Beberapa mahasiswa yang menyertai flash mob ‘Selamatkan UiTM’ didakwa berdepan intimidasi anggota polis bantuan ketika hendak memasuki semula kawasan kampus selepas menyertai aksi tersebut.
Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM) berkata, berdasarkan keterangan peserta dan kandungan video tular, anggota berkenaan didakwa mempersoalkan pendirian mahasiswa dengan mengeluarkan kenyataan seperti “Kenapa tak suka UiTM?”, “Agak-agak tak suka, berhenti je” dan “Kerja kau belajar je”.
Juruucap KMUiTM Luqman Kamal berkata tindakan sedemikian tidak wajar berlaku dalam penguatkuasaan keselamatan kampus kerana anggota keselamatan tidak seharusnya menghakimi pendirian mahasiswa.
“Mahasiswa yang mengkritik UiTM bukan bermaksud mereka membenci UiTM. Mahasiswa yang menuntut penjelasan dan mempertahankan kepentingan universiti tidak seharusnya dipersoalkan kesetiaannya kepada institusi,” katanya.
Menurut KMUiTM, polis bantuan mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan warga kampus dan sebarang tindakan terhadap mahasiswa seharusnya dibuat berdasarkan peraturan serta prosedur operasi standard yang jelas.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
“Jika terdapat pelanggaran peraturan, nyatakan peraturan yang dilanggar dan ambil tindakan melalui proses yang sewajarnya. Jangan menggantikan peraturan dengan pandangan peribadi,” katanya dalam kenyataan.
Flash mob ‘Selamatkan UiTM’ dianjurkan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) pada 2 Oktober lalu berhampiran pintu masuk UiTM Shah Alam dan disertai kira-kira 15 mahasiswa serta alumni, termasuk wakil dari UiTM Dungun dan UiTM Kedah.
Aksi tersebut antara lain mengetengahkan persoalan berkaitan tadbir urus dan integriti UiTM Holdings.
KMUiTM berkata kritikan terhadap institusi tidak seharusnya disamakan dengan kebencian terhadap institusi. Malah mahasiswa perlu diberikan ruang untuk menyatakan pandangan secara aman dan bertanggungjawab.
“Universiti bukan sekadar tempat mahasiswa hadir ke kuliah, menduduki peperiksaan dan menerima ijazah. Universiti juga merupakan ruang untuk mahasiswa berfikir, bertanya, mengkritik dan menyumbang kepada masyarakat,” tegas KMUiTM.
Kumpulan itu turut menyeru pihak pengurusan UiTM supaya memastikan prinsip kebebasan bersuara dihormati di semua peringkat serta memastikan mahasiswa ditegur secara profesional sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan peraturan kampus.
“Jika soal adab dijadikan sandaran untuk menegur mahasiswa, prinsip yang sama mesti terpakai kepada semua pihak. Menyuruh mahasiswa berhenti belajar hanya kerana mereka memilih untuk bersuara juga bukan bentuk teguran yang beradab,” katanya. – KMUiTM
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











