Suara Siswa UiTM menggesa Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem perwakilan dan pentadbiran hal ehwal mahasiswa melalui pemansuhan majlis perwakilan pelajar, jawatan timbalan naib-canselor (hal ehwal pelajar) serta penubuhan kesatuan mahasiswa UiTM yang bebas dan berautonomi, menjelang pilihan raya kampus UiTM susulan pembubaran sesi majlis perwakilan pelajar 2025-26 pada Jumaat lalu.
Desakan itu merangkumi perubahan terhadap struktur sedia ada yang meletakkan urusan mahasiswa di bawah kawalan pentadbiran universiti.
Suara Siswa UiTM berpandangan bahawa mahasiswa perlu diberikan kuasa untuk menentukan kepimpinan, mengurus kebajikan, mengendalikan kegiatan serta membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus melalui organisasi yang dipilih dan ditadbir oleh mahasiswa sendiri.
“Reformasi mahasiswa tidak boleh terhenti dengan menukar nama MPP kepada kesatuan,” kata Suara Siswa UiTM dalam suatu kenyataan. “Jika struktur kuasa masih sama, mahasiswa tetap berada dalam kedudukan yang bergantung kepada pentadbiran untuk menentukan ruang gerak mereka.
“Apa yang diperlukan ialah pemindahan kuasa sebenar kepada mahasiswa, bukannya sekadar perubahan kosmetik.”
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Sehubungan itu, Suara Siswa UiTM turut mengusulkan pemansuhan jawatan timbalan naib-canselor (hal ehwal pelajar) dan penstrukturan semula fungsi hal ehwal pelajar.
Cadangan tersebut bukan bermaksud semua urusan pentadbiran pelajar perlu dihapuskan. Sebaliknya, fungsi pentadbiran seperti rekod, perkhidmatan dan sokongan operasi boleh terus dilaksanakan oleh jabatan berkaitan.
Namun, kuasa menentukan dasar, keutamaan kebajikan, pengurusan organisasi serta kegiatan mahasiswa perlu diletakkan di bawah Kesatuan Mahasiswa UiTM.
Dalam model yang dicadangkan, Kesatuan Mahasiswa UiTM akan mempunyai perwakilan di peringkat lembaga pengarah universiti dan majlis eksekutif universiti bagi memastikan suara mahasiswa terlibat secara bermakna dalam proses membuat keputusan.
Kongres mahasiswa pula dicadangkan sebagai badan pembuat keputusan tertinggi, manakala majlis eksekutif kesatuan bertanggungjawab melaksanakan mandat dan ketetapan kongres.
Mekanisme pemecatan wakil melalui proses recall (penarikan balik mandat) juga perlu diwujudkan bagi memastikan pemimpin mahasiswa sentiasa bertanggungjawab kepada pengundi.
Bagi universiti yang mempunyai kampus di seluruh negara, Suara Siswa UiTM mencadangkan model kesatuan persekutuan yang memberikan autonomi kepada kesatuan di setiap negeri, dengan sebuah badan induk yang menyelaras isu dan dasar yang melibatkan seluruh universiti. Struktur tersebut membolehkan isu setempat ditangani oleh mahasiswa di kampus masing-masing tanpa mengabaikan penyelarasan pada peringkat UiTM.
Perkembangan di institusi pengajian tinggi lain menunjukkan bahawa model kesatuan mahasiswa bukan sesuatu yang asing.
Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMSU) telah memilih Umairah Bajrai Jaffar sebagai presiden wanita pertama pada 11 November.
Universiti Putra Malaysia pula memperkukuh struktur Kesatuan Mahasiswa UPM melalui kod tata kelola pada September lalu.
“Ketika universiti lain sedang memperkukuh institusi kesatuan mahasiswa, UiTM juga perlu berani menilai semula sistem yang diwarisi,” kata kenyataan itu lagi. “Sejarah kepimpinan mahasiswa UiTM bermula sejak penubuhan Majlis Pelajar Institut Latihan Rida pada 1956, sebelum melalui perubahan nama dan struktur.
“Tradisi itu sepatutnya menjadi asas untuk membina organisasi mahasiswa yang lebih demokratik, bukannya alasan untuk terus mengekalkan sistem yang sama.”
Suara Siswa UiTM menyeru mahasiswa, bekas pemimpin majlis perwakilan pelajar kampus dan pihak pengurusan universiti agar membuka ruang perbincangan serius mengenai masa depan demokrasi mahasiswa.
Penubuhan Kesatuan Mahasiswa UiTM perlu dilihat sebagai usaha membina institusi perwakilan yang mempunyai mandat, autonomi dan kuasa sebenar untuk memperjuangkan kepentingan mahasiswa. – Suara Siswa UiTM
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











