
Semakan kehakiman bersejarah yang melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia baru- baru ini telahpun menekankan tahap diskriminasi yang dihadapi oleh orang kurang upaya (OKU) di tempat kerja.
Ketidakupayaan boleh dikategorikan dalam pelbagai jenis iaitu mental, fizikal, sistem deria (contohnya, penglihatan, pendengaran, sentuhan, sensitiviti terhadap sentuhan, haba, rasa dan bau, serta kombinasi daripadanya) dan bentuk ketidakupayaan yang lebih jarang.
Kementerian Kesihatan telah melancarkan kempen “Perangi Stigma” bagi menghapuskan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap penyakit mental; jadi sudah tiba masanya bagi kerajaan Malaysia memberi komitmen menyeluruh berkenaan hak OKU dengan menyemak dan meminda undang-undang lapuk supaya undang- undang negara kita adalah selari dengan Konvensyen mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD).
Malaysia menandatangani konvensyen ini pada tahun 2008 dan meratifikasinya pada tahun 2010. Namun, sehingga 2 Mac 2025, Malaysia masih belum mengemukakan laporan awal CRPD. Setelah sesebuah negara meratifikasi CRPD, laporan awal ini wajib dikemukakan dalam tempoh masa dua tahun.
Di domain awam, maklumat menyeluruh mengenai usaha kerajaan dalam menegakkan dan melindungi hak OKU tidak disatukan atau dikonsolidisasi dan maklumat ini juga tidak dapat diakses secara langsung. Keadaan ini bercanggah dengan penglibatan aktif kerajaan Malaysia dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw).
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Apabila dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia, Malaysia ketinggalan dalam membekalkan perlindungan undang-undang kepada OKU. Sebagai contoh, Rights of Persons with Disabilities Act 2016 di India selaras dengan konvensyen tersebut dan dengan jelasnya melarang setiap agensi kerajaan daripada mendiskriminasikan OKU dalam apa jua perkara, termasuk dalam sektor pekerjaan.
Persons with Disabilities Empowerment Act 2007 di Thailand pula melarang semua bentuk diskriminasi dan layanan tidak adil terhadap OKU.
Di Indonesia, Law No.4 of 1997 menjamin peluang pekerjaan yang sama rata, manakala National Law on Persons with Disabilities di Vietnam melarang sebarang sekatan terhadap hak OKU berdasarkan ketidakupayaan mereka semata-mata.
Akta Orang Kurang Upaya 2008 di Malaysia tidak menyebut atau merangkumi istilah “diskriminasi” dan juga tidak mengandungi peruntukan yang mengenakan hukuman terhadap pihak-pihak yang bertindak dalam perbuatan mendiskriminasikan OKU.
Ini mencerminkan pendekatan “silo” yang menghindari kerjasama merentas kerajaan dan masyarakat dalam menegakkan hak-hak OKU. Walaupun Malaysia telah meratifikasi Cedaw dan kerap terlibat dalam proses Cedaw, Akta Orang Kurang Upaya 2008 tidak menyebut “wanita dan kanak-kanak perempuan OKU”.
Organisasi-organisasi masyarakat sivil yang prihatin berkenaan hak OKU di Malaysia telah mendesak kerajaan agar menangani diskriminasi dan layanan tidak adil, termasuk berkenaan sektor pekerjaan.
Namun begitu, tindakan pembetulan masih belum ternyata atau dibuktikan.
Berkenaan pelaksanaan kuota 1% untuk pekerjaan OKU dalam sektor awam, ahli-ahli parlimen, termasuk bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, telah berulang kali menyeru tindakan kerajaan untuk mencapai sasaran 1% OKU di alam pekerjaan sektor awam.
Walaupun terdapat usaha untuk menjadikan pengambilan pekerja OKU sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap kementerian, kebanyakan kementerian masih gagal mencapai sasaran tersebut.
Selepas keputusan semakan kehakiman yang disebutkan di atas, pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengunjungi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 4 Februari 2025 untuk menekankan kepentingan pengambilan pekerja OKU dalam sektor awam.
Langkah ini, meskipun dialu-alukan, sudah lama tertangguh dan memerlukan susulan yang berterusan, bersasar, dan berorientasikan hasil yang mampan.
Kami memuji Kementerian Sumber Manusia atas komitmen dan ketelusan mereka dalam menerbitkan data mengenai OKU yang bekerja di setiap kementerian sehingga 31 Disember 2022.
Namun, data ini tidak dikemaskini bagi tahun 2023 dan 2024. Kekurangan ketelusan selama dua tahun ini menimbulkan kebimbangan di kalangan komuniti OKU terhadap komitmen kerajaan dalam memenuhi sasaran 1% pekerjaan sektor awam untuk OKU.
Situasi ini juga memberi gambaran seolah-olah terdapat halangan untuk memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan dalam memenuhi sasaran tersebut.
Kami menghargai ahli-ahli parlimen yang membangkitkan isu pekerjaan OKU di Parlimen pada 3 Mac 2025, terutamanya dalam menyokong hak OKU untuk bekerja, dan menyeru pelaksanaan langkah khas yang bersesuaian, dan penyesuaian dan akomodasi yang munasabah.
Seruan tindakan segera kepada semua ahli parlimen:
Meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan dengan mengintegrasikan istilah “ketidakupayaan” serta memperkukuhkan perlindungan undang-undang supaya rakyat Malaysia dilindungi daripada diskriminasi berasaskan ketidakupayaan
Memastikan setiap kementerian dipertanggungjawabkan kepada Parlimen dua kali setahun berkenaan perkembangan atau usaha pencapaian kuota 1% pekerjaan OKU di sektor awam:
- Memaparkan perkembangan yang boleh diukur dalam tempoh tiga, enam, 12, 18 dan 24 bulan akan datang dan memastikan keterbukaan, kesediaan dan inovasi dalam:
- Menerokai penyesuaian dan akomodasi yang munasabah
- Mencapai KPI bagi kemasukan, latihan, pengambilan, penempatan pekerjaan, pengekalan pekerjaan serta sistem sokongan tempat kerja untuk OKU
- Melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam aspek pendidikan, latihan, pengambilan, saringan pekerjaan, penempatan serta sistem sokongan di tempat kerja bagi memastikan lebih ramai OKU yang berkelayakan dapat dihasilkan, diambil bekerja dan dikekalkan dalam sektor awam
Menyelaraskan undang-undang, peraturan dan proses pelaksanaan berkaitan hak OKU yang setara dari segi jantina dengan CRPD, termasuk akses kepada perkhidmatan intervensi awal, pengangkutan awam, tandas, tempat perlindungan, perkhidmatan dalam talian yang inklusif dan boleh diakses, pendidikan, latihan, pekerjaan, perkhidmatan kewangan serta perkhidmatan kesihatan dan pemulihan.
Ditandatangani oleh:
- Yuenwah San, disability rights-gender equality advocate; member, the OKU Rights Matter Project; member, Harapan OKU Law Reform Group
- Datin Anit Kaur Randhawa, co-chair, ad hoc committee on people with disabilities, Malaysian Bar Council; parent advocate; member, the OKU Rights Matter Project; podcaster, Kita Family Podcast.
- Ch’ng B’ao Zhong, autistic adult, licensed and registered counsellor
Disokong oleh:
- The OKU Rights Matter Project <Persons with Disabilities in Malaysia – Advocating for OKU Rights and Disability Rights>
- Kita Family podcast <Kita Family – YouTube>
- Moses Choo, blind accessibility activist and advocate for people with disabilities
- Naziaty Yaacob PhD, senior consultant on accessibility and universal design
- Anthony Chong PhD, co-founder-member, Deaf Advocacy and Well-Being National Organisation (Dawn), Malaysia
- Meera Samanther, co-chair, ad hoc committee on people with disabilities, Bar Council of Malaysia; member, Harapan OKU Law Reform Group; member, Association of Women Lawyers
- Bina Ramanand, executive director, Family Frontiers
- Annie Ong Hwei Ling, president, National Organization of Bahasa Isyarat Malaysia Instructors (NowBIM)
- Dato’ Dr Amar-Singh HSS, consultant paediatrician; child-disability activist; member, the OKU Rights Matter Project; advisor, National Early Childhood Intervention Council
- Nik Nadia Nik Mohd Yusoff, moderator, Autisme Malaysia Facebook page; parent advocate and Kita Family
- Desiree Kaur, founder, Project Haans; parent advocate and Kita Family
- Nori Abdullah Badawi, owner, We Rock the Spectrum Gym for All Kids; chairman, Yayasan Budi Penyayang Malaysia; and podcaster, Kita Family podcast.
- Dr Choy Sook Kuen, parent advocate; founder, Oasis Place multidisciplinary intervention centre; podcaster, Kita Family podcast.
- Pheh Kai Shuen, person with dyslexia; clinical psychologist; licensed and registered counsellor
- Ng Lai-Thin, project lead, National Early Childhood Intervention Council (NECIC); care partner to an adult sibling with intellectual disability; member, the OKU Rights Matter project.
- Ali Azmi, research associate, Georgetown Institute of Open and Advanced Studies, Wawasan Open University.
- Susan Siew, gender equality-disabled rights
- Dato’ Sharom Ahmat PhD, retired deputy vice-chancellor of Universiti Sains Malaysia
- Zahilah Filzah Zulkifli, consultant paediatrician and licensed SPELL master trainer; executive committee member, Malaysian Advocates for Child Health (MACH)
- Izzat Zaid, clinical psychologist and ADHD adult
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme