ProtectKarpal telah memfailkan aduan rasmi kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Pulau Pinang bagi memohon siasatan segera terhadap projek pemulihan tapak pelupusan Jelutong dan tebus guna pantai di bawah perjanjian pembangunan bersama bertarikh 21 Februari 2020 antara kerajaan negeri Pulau Pinang, Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) dan PLB Engineering Berhad.
Aduan itu difailkan kerana rekod awam menunjukkan perubahan skop yang ketara. Cadangan tender semula PLB pada 2016 mengandungi sifar tebus guna pantai. Perjanjian pembangunan bersama 2020 memperkenalkan tebus guna. Dan penilaian impak alam sekitar yang dipamerkan pada 2025 menunjukkan komponen tebus guna seluas 70 ekar.
Dalam masa yang sama, penilaian impak alam sekitar projek itu tidak diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak lima kali berturut-turut.
ProtectKarpal meminta PAC meneliti projek RM1bn ini yang telah mencatat sekurang-kurangnya tujuh lanjutan tempoh sejak 2020, gagal memperoleh lima kelulusan penilaian impak alam sekitar berturut-turut, dan mungkin memohon lanjutan kelapan menjelang mesyuarat majlis eksekutif kerajaan negeri pada 20 Mei.
ProtectKarpal menegaskan bahawa aduan ini bukan dakwaan salah laku jenayah. Ia merupakan tuntutan akauntabiliti awam sebelum sebarang lanjutan tempoh baharu diberikan kepada projek yang melibatkan tanah awam, pesisir pantai awam, sebuah badan berkanun negeri dan penduduk yang tinggal bersebelahan tapak pelupusan Jelutong.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
“Bagi penduduk, ini bukan kontrak yang abstrak. Ini mengenai sama ada pemulihan yang dijanjikan akhirnya akan menjadikan tempat kediaman yang lebih selamat, atau mereka akan terus hidup dengan kelewatan, ketidakpastian dan projek tebus guna yang mereka tidak pernah setujui,” kata Dr K Ganesh, pengerusi ProtectKarpal dan PBSP.
Mengapa perkara ini penting sekarang
Masa isu ini amat mendesak. Aduan ini dikemukakan selepas lima keputusan penilaian impak alam sekitar tidak diluluskan dalam tempoh kira-kira 684 hari dan sebelum perbincangan majlis eksekutif pada 20 Mei 2026 berhubung permohonan lanjutan tempuh selanjutnya oleh PLB.
ProtectKarpal meminta agar sebarang lanjutan baharu tidak dipertimbangkan sehingga PAC menyemak rekod tender, perubahan skop perjanjian pembangunan bersama, kelulusan lanjutan tempuh, kos peluang dan implikasi risiko awam.
Rekod awam
Perjanjian pembangunan bersama yang ditandatangani pada Februari 2020 menetapkan satu syarat terdahulu dalam tempoh 18 bulan: PLB Engineering Berhad diwajibkan memperoleh kelulusan penilaian impak alam sekitar, penilaian impak lalu lintas dan penilaian impak sosial menjelang kira-kira Ogos 2021.
Tarikh itu tidak dipenuhi. Selepas itu, beberapa lanjutan tempoh direkodkan, yang diketahui komuniti melalui pemfailan Bursa Malaysia dan laporan tahunan syarikat.
Jejak lanjutan tempoh
- Februari 2020 – Perjanjian pembangunan bersama ditandatangani; tempoh 18 bulan ditetapkan untuk mendapatkan penilaian impak alam sekitar, trafik dan sosial menjelang Ogos 2021
- Oktober 2020 – Lanjutan tempuh 1: PLB memohon lanjutan sehingga empat bulan
- Oktober 2021 – Lanjutan tempuh 2: PLB memohon lanjutan 12 bulan
- Ogos 2022 – Lanjutan tempuh 3: Tempoh dilanjutkan hingga 5 Jun 2023
- Februari 2023 – Lanjutan tempuh 4: Kewajipan berkaitan pusat kitar semula bersepadu baharu tamat; PLB memohon semula
- Jun 2024 – Lanjutan tempuh 5: PDC melanjutkan tempoh hingga 30 Jun 2024
- Disember 2024 – Lanjutan tempuh 6: PDC melanjutkan tempoh hingga 31 Disember 2024
- April 2025 – Lanjutan tempuh 7: Bahagian perancang ekonomi negeri meluluskan lanjutan hingga 28 Februari 2026
- Mei 2026 – Lanjutan tempuh 8: PLB memohon lagi; Majlis eksekutif dijangka membuat keputusan pada 20 Mei 2026
Ini bukan satu tarikh akhir yang terlepas. Ini enam tahun lanjutan berulang bagi syarat asas yang perjanjian pembangunan bersama tetapkan perlu dipenuhi sebelum projek dapat bergerak.
Lima keputusan JAS yang tidak meluluskan penilaian impak alam sekitar ialah tanda paling ketara kepada kegagalan tadbir urus yang lebih besar dan kini diletakkan secara rasmi dalam rekod awam melalui aduan PAC.
Tidak dicadangkan dan tidak ditender semula
Aduan kepada PAC turut membangkitkan persoalan perolehan yang mendasar.
Apabila PLB Engineering Berhad menang tender awam 2015, cadangan semula syarikat pada Julai 2016 mengandungi sifar tebus guna laut.
Namun perjanjian pembangunan bersama 2020 memperkenalkan tebus guna.
Menjelang penilaian impak alam sekitar Februari 2025, angka itu meningkat daripada sifar kepada 70 ekar.
Laporan media pada Mei 2026 pula menyebut “kira-kira 30 hektar”, iaitu lebih kurang 74 ekar, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada skop itu bertambah lagi.
Persoalan utama: Tender yang dimenangi mengandungi sifar tebus guna. Namun perjanjian pembangunan bersama 2020 membuka ruang tebus guna, dan penilaian impak alam sekitar yang tidak diluluskan sebanyak lima kali mengandungi 70 ekar tebus guna.
Tiada tender kompetitif semula. Tiada penjelasan penuh kepada dewan undangan negeri.
ProtectKarpal meminta PAC menentukan siapa yang meluluskan setiap pembesaran skop, atas kuasa apa, dan sama ada prinsip perolehan awam telah dipatuhi.
Apa yang kami memohon daripada PAC:
- Memanggil ketua menteri, lembaga pengarah PDC, PLB Engineering Berhad, bahagian perancang ekonomi negeri dan JAS untuk memberi keterangan mengenai terma perjanjian pembangunan bersama, perubahan skop, semua kelulusan lanjutan tempuhan dan keputusan JAS
- Mendapatkan perjanjian pembangunan bersama penuh, semua minit PDC dan majlis eksekutif berkaitan lanjutan tempuh, semua dokumen penilaian impak alam sekitar, trafik dan sosial, serta surat keputusan JAS yang telah diminta komuniti selama berbulan-bulan tanpa jawapan memadai
- Menentukan sama ada pengenalan tebus guna pantai merupakan variasi material yang memerlukan tender kompetitif semula di bawah prinsip perolehan awam Malaysia.
- Meneliti risiko, liabiliti, tuntutan pampasan, konsesi, kos peluang atau akibat penamatan yang mungkin ditanggung PDC, kerajaan negeri atau orang awam
- Mengesyorkan agar majlis eksekutif menangguhkan keputusan 20 Mei 2026 mengenai permohonan lanjutan tempuh terbaru PLB sehingga PAC melengkapkan siasatan awalnya
“Enam tahun. Lapan permohonan lanjutan. Lima penilaian impak alam sekitar tidak diluluskan. Dan sebuah projek yang komponen tebus gunanya meningkat daripada sifar kepada 70 ekar tanpa satu pun tender awam baharu,” kata Ganesh.
“Kami membawa aduan ini kepada PAC kerana saluran lain telah kami cuba. PAC mempunyai kuasa berperlembagaan yang komuniti kami tidak ada – dan rakyat berhak mendapat jawapan yang hanya kuasa PAC itu boleh peroleh.”
Isu akauntabiliti awam
ProtectKarpal menyokong pemulihan tapak pelupusan Jelutong yang selamat dan bertanggungjawab.
Bantahan jawatankuasa ini tertumpu kepada perubahan skop yang tidak dijelaskan, pendedahan awam yang lemah dan lanjutan tarikh akhir berulang dalam projek yang memberi kesan kepada penduduk, nelayan, lalu lintas, kesihatan awam, ekologi pesisir – khususnya Middle Bank – dan masa depan Karpal Singh Drive.
Projek yang dibiayai pemaju tetap memerlukan semakan awam apabila ia menggunakan kuasa keputusan awam, melibatkan aset awam dan mengubah pesisir pantai awam.
Seruan tindakan
ProtectKarpal menyeru PAC Pulau Pinang supaya membuka siasatan segera, mendapatkan perjanjian pembangunan bersama penuh dan semua dokumen lanjutan tempuh, serta membentangkan dapatan kepada dewan undangan negeri dan orang awam.
ProtectKarpal juga menyeru rakyat Pulau Pinang menghubungi ahli dewan negeri masing-masing untuk menyokong siasatan PAC dan meminta sebarang keputusan lanjutan tempuh ditangguhkan sehingga rekod dokumentasi disemak secara bebas.
Jawatankuasa Tindakan Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal) ialah sebuah badan sivik yang diterajui penduduk, beroperasi di bawah naungan Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang Pulau Pinang (PBSP), dan mewakili komuniti Bandar Sri Pinang serta Jelutong, Pulau Pinang. ProtectKarpal memperjuangkan tadbir urus yang telus, dasar alam sekitar berasaskan bukti, serta perlindungan kesihatan komuniti dan integriti ekologi di Pulau Pinang.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











