Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim, telah mengadakan satu pertemuan rasmi bersama Sekretariat Reformasi Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (#ReformIPT).
Pertemuan ini berlangsung susulan sidang media #ReformIPT pada 7 Januari di Rumah Mandiri, di mana pihak sekretariat telah memberikan tempoh lima hari bekerja kepada pihak KPT untuk memberikan maklum balas rasmi terhadap isu manipulasi, penyelewengan dan kegagalan tadbir urus dalam sistem perolehan tender institusi pendidikan tinggi awam di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, satu memorandum rasmi reformasi institusi pendidikan tinggi Malaysia telah dikemukakan secara rasmi kepada Adam Adli.
Memorandum tersebut menggariskan secara terperinci pola kegagalan sistemik perolehan yang berlaku di beberapa institusi pendidikan tinggi awam utama berpandukan dapatan laporan ketua audit negara, prosiding Public Accounts Committee Parlimen dan sabitan mahkamah.
Antara tuntutan utama yang dikemukakan dalam memorandum tersebut adalah seperti berikut:
- Pendedahan wajib dan berkala senarai semua tender, projek serta perjanjian konsesi yang dimasuki oleh universiti awam, termasuk butiran kelulusan, nilai kontrak dan pihak terlibat, bagi memastikan ketelusan dan semakan awam yang sah
- Pelaksanaan kerangka integrity pact dengan mekanisme independent expert monitoring dalam sistem perolehan universiti awam bagi mewujudkan pengawasan luaran yang bebas, berwibawa dan mengikat secara etika serta undang-undang
- Intervensi menyeluruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sistem perolehan universiti awam, termasuk pembukaan siasatan ke atas semua institusi pendidikan tinggi awam yang menunjukkan corak penyelewengan bersifat sistemik
- Pelaksanaan audit dalaman dan audit forensik yang komprehensif serta bebas, merangkumi semua tender, projek pembangunan, kontrak konsesi dan pelaburan universiti awam, dengan laporan didedahkan kepada lembaga pengarah universiti, Jabatan Audit Negara dan orang awam
- Pemerkasaan dan peluasan skop Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistleblower Protection Act) secara khusus dalam konteks universiti awam bagi melindungi pelajar dan warga universiti daripada sebarang bentuk pembalasan institusi
- Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 secara total dan penggubalan Akta Kementerian Pendidikan Tinggi yang baharu, berteraskan autonomi institusi, pemisahan kuasa, ketelusan pentadbiran dan akauntabiliti demokratik.
- Peruntukan kuota khas wakil kesatuan mahasiswa atau majlis perwakilan pelajar sebagai student trustee dalam lembaga pengarah universiti bagi mewujudkan mekanisme kawal dan imbang yang substantif terhadap keputusan kewangan, bajet, audit dan perolehan
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pihak KPT melalui Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli menegaskan bahawa isu integriti dan tadbir urus merupakan perkara yang amat penting dan sentiasa diberikan perhatian serius oleh pihak KPT.
Memorandum reformasi institusi pendidikan tinggi Malaysia tersebut turut diserahkan kepada menteri pendidikan tinggi untuk penelitian lanjut.
Adam Adli memaklumkan bahawa pihak KPT telah mendapatkan maklum balas daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Antara dapatan yang diterima ialah bahawa isu ketakteraturan dan ketidakpatuhan prosedur perolehan tender melibatkan nilai RM58 juta kini berada di bawah siasatan SPRM, dan tindakan tatatertib telah diambil terhadap individu-individu yang terlibat.
Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini, pihak UKM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau maklum balas terbuka berhubung perkembangan status terkini kes tersebut, termasuk pendedahan identiti individu terlibat, serta perincian tindakan pembetulan (remedial action) dan langkah mitigasi (mitigation) yang telah atau sedang dilaksanakan.
Ketiadaan maklum balas rasmi ini menimbulkan defisit kepercayaan (trust deficit) yang serius dan bercanggah dengan prinsip ketelusan institusi awam.
Dalam pertemuan tersebut, Adam Adli turut dimaklumkan oleh barisan #ReformIPT bahawa jawatankuasa perolehan tender di kebanyakan institusi pendidikan tinggi awam ketika ini tidak dipantau oleh mana-mana badan bebas, khususnya tiada pelaksanaan sistem independent expert monitoring yang berfungsi untuk mengaudit, memantau dan menilai proses perolehan tender institusi pendidikan tinggi awam secara bebas dan berterusan.
Pihak Adam Adli seterusnya memberi jaminan bahawa semua isu yang dibangkitkan oleh sekretariat #ReformIPT akan diberikan pertimbangan sewajarnya, dan bahawa pihak KPT akan meneliti mekanisme serta langkah-langkah penambahbaikan yang perlu bagi memastikan isu-isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus perolehan universiti awam dapat ditangani dengan lebih berkesan pada masa hadapan.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh pemimpin pelajar dari MPPUMS, KMUM, MPP UiTM, presiden-presiden gerakan mahasiswa dan lain-lain. – Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram)
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

