Home Civil Society Voices Kebimbangan terhadap teknologi penangkapan karbon

Kebimbangan terhadap teknologi penangkapan karbon

Creative illustration of false promise of CCUS

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin membuat respon terhadap rencana di dalam akhbar mengenai Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS)_.

Rencana itu bertajuk “Malaysia is well positioned as a promising regional hub for CCUS“.

CCUS dalam beberapa tahun kebelakangan ini acap kali diketengahkan oleh syarikat bahan api fosil sebagai “penyelesaian iklim”.

Malangnya, pandangan yang dinyatakan oleh MIDF Investment Bank dalam rencana tersebut tidak menyentuh rekod buruk pelaksanaan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dalam beberapa dekad yang lalu yang sarat dengan perjanjian prestasi yang tidak ditepati serta kos pelaksanaan yang melambung tinggi.

Rencana tersebut mempamerkan penilaian berat sebelah berpihak kepada pelaksanaan CCUS yang secara intipatinya adalah untuk memanjangkan jangka hayat eksploitasi bahan api fosil dan bukannya sebagai solusi tulus untuk mengurangi kebergantungan terhadap sumber bahan api tersebut.

Malangnya, rencana itu juga hanya membangkitkan risiko-risiko pelaksanaan CCUS secara sepintas lalu dan tidak menghuraikan bagaimana risiko-risiko tersebut dapat ditangani.

CCUS adalah proses ‘pengangkapan’ CO2 yang dihasilkan oleh aktiviti industri yang melepaskan sisa karbon yang tinggi seperti penghasilan tenaga elektrik dari pembakaran arang dan gas. Karbon yang ditangkap kemudiannya digunakan bagi pelbagai tujuan.

Akan tetapi penggunaan utama bagi karbon yang ditangkap oleh proses tersebut adalah bagi pengambilan semula minyak yang dipertingkatkan, satu proses di mana karbon akan dibenamkan ke dalam sesebuah telaga minyak bagi meningkatkan jumlah minyak yang boleh diekstrak daripada telaga minyak tersebut.

CCS pada asasnya adalah sama, perbezaanya adalah karbon yang ditangkap akan disimpan dan bukannya digunakan.

Menurut Institute for Energy Economics and Financial Analysis pada 2021, 73% daripada karbon yang ditangkap secara global digunakan bagi tujuan pengambilan semula minyak yang dipertingkatkan.

READ MORE:  'Carbon colonialism' through carbon capture and storage?

Oleh sebab itu, biarpun diketengahkan sebagai solusi pengurangan karbon, CCUS secara keseluruhan sebenarnya menghasilkan lebih banyak pelepasan karbon kerana ia membolehkan pengekstrakan minyak yang lebih banyak dari asal melalui proses pengambilan semula minyak yang dipertingkatkan.

Advokat-advokat CCUS akan sentiasa mendakwa bahawa proses tersebut akan dapat menangkap 90% dari jumlah pelepasan sisa karbon. Walau bagaimanapun, tiada lagi pelaksanaan CCUS di dunia yang pernah mencapai tahap penangkapan karbon sedemikian.

Sebaliknya, CCUS secara kolektif mempunyai sejarah prestasi yang mengecewakan. Menurut laporan oleh Energy Transitions Commission (ETC), sebuah gabungan pemimpin global dari industri tenaga, kemudahan CCS terbesar di dunia di loji gas asli cecair (LNG) Gorgon di Australia hanya berjaya menangkap 45% daripada jumlah pelepasan sisa karbon. Quest Oil di Alberta, Kanada mempunyai kadar penangkapan sebanyak 48%. Dan loji pemprosesan gas Century di Texas, AS, mempunyai anggaran kadar penangkapan di bawah 10%.

Loji CCS di Kasawari, Sarawak, yang dianggarkan akan menelan perbelanjaan sebanyak RM4.5bn apabila ia mula beroperasi, akan menjadi loji CCS luar pesisir terbesar di dunia. Jika ia meneruskan arus kegagalan pelaksanaan CCUS, Malaysia perlu menghadapi sumber pelepasan yang sangat besar yang akan menjadi satu liabiliti yang besar terhadap alam sekitar dan ekonomi negara .

Isu paling kritikal berkait CCS adalah memastikan karbon yang disimpan kekal di dalam pusat penyimpanan. Ini merupakan satu potensi liabiliti jangka masa panjang.

Terdapat keperluan bagi Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk menilai semula implikasi keseluruhan rang undang-undang CCUS yang akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini – termasuk menilai secara kritikal kadar penangkapan yang disasarkan dengan penilaian dan perbahasan yang lebih teliti sebelum teknologi ini diterima sebagai penyelesaian iklim yang mampan.

READ MORE:  Capturing controversy: Malaysia's hasty embrace of unproven climate tech

Pelaksanaan CCUS memerlukan perbelanjaan yang tinggi biarpun hanya mampu mengurangi pelepasan karbon pada kadar yang sangat kecil.

Perkara ini amat ketara apabila mengamati pelan hala tuju peralihan tenaga negara – di mana CCUS ditetapkan hanya mampu mengurangkan 5% dari kadar pelepasan karbon sektor tenaga menjelang 2050, walaupun kos dianggarkan sekitar RM25-30bn antara 2023 dan 2029, dan RM160-170bn jika dikira dari 2023 hingga 2050.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diperlukan oleh pelan hala tuju tersebut menjelang 2050, iaitu sekitar RM1.2-RM1.3tn, CCUS dengan sendirinya akan memerlukan RM160-170bn – kira-kira 13.1% daripada jumlah kos, biarpun hanya mampu untuk memberikan 5% penurunan daripada jumlah pelepasan karbon.

Jurang besar di antara kos serta kadar pengurangan karbon ini memerlukan lebih penelitian oleh pihak kerajaan

Tambahan pula, menurut publikasi International Institute for Sustainable Development, di samping perbelanjaan modal yang tinggi, CCS memerlukan peraturan dan sokongan kewangan kerajaan yang besar serta berterusan – yang akan mengalihkan perbelanjaan kerajaan yang sebaliknya boleh ditujukan kepada solusi-solusi iklim yang lebih berkesan dan mesra kos.

Menurut Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), jika dibandingkan dengan penggunaan langkah mitigasi iklim yang lebih terbukti seperti penggunaan besar-besaran tenaga boleh diperbaharui seperti angin dan solar, CCS merupakan opsyen yang termahal biarpun mengurangkan pelepasan karbon tersedikit.

Selain itu, penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Oxford mendapati bahawa biarpun teknologi CCS telah menjalani pembangunan selama 40 tahun, tiada pemajuan teknologi atau pengurangan kos yang dapat diamati sehingga kini dalam mana-mana proses pelaksanaan CCS. Ini menjadikan kebarangkalian pengurangan kos CCS pada masa hadapan sangat rendah.

Risiko alam sekitar, sosial dan kesihatan juga menjadi kebimbangan. Seperti yang didedahkan dalam laporan khas PBB bertuan mengenai kesan toksik beberapa solusi perubahan iklim yang dicadangkan, proses CCS memerlukan sumber bahan kimia yang besar dan berpotensi melepaskan ammonia yang sangat toksik kepada komuniti setempat. Karbon jika berada pada kadar konsentrasi yang tinggi merupakan gas toksik dan asfiksia yang boleh mengganggu peredaran darah, koma dan menyebabkan kematian. Terdapat juga risiko yang berkaitan dengan kebocoran di mana kebocoran kepada formasi geologi berdekatan boleh menyebabkan tindak balas geokimia, termasuk rangsangan aktiviti seismik seperti gempa bumi dan menyebarkan elemen-elemen yang pencemaran seperti logam berat yang boleh meracuni sumber air.

READ MORE:  Capturing controversy: Malaysia's hasty embrace of unproven climate tech

Jelas sekali bahawa CCUS/CCS bukanlah satu penyelesaian iklim yang seringkali digembar-gemburkan. Zahirnya CCUS/CCS adalah cacat dan digunakan sebagai alasan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam memastikan industri bahan api fosil kekal mekar serta melengahkan lagi tindakan iklim yang wajar.

SAM menyeru kerajaan agar tidak terpengaruh dengan dakwaan manfaat teknologi dan kewangan bersifat spekulatif yang dibawa CCUS/CCS yang mampu menjejaskan usaha negara dalam menangani perubahan iklim.

Pertimbangan yang wajar dan secukupnya wajib diberikan kepada impak alam sekitar, ekonomi dan sosial akibat pelaksanaan CCS/CCUS. Pelaksanaannya tidak boleh tergesa-gesa, kerana isu liabiliti jangka panjang terhadap kerajaan boleh memakan diri.

Kami juga menggesa kerajaan untuk berhenti menyalur dan memanjangkan bantuan kerajaan, termasuk pembiayaan dan subsidi bagi CCS/CCUS dan infrastruktur yang berkaitan.

Sumber awam mestilah dilaburkan dalam penyelesaian yang benar-benar mampan, termasuk inisiatif berasaskan komuniti yang memberi maslahat kepada masyarakat dan bukannya golongan pencemar.

Meenakshi Raman ialah presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x