Home Civil Society Voices Kes Najib SRC International: Semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah

Kes Najib SRC International: Semua pihak perlu menghormati keputusan mahkamah

Prisoner Najib Razak

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Badan Peguam Malaysia amat terganggu dengan ulasan-ulasan yang mengelirukan dan perkembangan terkini berkenaan dengan percubaan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Najib Razak daripada sabitan yang dikenakan terhadapnya dalam kes SRC International.

Pada 28 Februari Badan Peguam Malaysia telahpun menyatakan bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam menghantar surat kepada Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat adalah di luar bidang kuasa dan kuasa berkanun SPRM, khususnya apabila penyiasatan SPRM terhadap seorang bekas hakim mahkamah tinggi adalah berhubung dengan isu pelanggaran etika kehakiman.

Pihak awam perlu mengetahui bahawa SPRM tidak berkelayakan mahupun mempunyai kecekapan untuk memahami perkara-perkara mengenai kod etika kehakiman.

Siasatan SPRM dalam hal ini bukan sahaja merupakan satu tindakan tanpa bidang kuasa yang wajar, malah menimbulkan persoalan mengapa SPRM cuba merentasi bidang kuasa yang tidak dirangkumi di bawah Akta SPRM 2009 dan di luar bidang kecekapan SPRM.

Badan Peguam Malaysia mempunyai pandangan yang bersepadu bahawa badan yang sesuai untuk menyiasat dan memutuskan kelakuan etika hakim terletak pada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010. SPRM langsung tiada peranan dalam perkara ini.

Badan kehakiman, sebagai sebuah institusi, dan hakim-hakim diberikan jaminan perlembagaan yang melindungi mereka daripada tekanan politik – ia adalah perlindungan yang amat diperlukan untuk menjamin kesaksamaan mereka. Oleh itu, sebarang siasatan SPRM yang berupa pelanggaran etika hakim adalah secara terang-terangan bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa (separation of powers), kerana ia merupakan suatu campur tangan oleh eksekutif dalam pentadbiran keadilan.

Selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan kehakiman (judicial review) Najib dalam kes SRC International pada 31 Mac 2023 dengan keputusan 4-1, salah satu pandangan yang sering disebut berkenaan dengan penghakiman minoriti oleh Mahkamah Persekutuan adalah ia mungkin membolehkan cubaan-cubaan untuk menghidupkan semula satu semakan terhadap semakan kehakiman yang telahpun diputuskan dalam sistem perundangan, ataupun ia membolehkan perbicaraan semula kes tersebut.

READ MORE:  'Permintaan maaf' kosong Najib satu penghinaan, reaksi Anwar merisaukan

Sekali lagi, orang ramai mesti mengetahui bahawa dalam sistem perundangan di Malaysia, sebarang penghakiman yang berbeza daripada hakim-hakim di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah tidak lebih daripada perbezaan pendapat. Orang ramai harus menyedari bahawa pada pengakhiran kes, keputusan majoritilah yang diambil kira sebagai keputusan muktamad dan berjaya mengatasi penghakiman minoriti.

Pertentangan pendapat tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menimbulkan satu lagi perbicaraan semula; dan ia juga tidak mewujudkan hak untuk semakan “selanjutnya” di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Perlu adanya kemuktamadan dalam litigasi. Perbezaan pendapat hakim dalam minoriti tidak boleh mengatasi penghakiman majoriti. Perbezaan pendapat pada kebiasaannya boleh diterima dalam konteks sistem litigasi, dan dalam pentadbiran keadilan kita, akan tetapi seharusnya terdapat struktur yang membawa kepada kemuktamadan litigasi – justeru itu keputusan majoriti akan mengatasi pendapat lain dan menjadi keputusan muktamad.

Harus disedari bahawa sekiranya begitu mudah untuk satu penghakiman yang berbeza pendapat boleh menimbulkan kemungkinan semakan baharu ke atas semakan kehakiman yang telahpun diputuskan sebelum ini, maka tidak akan ada penghujung dalam litigasi. Ia juga akan membuka ruang kepada peguam dan hakim untuk mengambil ‘strategi yang tidak menyenangkan’ atau ‘dipengaruhi dari luar’ hanya untuk mencetuskan situasi supaya semakan semula dapat dibuat untuk menggagalkan proses keadilan.

Tidak perlu dinyatakan lagi bahawa sebarang tafsiran lain adalah songsang dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh yang demikian, percubaan berterusan untuk mengeksploitasi penghakiman minoriti untuk mengelirukan orang ramai mengenai prinsip undang-undang sistem keadilan kita yang berasas dan sedia ada itu, hanyalah satu tindakan yang sia-sia untuk cuba melemahkan kepercayaan terhadap badan kehakiman sebagai institusi yang dihormati.

READ MORE:  PM has no business, no authority to accept Najib's apology - Latheefa

Badan Peguam Malaysia selanjutnya memerhatikan bahawa keputusan berkaitan kes SRC International Najib yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, dikekalkan di Mahkamah Rayuan dan sekali lagi di Mahkamah Persekutuan atas meritnya, dan kemudian melalui bidang kuasa terhadnya di bawah semakan kehakimannya pada 31 Mac di Mahkamah Persekutuan di hadapan sekumpulan hakim yang berbeza sama sekali di Mahkamah Persekutuan – jelas menunjukkan keesahan sabitan ke atas Najib dalam kes SRC International adalah berasaskan undang-undang.

Kes SRC International Najib adalah res judicata secara jelas dan nyata, yang bermaksud bahawa perkara itu telah diadili secara muktamad oleh mahkamah kompeten yang berwibawa dan oleh itu tidak boleh lagi dilitigasi ataupun diteruskan lagi oleh pihak-pihak yang sama.

Membangkitkan tuduhan terhadap hakim Mahkamah Tinggi berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh SPRM jelas merupakan satu lagi percubaan terdesak yang bertujuan untuk mencemarkan nama baik seorang hakim yang telahpun dibuktikan tidak melakukan kesalahan pada kesemua peringkat mahkamah dalam sistem kehakiman kita. Usaha yang tidak sepatutnya dan ikhtiar terakhir untuk menimbulkan keraguan terhadap sabitan Najib dalam kes SRC International adalah sangat tidak wajar dan perlu dihentikan.

Harapan negara untuk mempunyai sistem demokrasi yang kukuh dan tadbir urus yang baik terletak pada kekuatan badan kehakiman sebagai sebuah institusi, bukannya terhadap seorang individu. – Badan Peguam Malaysia

Karen Cheah Yee Lynn ialah presiden of Majlis Peguam Malaysia

This piece is reproduced from here and has been edited for style only.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x