Home Civil Society Voices Lindungi anak-anak kita dengan menaikkan had umur minima perkahwinan

Lindungi anak-anak kita dengan menaikkan had umur minima perkahwinan

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Sisters in Islam (SIS) mengkritik kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) Senator Idris Ahmad yang berkata bahawa tiada keperluan untuk menaikkan had umur minima perkahwinan bagi perempuan beragama Islam daripada 16 ke 18 tahun setakat ini.

Kenyataan Idris menunjukkan beliau tidak membaca dan tidak peka bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Perempuan (Cedaw) pada tahun 1995 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak pada tahun 1994 yang menjamin dan melindungi kebajikan perempuan dan kanak-kanak di Malaysia.

Pada bulan Mei 2021, Malaysia berada pada kedudukan 112 daripada 156 negara dalam Indeks Jurang Gender Global 2021. Pada masa yang sama, Malaysia berada di tangga yang tercorot untuk negara Asean. Negara Myanmar (kedudukan yang ke-109), Kemboja (kedudukan yang ke-103), Indonesia (kedudukan yang ke-99) dan Vietnam (kedudukan yang ke-87) berada di kedudukan yang lebih baik daripada Malaysia.

Jika perkara ini tidak ditangani dengan serius, contohnya tidak menangani masalah perkahwinan kanak-kanak ini dengan lebih baik, maka Malaysia akan jauh tertinggal dalam mencapai kesaksamaan gender lantas, merapatkan indeks jurang gender pada peringkat global.

Kebanyakan negara Asean juga telah menaikkan had umur minima perkahwinan bagi perempuan dan lelaki. Antaranya, Kemboja yang telah mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dan telah meletakkan had umur minimum pada 18 tahun bagi kedua perempuan dan lelaki; Indonesia telah menaikkan had umur minima perkahwinan dari 16 tahun ke 19 bagi perempuan; Laos, 18 tahun bagi kedua perempuan dan lelaki; Myanmar, 18 tahun bagi kedua perempuan dan lelaki; Filipina, 18 tahun bagi kedua perempuan dan lelaki; Singapura, 18 bagi kedua-dua perempuan dan lelaki; Thailand, 20 tahun bagi kedua perempuan dan lelaki; dan Vietnam, 18 tahun untuk perempuan dan 20 tahun untuk lelaki.

READ MORE:  Government has an obligation to raise the minimum marriage age for Muslim girls

Selain itu, negara-negara Islam yang lain juga telah menaikkan had umur minima perkahwinan bagi perempuan dan lelaki seperti Bangladesh, had umur minima perkahwinan bagi perempuan adalah 18 tahun manakala bagi lelaki, 21 tahun. Pakistan pula telah menetapkan had umur minima perkahwinan bagi kedua-dua perempuan dan lelaki pada 18 tahun.

Isu pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kesihatan secara umum kanak-kanak harus dilindungi dan dititikberatkan bagi kanak-kanak perempuan agar mereka dapat mencapai potensi diri dan menjalani kehidupan yang lebih baik.

SIS ingin mengingkatkan bahawa kerajaan perlu komited dan mengambil serius dalam memenuhi 17 matlamat yang terkandung dalam matlamat pembangunan mampan (SDG). Salah satu matlamat yang terkandung adalah matlamat kelima, iaitu mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa perempuan dan kanak-kanak perempuan.

Antara tujuan-tujuan matlamat kelima adalah menghentikan segala bentuk diskriminasi terhadap perempuan dan kanak-kanak perempuan di mana sahaja, menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap perempuan dan kanak-kanak di ruang awam dan peribadi, termasuklah pemerdagangan dan eskploitasi seksual dan lain-lain, menghapuskan semua amalan berbahaya seperti perkahwinan kanak-kanak, kahwin paksa dan juga sunat perempuan serta tujuan lain.

SIS juga mengkritik kerajaan ini kerana mereka tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan had umur minima perkahwinan ke 18 tahun melalui undang-undang persekutuan yang sedia ada. Kerajaan ini juga gagal menggalakkan negeri-negeri yang masih belum bersetuju untuk melakukannya. Sehingga kini, Selangor sahaja yang telah meminda had umur minima perkahwinan ke 18 tahun.

Pada Januari 2020, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melancarkan pelan strategi kebangsaan bagi menangani punca-punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi yang merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program serta tindakan bagi menangani punca-punca iu sehingga 2025. Malangnya, sehingga kini, tiada sebarang kemajuan yang dilihat berkenaan isu ini.

READ MORE:  When marriage robs a child’s potential

Adakah kerajaan ingin memperjudikan masa depan kanak-kanak dan generasi muda Malaysia dengan tidak menjaga kebajikan mereka dan membenarkan perkahwinan kanak-kanak terus berlaku?

Kerajaan patut berusaha untuk memastikan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan semua kanak-kanak di Malaysia adalah terjamin dan harus berjalan seiring dengan usaha menganjakkan pemikiran rakyat Malaysia bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membawa kepada kehancuran masa hadapan kanak-kanak tersebut. – SIS

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:


The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x