
Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan pengubahan bagi rancangan pemajuan di negeri Kelantan, yang melibatkan draf rancangan struktur negeri, tujuh rancangan tempatan dan satu rancangan kawasan khas kerana bercanggah dengan rancangan pemajuan atau pelan perancangan fizikal di peringkat nasional yang perlu diterjemah, diselaras dan diperincikan di peringkat perancangan wilayah atau negeri melalui rancangan struktur negeri, rancangan tempatan dan rancangan kawasan khas.
Cadangan pengubahan bagi rancangan pemajuan di negeri Kelantan ini tertumpu kepada pengubahsuaian kawasan sensitif alam sekitar selaras dengan keputusan majlis mesyuarat kerajaan negeri Kelantan bagi kali ke 22 2020 yang bersidang pada 21 Oktober 2020 yang telah memutuskan supaya kawasan hutan simpan kekal, kecuali kawasan punca air tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar di Negeri Kelantan.
Cadangan pengubahan ini tidak menuruti Seksyen 6B(5), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menyatakan, adalah menjadi tugas am kerajaan persekutuan dan kerajaan tiap-tiap negeri untuk membantu dalam memastikan bahawa matlamat rancangan fizikal negara tercapai.
Berdasarkan rancangan fizikal negara keempat, semua kawasan perlindungan yang diwartakan yang berstatus hutan simpanan kekal (kelas perlindungan mengikut Seksyen 10(1)(b-l), Akta Perhutanan Negara 1984, Taman Negara dan kawasan melebihi kontur 1,000 meter dari aras laut (sama ada berstatus hutan simpanan kekal atau hutan tanah kerajaan) dikategori sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 1.
Selain pengkelasan hutan tadahan air mengikut Seksyen (10)(1), Akta Perhutanan Negara di negeri Kelantan, terdapat juga pengkelasan hutan perlindungan meliputi hutan perlindungan tanah, hutan dara, hutan lipur, hutan pelajaran, hutan penyelidikan dan hutan taman negeri yang dikategori sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 1.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Manakala kawasan berkepentingan biodiversiti tetapi tidak diwartakan sebagai kawasan perlindungan yang berstatus hutan tanah kerajaan seperti hutan paya laut, hutan simpanan kekal yang dikelaskan sebagai hutan pengeluaran mengikut Seksyen 10(1)(i), Akta Perhutanan Negara 1984, koridor rangkaian ekologi ‘central forest spine’ dan rizab sungai pula dikategori sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 2.
Masih terdapat kawasan berkepentingan biodiversiti terutamanya hutan paya laut di negeri Kelantan khususnya di jajahan Pasir Puteh.
Terdapat juga beberapa rangkaian ekologi central forest spine di negeri Kelantan, khususnya di jajahan Gua Musang, jajahan Jeli, jajahan Machang, jajahan Pasir Puteh dan jajahan Kecil Lojing.
SAM mencadangkan supaya pihak berkuasa negeri Kelantan mengekal dan memelihara hutan simpanan kekal atau zon hutan sedia ada di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 1 dan tahap 2.
SAM juga mencadangkan supaya pihak berkuasa negeri Kelantan mengekal dan memelihara kawasan perlindungan terutamanya Taman Negara sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap 1.
Di samping itu, SAM mencadangkan supaya pihak berkuasa negeri mengekal dan memelihara serta mewartakan sebagai kawasan perlindungan sama ada hutan simpanan kekal atau rizab tanah bagi maksud awam (hutan perlindungan rekreasi) semua hutan tanah kerajaan di bawah Seksyen 7, Enakmen Perhutanan atau Seksyen 62(1), Kanun Tanah Negara 1965.
Cadangan tersebut selari dengan salah satu objektif dasar perhutanan negara, matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2020 iaitu keluasan hutan simpanan kekal di Semenanjung Malaysia mencapai lima juta hektar daripada keluasan tanah Semenanjung Malaysia dan saranan kerajaan persekutuan supaya semua kerajaan negeri mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu.
Tanpa perlindungan sebagai kawasan sensitif alam sekitar, terdapat risiko besar bagi pengubahan guna tanah untuk pemajuan atau perlombongan yang akan melibatkan pembukaan hutan dan seterusnya kehilangan habitat bagi hidupan liar.
Kehilangan hutan dan biodiversiti akan membawa impak negatif kepada komuniti Orang Asli dan tempatan, selain daripada menyebabkan banjir yang kerap.
Pihak berkuasa negeri Kelantan juga perlu memberi perhatian serius dan memperhalusi terhadap dua kenyataan media menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim bertarikh 27 dan 28 Oktober 2023 serta surat daripada menteri yang sama kepada menteri besar Kelantan.
Kami menggesa pihak berkuasa negeri Kelantan untuk mempertimbangkan semula dan membatalkan cadangan pengubahan rancangan pemajuan negeri Kelantan yang akan menyingkirkan status kawasan sensitif alam sekitar.
Meenakshi Raman adalah presiden Sahabat Alam Malaysia
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme