Suaram mengutuk keras tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang giat menembak mati tidak kira warga Malaysia ataupun warga asing dengan lebih kerap. Terkini mangsa yang ditembak mati oleh polis termasuk R Logeswaran, 38, dan Satchithananthan, 25, pada 8 April; dan dua insiden yang melibatkan enam orang warga Indonesia di dalam dua kes yang berasingan – di Kuala Selangor pada 16 Mac 2010 dan di Temerloh, Pahang pada 5 April 2010.1
Suaram ingin mendapatkan maklum balas daripada PDRM tentang penggunaan senjata api dalam semua kejadian yang berlaku sebelum ini dan juga dalam kes-kes yang disebutkan di atas. Suaram menghormati hak pihak polis untuk melindungi diri dalam operasi-operasi yang dijalankan, namun hak dan nyawa suspek juga perlu diutamakan.
Suaram berpandangan kejadian kes-kes polis menembak mati suspek berlaku secara luas adalah kerana tiadanya mekanisme yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api oleh Polis. Malah apa yang lebih mengecewakan adalah dokumen panduan dalam menggunakan senjata api di Malaysia tidak dapat dirujuk oleh orang awam.2 Ini dengan jelas membuktikan bahawa penggunaan senjata api oleh polis tidak diimbangi oleh pemeriksaan awam dan sekaligus menyebabkan tahap akauntabiliti yang amat rendah di dalam institusi polis.
Tambahan pula, oleh kerana ketiadaan prosedur yang kukuh untuk memastikan setiap kes tembakan polis seperti ini dilaporkan dan disiasat secara bebas dan menyeluruh, timbul keraguan sama ada pihak polis sememangnya menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri ataupun sengaja menggunakan terhadap suspek untuk memudahkan penyelesaian kes mereka.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Penyalahgunaan kuasa di kalangan PDRM dan penindasan terhadap hak asasi manusia adalah masalah serius yang jelas wujud dalam PDRM, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.3
Memandangkan Kerajaan Malaysia berminat untuk bertanding untuk menjadi ahli Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi 2010-2013, adalah wajib bagi kerajaan untuk mengambil langkah untuk memastikan masalah-masalah mengenai hak asasi manusia ditangani berdasarkan prinsip-prinsip dan undang-undang antarabangsa. Sebagai anggota PBB apalagi Negara yang berhasrat mengaggotai Majlis Hak Asasi Manusia, Kerajaan Malaysia harus mematuhi prinsip-prinsip antarabangsa mengenai penggunaan senjata api yang tertera di dalam dokumen PBB, “Code of Conduct for Law Enforcement Officials”, bahawa “penggunaan senjata api hanya boleh digunakan dalam keadaan yang terdesak di samping untuk melindungi nyawa” dan “pihak berkuasa perlu memberi amaran yang jelas dengan masa yang mencukupi sebelum mereka menggunakan senjata api”.
Suaram menuntut agar pihak Kerajaan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia terutama menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) secepat mungkin sekiranya kerajaan ingin merealisasikan slogan ‘’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’’
Yap Heng Lung
Penyelaras, Suaram
1[Polis Indonesia di KL siasat 3 pekerja mati ditembak ]/ http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/58682-polis-indonesia-di-kl-siasat-3-pekerja-mati-ditembak-
[Tiga penyamun ditembak mati di Temerloh ]/ http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/58726-tiga-penyamun-ditembak- mati-di-temerloh
2 [Are the police shooting to kill?]/ http://www.thenutgraph.com/are-the-police-shooting-to-kill
3 [Bab10: Memastikan Sistem Kepolisian Mematuhi Undang-undang yang Termaktub Dan Kewajipan Hak Asasi manusia]/pg333/ Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan pengurusan Polis Diraja Malaysia/2005
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme