. Ini turut menjejaskan matlamat pengurangan pembebasan gas karbon dioksida negara mereka yang ingin dicapai seperti yang termeterai dalam Perjanjian Paris 2015.
Kami risau Malaysia akan menghadapi masa depan yang sama jika pembinaan loji WTE ini diteruskan.
Amalan pendekatan zero waste juga dapat memberikan manfaat ekonomi yang ketara. Ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan dalam industri kitar semula dan pemulihan sumber, serta mengurangkan kos pengurusan sisa dalam jangka masa panjang. Di samping itu, ia dapat membantu Malaysia mencapai matlamat kelestarian dan mematuhi komitmen antarabangsa terhadap perlindungan alam sekitar.
Kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu melabur dalam peralihan kepada ekonomi pekeliling (circular economy) dan sifar sisa (zero waste) – dan bukan membiayai penyelesaian palsu yang akan menimbulkan lebih masalah seperti WTE.
Ini bermakna pelaburan dalam dasar sifar sisa yang membina ekonomi pekeliling, hab sifar sisa baharu yang mengurangkan sisa dan memulihkan sumber, sistem pengkomposan baharu, dan hanya menyokong usaha kitar semula yang tulen. Langkah-langkah ini lebih mudah, lebih murah dan lebih cepat untuk dilaksanakan, memerlukan kos yang lebih rendah, serta menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Kami menggesa kementerian untuk mempertimbangkan semula cadangan ini dan melibatkan masyarakat sivil dalam perancangan dan pelaksanaan dasar pengurusan sisa negara. Penyertaan masyarakat adalah penting untuk memastikan bahawa keputusan yang diambil adalah adil dan telus, dan membawa manfaat kepada semua pihak.
Kerjasama dan perhatian YB dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sila hubungi kami jika YB ingin berbincang secara lanjut. Kami berharap dapat melihat perubahan positif dalam dasar pengurusan sisa negara yang lebih adil dan mampan.
Sekian. Yang benar,
Kami yang menandatangani,
- Greenpeace Malaysia
- Sahabat Alam Malaysia
- Consumers’ Association of Penang
- Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat
- Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka)
- Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (Environmental Protection Society Malaysia, EPSM)
- Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY)
- Alliance of River Three (ART!)
- Zero Waste Sabah (ZWS)
- Jaringan Rawang Tolak Insinerator
- Persatuan Kesedaran dan Pendidikan 3R Kuala Lumpur
- Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI)
- Gabungan Anti Insinerator Kebangsaan (GAIK)
- Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center)
- Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa)
- Suara Rakyat Malaysia (Suaram)
- RimbaWatch
- Parti Sosialis Malaysia (PSM)
- Malaysian Nature Society (MNS)
- Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
- Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass)
- Cerah Malaysia
- Aliran
- Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)
- AJ Rimba Collective
- Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)
- Treat Every Environment Special
- Persatuan Petaling Jaya Lestari
- Persatuan Penduduk Seksyen 22 Petaling Jaya
- Fans of PJ (Friends and Neighbours of Petaling Jaya)
- Pusat Komas
U/P:
- Pejabat Perdana Menteri Malaysia
- Kementerian Sumbar Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme