Jawatankuasa tindakan Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal) menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengeluarkan kenyataan secara terbuka bahawa tiada lanjutan masa akan diberikan kepada pemaju projek berkaitan tapak pelupusan Jelutong.
Ini berikutan penamatan tempoh penilaian kesan alam sekitar.
ProtectKarpal harap agar kerajaan negeri segera mengalihkan pendekatannya ke arah penutupan tapak pelupusan Jelutong dengan cara yang selamat dan berasaskan sains tanpa penambakan laut.
Komuniti ini juga menyeru kerajaan negeri Pulau Pinang supaya menunaikan janji yang telah dibuat kepada rakyat negeri ini berhubung tapak pelupusan Jelutong – bahawa tapak tersebut akan ditransformasikan menjadi sebuah taman awam berkualiti untuk semua rakyat Pulau Pinang.
Janji itu, yang mula dibuat pada tahun 2008 dan diulang secara terbuka selama lebih 10 tahun oleh pimpinan kanan DAP – termasuk ketua menteri semasa – kini telah bertukar wajah menjadi satu skim penambakan pesisir bercorak komersial yang secara rasminya ditolak empat kali berturut-turut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia.
Empat penolakan dalam tempoh 22 bulan
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Rekod rasmi dalam pangkalan data EKAS JAS (ekas.doe.gov.my/senarai-EIA) — iaitu daftar awam berautoriti Malaysia bagi permohonan penilaian kesan alam sekitar di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 – mengesahkan bahawa penilaian kesan alam sekitar yang dikemukakan oleh PLB Engineering Berhad telah menunjukkan status “Tidak diluluskan” pada empat tarikh berasingan.
Dalam tempoh hampir dua tahun dan empat cubaan berasingan, pemaju ini gagal menghasilkan satu penilaian kesan alam sekitar yang memuaskan pengawal selia JAS.
JAS ialah penjaga berkanun kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Ia telah menyampaikan keputusannya sebanyak empat kali, dengan lafaz yang sama: Tidak diluluskan.
Keputusan itu bukan kesulitan prosedural yang boleh “diuruskan”. Ia ialah penghakiman teknikal berwibawa oleh institusi yang ditetapkan oleh undang-undang untuk membuat penentuan tersebut.
Kami juga mengambil maklum bahawa penghantaran keempat diterima oleh JAS pada 26 Februari 2026 – iaitu tepat pada tarikh akhir yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Chow.
Dokumen yang difailkan pada saat-saat akhir sebelum tamat tempoh yang ditetapkan kerajaan, dan kemudiannya dipulangkan tanpa kelulusan, bukan bukti pematuhan yang dibuat dengan itikad baik.
Ia ialah pemfailan prosedural yang bertujuan mencipta gambaran seolah-olah usaha telah dilakukan. JAS tidak terpengaruh. Kami juga tidak.
Tamat tempoh tanpa ditunaikan
Pada 24 Jun 2025, Ketua Menteri Chow Kon telah memberikan satu komitmen awam yang jelas kepada delegasi ProtectKarpal: kerajaan negeri tidak akan memberikan sebarang lanjutan baharu kepada pemaju projek sekiranya kelulusan penilaian kesan alam sekitar tidak diperoleh sebelum 26 Februari 2026. Komitmen ini juga dilaporkan dalam Buletin Mutiara (Julai 2025).
Jaminan inilah yang mendorong komuniti ini untuk terus terlibat melalui proses, dan bukannya meningkatkan bantahan melalui protes.
Tarikh itu kini telah berlalu. Penilaian kesan alam sekitar masih tidak diluluskan. Mengikut syarat yang ditetapkan sendiri oleh ketua menteri, ambang untuk menamatkan mandat pemaju telah pun dipenuhi – bukan kerana tekanan advokasi komuniti, tetapi kerana kegagalan kawal selia pemaju sendiri dan peredaran masa.
Ketua menteri telah berjanji secara terbuka. Maka janji itu kini mesti ditunaikan secara terbuka, secara bertulis, tanpa sebarang kekaburan.
Di mana janji dikhianati
Untuk memahami apa yang sebenarnya telah dijanjikan – dan tepat di mana janji itu dikhianati – kita mesti memberikan penjelasan yang jujur tentang bagaimana visi bagi tapak pelupusan Jelutong berubah sepanjang 17 tahun.
ProtectKarpal membentangkan rekod itu di sini sepenuhnya berasaskan rekod awam:
Rampasan laut 70 ekar
Berikut ialah kronologi fakta projek tapak pelupusan Jelutong, disusun sepenuhnya daripada dokumen rasmi, penerbitan kerajaan dan rekod awam.
Ia menunjukkan dengan tepat apa yang dijanjikan pada setiap peringkat – dan di mana, serta sejauh mana, komponen penambakan projek ini berkembang melampaui sebarang mandat awam:
- 2008: DAP mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang. Pemulihan tapak pelupusan Jelutong dijanjikan sebagai komitmen alam sekitar utama. Visi awam yang dominan: sebuah taman awam.
- 2009 (Guang Ming Daily): Ahli Parlimen Jelutong ketika itu, Jeff Ooi, yang juga bekas ketua staf ketua menteri, mengartikulasikan visi komuniti dalam Guang Ming Daily – sebuah taman awam di tapak yang telah dipulihkan, sebagai “satu hadiah berharga daripada kerajaan negeri kepada rakyat”.
- November 2009 (The Star): Satu delegasi kerajaan negeri Pulau Pinang mengkaji penukaran tapak pelupusan kepada taman di Korea Selatan. Tajuk the Star: “From rubbish dump to dream park”
- 2012 (Buletin Mutiara, Edisi 2/08): Ahli majlis eksekutif ketika itu, Chow Kon Yeow – kini ketua menteri – menyatakan secara terbuka bahawa tapak itu akan menjadi “sebuah taman dan tapak untuk projek pembangunan bercampur” melalui proses landfill mining and reclamation. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dilantik mengurus projek tersebut. Beliau menyifatkannya sebagai “salah satu projek hijau kami untuk memperbaiki alam sekitar bagi generasi akan datang”. Visi yang berubah pada ketika itu ialah pemulihan di atas darat bersama pembangunan. Tidak sebut penambakan laut.
- 12 Mac 2015: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengeluarkan request for proposal rasmi untuk memulih dan membangunkan semula tapak pelupusan Jelutong.
- 28 Julai 2016: PLB Engineering Berhad mengemukakan cadangan yang disemak semula sebagai respons kepada penjelasan tender. Penambakan pesisir tidak dicadangkan. Pada peringkat ini, cadangan pemaju sendiri langsung tidak mengandungi sebarang komponen penambakan laut.
- 2017: PLB Engineering Berhad dilaporkan dilantik untuk melaksanakan projek pemulihan dan pembangunan susulan proses request for proposal 2015.
- 2018 (Free Malaysia Today): Jeff Ooi, yang masih menjadi Ahli Parlimen Jelutong ketika itu, dilaporkan menegaskan semula bahawa taman rekreasi di tapak pelupusan itu kekal sebagai matlamat.
- 21 Februari 2020: Satu joint development agreement bernilai RM1bn ditandatangani antara PLB Engineering Berhad, kerajaan negeri Pulau Pinang dan PDC. Semasa majlis menandatangani, Ketua Menteri Chow menyatakan secara terbuka bahawa “sehingga 10 ekar tanah tambahan akan ditambak”. Ini merupakan naratif awam pertama tentang penambakan laut – diperkenalkan bukan oleh pemaju dalam respons tender 2016, tetapi oleh kerajaan negeri pada peringkat joint development agreement empat tahun kemudian, tanpa sebarang rundingan awam terdahulu.
- 12 Februari 2025: Penilaian kesan alam sekitar dipamerkan untuk penelitian awam. Komponen penambakan kini dinyatakan sebagai 70 ekar – tujuh kali ganda daripada “sehingga 10 ekar” yang disebut oleh Ketua Menteri Chow semasa majlis joint development agreement pada tahun 2020. Tiada konsultasi awam, tiada perbahasan dewan undangan negeri, dan tiada notis awam rasmi dikeluarkan untuk menjelaskan atau mempertahankan pengembangan tujuh kali ganda jejak penambakan ini.
- Mei 2024–Februari 2026: Penilaian kesan alam sekitar dikemukakan sebanyak empat kali untuk semakan JAS. JAS menolak dengan status “tidak diluluskan” pada setiap cubaan.
- 24 Jun 2025: Ketua Menteri Chow komited secara terbuka bahawa tiada lanjutan akan diberikan melepasi 26 Februari 2026 jika penilaian kesan alam sekitar tidak diluluskan.
- 11 Mac 2026: Tarikh akhir yang ditetapkan oleh Ketua Menteri Chow telah luput. Penilaian kesan alam sekitar – yang paling baru diterima pada 26 Februari 2026 – masih tidak diluluskan.
Titik pengkhianatan yang tepat
Apa yang dijanjikan pada tahun 2012 tidak pernah dibantah oleh ProtectKarpal – iaitu, sebuah taman dan pembangunan bercampur yang dibina di atas tanah yang telah dipulihkan dengan selamat.
Apa yang tidak pernah dijanjikan, tidak pernah dibincangkan secara terbuka, dan tidak pernah dikemukakan kepada penelitian proses demokratik ialah penggunaan bahan yang digali dari tapak pelupusan untuk menambak kawasan laut di luar garis pantai sedia ada.
Ini akan memusnahkan ekosistem pesisir, mengancam Middle Bank, dan mengubah garis pantai Pulau Pinang secara kekal demi keuntungan komersial swasta.
Di situlah garis merah itu dilanggar. Itulah yang telah ditolak oleh JAS, empat kali.
“Impian saya untuk tapak pelupusan Jelutong ialah boleh berpegangan tangan dengan keluarga saya, bersiar-siar di taman yang dilitupi bunga dan pepohon, dan kemudian perlahan-lahan mendaki ke puncak untuk menikmati matahari terbit… Mempunyai taman berkualiti di tengah bandar ialah satu hadiah berharga daripada kerajaan negeri kepada rakyat.” – Jeff Ooi, Ahli Parlimen Jelutong ketika itu (Guang Ming Daily, 2009)
Tujuh belas tahun selepas kata-kata itu diungkap, penduduk Jelutong dan Bandar Sri Pinang masih menunggu – bukan sekadar sebuah taman sahaja, tetapi versi jujur tentang apa yang telah dijanjikan: sebuah tapak yang dipulihkan dengan selamat, ruang hijau awam, dan pembangunan berasaskan darat yang memberi manfaat kepada rakyat biasa.
Akan tetapi, sehingga sekarang penduduk menghadapi satu skim penambakan pesisir yang memenuhi agenda keuntungan pemaju swasta, mengancam ekosistem marin yang tidak dapat diganti, dan yang akan menjejaskan kesihatan awam.
Enam tuntutan
ProtectKarpal menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang, ketua menteri dan semua pihak berkuasa berkaitan untuk bertindak – tanpa berlengah – terhadap perkara-perkara berikut:
- Tunai janji komitmen awam Ketua Menteri Chow pada 24 Jun 2025: Keluarkan kenyataan bertulis rasmi yang mengesahkan bahawa tiada sebarang lanjutan – sama ada pentadbiran, prosedural atau selainnya – akan diberikan kepada PLB Engineering Berhad. Syarat yang dinyatakan sendiri oleh ketua menteri tidak dipenuhi oleh pemaju. Maka janji beliau mesti ditunaikan dan membuat pengumuman secara terbuka.
- Tamatkan mandat PLB Engineering Bhd secara rasmi: Empat penolakan JAS dan tamatnya tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan negeri merupakan justifikasi yang jelas, memadai dan tidak boleh dipertikaikan untuk menamatkan perjanjian antara pemaju dan kerajaan negeri Pulau Pinang. Penamatan perjanjian ini mesti disahkan secara bertulis dan diumumkan kepada umum dengan segera.
- Tunaikan janji: Alihkan sumber negeri ke arah pelaksanaan apa yang memang telah dijanjikan secara terbuka – sebuah taman rekreasi awam yang berkualiti bersama pembangunan bercampur di atas tapak pelupusan yang telah dipulihkan, sebagaimana dinyatakan sendiri oleh Ketua Menteri Chow dalam Buletin Mutiara (Ogos 2012). Apa yang mesti ditolak daripada mana-mana pelan masa depan ialah komponen penambakan pesisir laut – yang tidak pernah menjadi sebahagian daripada sebarang komitmen awam, pada mana-mana peringkat.
- Laksanakan penutupan tapak pelupusan yang selamat tanpa penambakan laut: Jalankan pemulihan berperingkat yang bertanggungjawab terhadap tapak pelupusan – termasuk penangkapan dan rawatan gas tapak pelupusan, pembendungan leachate, dan penstabilan sisa terkawal –dengan pematuhan penuh kepada garis panduan penutupan tapak pelupusan yang diterbitkan oleh JAS, sepenuhnya berasingan daripada sebarang aktiviti penambakan pesisir. Pemulihan tapak pelupusan ini boleh dan mesti diuruskan secara selamat. Kerja itu patut bermula sekarang.
- Wartakan Middle Bank sebagai santuari marin: Perairan pesisir yang mempunyai kepentingan ekologi di kawasan bersebelahan tapak pelupusan Jelutong – khususnya Middle Bank – mesti dilindungi secara rasmi dan kekal. ProtectKarpal menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang memulakan pewartaan Middle Bank sebagai santuari marin di bawah perundangan alam sekitar negara. Santuari marin yang diwartakan akan memelihara ekosistem pesisir yang tidak dapat diganti.
- Laksanakan penilaian kesan kesihatan wajib dan tubuhkan jawatankuasa pemantauan bersama komuniti: Satu penilaian kesan kesihatan bebas mesti disiapkan dan diterbitkan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sebelum sebarang kerja tapak dimulakan. Sebuah jawatankuasa pemantauan bersama perlu dibentuk secara rasmi –merangkumi wakil kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang, pakar bebas alam sekitar dan kesihatan awam dari institusi akademik tempatan, masyarakat sivil, serta wakil komuniti termasuk Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang Pulau Pinang. Jawatankuasa ini mesti menyelia semua perancangan pemulihan dan pembangunan dengan akses penuh kepada dokumen teknikal serta mandat untuk melapor kepada awam secara berkala.
Pendirian penduduk
Pendirian penduduk Bandar Sri Pinang dan Jelutong sentiasa konsisten, didokumenkan dan seimbang. Sebanyak 98.6% responden dalam proses maklum balas awam rasmi membantah komponen penambakan.
Dokumentasi penilaian kesan alam sekitar pemaju sendiri mengakui risiko migrasi gas tapak pelupusan, pencemaran leachate dan pelepasan bahan toksik semasa penggalian – risiko yang menimpa secara tidak seimbang kepada kanak-kanak, warga emas, dan isi rumah berpendapatan rendah yang tidak mampu berpindah dengan mudah.
Sepanjang kempen ini, ProtectKarpal telah mengekalkan tiga pendirian yang jelas, dan kami nyatakan semula di sini dengan tepat:
- Kami menyokong sepenuhnya pemulihan dan penutupan tapak pelupusan Jelutong secara selamat dan bertanggungjawab.
- Pada prinsipnya, kami menerima pembangunan sebuah taman awam berkualiti dan pembangunan bercampur yang sesuai di kawasan darat tapak yang telah dipulihkan – selaras dengan visi yang dinyatakan secara terbuka oleh kerajaan negeri sendiri pada tahun 2012.
- Kami dengan tegas dan tanpa berbelah bahagi menentang komponen penambakan pesisir laut, lebih-lebih lagi ia bercadang menggunakan bahan yang digali dari tapak pelupusan untuk tambakan. Komponen ini tidak pernah dijanjikan. Ia tidak pernah mendapat mandat. Dan ia telah ditolak empat kali oleh JAS. Dan ia akan meninggalkan kerosakan kekal serta tidak boleh dipulihkan terhadap garis pantai Pulau Pinang dan ekosistem marin Middle Bank.
Itu bukan pendirian anti-pembangunan. Itu ialah pendirian mempertahankan janji. Kami hanya menuntut supaya kerajaan negeri berpegang pada apa yang pernah diucapkannya sendiri – tidak lebih dan tidak kurang.
Komuniti ini ingat. Kami masih menyimpan keratan akbar Guang Ming Daily dari tahun 2009. Kami masih menyimpan Buletin Mutiara Edisi 2/08 dari Ogos 2012. Kami ingat apa yang dikatakan, siapa yang mengatakannya, dan apa yang langsung tidak pernah disebut.
Penambakan pesisir laut tidak disebut kerana ia bukan rancangannya pada ketika itu. Ia menjadi “rancangan” kemudian, atas sebab-sebab yang tidak pernah dijelaskan kepada penduduk, dan penduduklah yang akan terpaksa menanggung akibatnya.
Kami bukan penentang kemajuan. Kami ialah penjaganya – penjaga kesihatan komuniti kami, masa depan ekologi garis pantai kami, dan warisan yang wajib kami tinggalkan kepada anak-anak kami.
Tanggungjawab-tanggungjawab ini tidak boleh dirunding, dan tidak akan ditinggalkan.
ProtectKarpal memohon satu maklum balas rasmi secara bertulis daripada pejabat ketua menteri yang menjawab keenam-enam tuntutan di atas.
Jawatankuasa tindakan Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal), beroperasi di bawah naungan Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang Pulau Pinang (PBSP).
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

