Home Civil Society Voices Hentikan salah guna kuasa, penyelewengan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia

Hentikan salah guna kuasa, penyelewengan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia

Graphic: csj-ng.org

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center) merujuk kepada jawapan balas Timbalan Menteri Undang-Undang Hanipa Maidin dalam sidang Parlimen pada 7 Disember 2018 yang lalu berkenaan larangan penubuhan anak syarikat oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

AIM merupakan sebuah badan amanah yang ditubuhkan di bawah Akta Pemegang (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] pada 20 Oktober 1988 bagi tujuan membantu isirumah termiskin untuk mengeluarkan mereka daripada kemiskinan terutamanya melalui pinjaman ikhtiar yang digunakan untuk membiayai kegiatan yang menghasilkan pendapatan.

C4 Center memandang serius isu pelanggaran AIM terhadap klausa 3(c) surat ikatan amanah AIM bertarikh 26 April 2012 yang menghalang penubuhan anak-anak syarikat di bawah AIM. Pelanggaran klausa 3(c) ini telah menyebabkan berlakunya salah guna kuasa oleh mereka yang memegang tanggungjawab dalam menguruskan AIM.

Satu laporan yang dibuat oleh saksi-saksi yang terlibat dalam kes-kes salah guna kuasa oleh AIM telah diserahkan kepada pihak C4 Center. Kami ingin menekankan bahawa pelanggaran klausa 3(c) hanyalah merupakan sebahagian daripada banyak lagi pelanggaran dan salah guna kuasa yang telah dilakukan pengurusan AIM.

C4 Center menuntut pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk segera menjalankan siasatan ke atas:

  • semua anak-anak syarikat AIM yang dilaporkan telah menerima kontrak perkhidmatan yang keseluruhannya bernilai lebih ratusan juta ringgit tanpa melalui proses pemilihan yang telus dan terbuka;
  • salah sebuah anak syarikat AIM, AIM Solution Sdn Bhd, yang telah dianugerahkan dengan beberapa kontrak IT dengan nilai projek menelan hampir ratusan juta ringgit dengan tempoh projek yang terlalu panjang. Kesan daripada penganugerahan ini mengakibatkan AIM dibebani dengan liabiliti kewangan yang tinggi apabila terma-terma di dalam perjanjian di antara pihak AIM dan AIM Solution Sdn Bhd juga amatlah tidak adil dan berat sebelah;
  • pemilik dan pengarah syarikat AIM Solution Sdn Bhd yang merupakan individu-individu yang turut memegang jawatan sebagai pemegang amanah AIM yang jelas mempunyai konflik kepentingan;
  • mereka yang bertanggungjawab menguruskan beberapa projek yang dikendalikan oleh anak syarikat yang gagal sehingga mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit dan perlu ditanggung oleh pihak AIM;
  • Lembaga pemegang amanah AIM yang telah menerima pembayaran elaun bulanan, bonus dan belanja keraian tahunan yang keseluruhannya mencecah jutaan ringgit setiap tahun. Perkara ini jelas bertentangan dengan klausa 3.3 garis panduan di bawah Subseksyen 44(6), Akta Cukai Pendapatan 1967. Pembayaran elaun, bonus dan belanja keraian ini juga telah dibuat tanpa kebenaran daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga kementerian yang berkaitan;
  • pelantikan yang mempunyai unsur politik dan bersifat kronisme. Sebagai contoh, pengerusi AIM Junaidah Kiting yang merupakan seorang ahli perniagaan yang tidak mempunyai apa-apa kelulusan akademik dan/atau pengalaman dalam bidang mikrokredit, adalah merupakan isteri kepada setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya;
  • pemilihan dan penyingkiran beberapa ahli pemegang amanah AIM juga telah dilakukan tanpa mendapat kebenaran dan kelulusan daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri dan juga kementerian yang berkaitan;
  • Tindakan tidak berasas pihak pengurusan AIM yang telah beberapa kali mengenepikan arahan dan/atau keputusan pihak berautoriti termasuk keputusan daripada pihak jemaah menteri yang pernah mengarahkan kesemua ahli pemegang amanah AIM meletakkan jawatan pada tahun 2017.

Oleh yang demikian, C4 Center menuntut satu siasatan yang telus segera dijalankan ke atas badan amanah ini yang sepatutnya melindungi kepentingan dan kebajikan orang-orang miskin di Malaysia khususnya golongan usahawa-usahawan kecil wanita.

Pihak C4 Center juga menuntut tindakan segera kementerian dan pihak berwajib yang berkaitan bagi merungkai segala isu-isu salah guna kuasa, ketirisan dan kepincangan yang kini dihadapi oleh badan amanah ini.

Cynthia Gabriel ialah pengarah eksekutif C4 Center.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x