Home Civil Society Voices Parlimen perlu terus menyemak dan memantau kerajaan walaupun dalam krisis

Parlimen perlu terus menyemak dan memantau kerajaan walaupun dalam krisis

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Semak dan imbang terhadap pentadbiran oleh institusi Parlimen adalah perlu dan penting dalam memastikan akauntabiliti dan ketelusan kerajaan, ujar WH Cheng.

Setelah rampasan kuasa Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menggulingkan Pakatan Harapan (PH) daripada tampuk pemerintahannya pada Februari 2020 yang lalu, kerajaan yang dibentuk oleh PN telah memutuskan agar majlis mesyuarat pertama, penggal ketiga, parlimen ke-14 yang pada asalnya dijadual bermula pada 9 Mac 2020 ditunda ke 18 Mei 2020.

Kerajaan PN telah mengambil kesempatan daripada penularan wabak coronavirus yang tidak dapat dikawal pada masa itu dan berikutan perlaksanaan perintah kawalan pergerakan, kerana pimpinan PN juga masih kurang yakin dengan kestabilan jumlah angka sokongan ahli-ahli parlimen yang ada sekarang. PN dilihat memerlukan suatu masa yang lebih lama bagi memperkukuhkan lagi bilangan angka sokongannya di Parlimen.

Selain daripada itu, penundaan sidang parlimen tersebut juga dilihat mempunyai kaitan rapat dengan perhimpunan agung dan pemilihan parti Bersatu yang pada mulanya dijadual pada bulan April ini telah ditunda ke bulan Jun depan dengan menggunakan alasan yang serupa.

Penundaan perhimpunan agung dan pemilihan parti Bersatu itu juga membolehkan presiden partinya Muhyiddin Yassin, yang bakal dicabar oleh timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir, memperoleh masa yang lebih panjang bagi berunding dan meraih sokongan di peringkat bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan Bersatu di seluruh negara.

Yang kini lebih membimbangi Muhyiddin sekarang adalah berikutan kenyataan seorang ahli parlimen PN daripada Umno, Bung Moktar Radin, yang secara terang mengakui bahawa PN dibentuk berdasarkan kesefahaman dan kepentingan diri ahli-ahli parlimen yang menyokong bentuk perikatan tersebut dan bukannya mengikut sebarang kesepakatan dasar (common policy).

Tetapi, perdana menteri dan kerajaannya perlu ingat bahawa mereka tidak boleh mengambil kesempatan dengan bertindak sewenang-wenangnya hanya kerana perintah kawalan pergerakan dan pengawalan terhadap penularan wabak tersebut.

READ MORE:  Parliament or wet market? MPs' lack of decorum during debates must end

PN juga harus ingat walaupun perintah kawalan pergerakan masih berkuatkuasa, ianya bukan pengisytiharan darurat di mana sidang Parlimen boleh ditunda atau waktu prosidingnya disingkatkan sesuka hatinya.

Dalam keadaan sekarang, PN juga tidak seharusnya mengambil kesempatan mengekang laporan akhbar mengenai ketidakpuashati dan kritikan orang ramai terhadap dasar dan pentadbirannya yang dilihat masih tidak menentu di dalam keputusan perlaksanaannya.

Walau dalam keadaan ini, rakyat jelata dan pihak akhbar masih berhak untuk memerhati, memantau dan menyuarakan pendapat mereka bagi memastikan kerajaan ini tidak lari daripada tanggungjawabnya untuk rakyat dan negara.

Oleh itu, langkah kerajaan ini untuk memendekkan hari, waktu dan tempoh persidangan Parlimen tersebut dilihat tidak wajar. Ianya dilihat sebagai satu perbuatan untuk menghadkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan ini, khususnya di dalam pelbagai perkara yang melibatkan belanjawan tambahan, bantuan kepada rakyat, pengembalian sejumlah besar wang curian 1MDB daripada penyitaan pihak berkuasa Amerika Syarikat, hak asasi kemanusiaan dan ketidakadilan.

Selain dari itu, penelitian terhadap beberapa rang undang-undang dan pindaan perlembagaan, serta pemantauan dan persoalan terhadap beberapa keperluan yang tertangguh berikutan penularan wabak tersebut memerlukan penjelasan dan jawapan yang selanjutnya daripada menteri-menteri yang bertanggungjawab.

Dengan hanya menggunakan alasan penularan dan kawalan wabak penyakit tersebut untuk menghalang sidang Parlimen daripada dijalankan dengan sempurna adalah tidak wajar dan tidak dapat diterima sama sekali.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan ini untuk merancang dan mengatur langkah-langkah perlu bagi membolehkan persidangan Parlimen ini dapat dijalankan dengan sempurna dan selamat buat semua ahli-ahli parlimen yang akan menghadirinya dan bukannya mengelak daripada sidang perundangan tersebut.

Ingin kami tegaskan bahawa kerajaan PN yang kini dianggotai oleh Bersatu, Umno, Pas dan Gabungan Parti Sarawak haruslah diperhati dan dipantau dengan lebih teliti berdasarkan sejarah gelap di masa lalu sewaktu pemerintahan Barisan Nasional yang pernah dianggotai oleh Umno dan GPS selama 61 tahun lamanya. Berbilion-bilion ringgit lesap sama sekali daripada perbendaharaan negara akibat penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah para pemimpin BN yang lalu.

READ MORE:  MACC should be under Parliament, not PM

Kini, yang perlu kita pantau dengan lebih dekat lagi adalah perlantikan semua ahli-ahli parlimen PN untuk mengetuai setiap syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan kerana ianya menimbulkan banyak ketidakpuashati, kerisauan dan kebimbangan umum. Zaman gelap era-BN dan Umno mungkin akan kembali menghantui negara kita dan penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah akan berulang.

Sekiranya kerajaan ini ikhlas untuk meneruskan tanggungjawabnya mentadbir negara ini, mereka tidak seharusnya cuba membelakangi amalan demokrasi dengan menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang Parlimen daripada terus bersidang dengan sempurna.

Dalam pada itu, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat juga harus meminta semua jawatankuasa pilihan parlimen (parliamentary select committees) agar terus memantau kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, dan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan baru-baru ini bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara terjamin.

Jawatankuasa-jawatankuasa pilihan parlimen yang telah dilantik sebelum ini adalah:

  • Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Kesaksamaan Gender Dan Pembangunan Keluarga
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia Dan Hal Ehwal Perlembagaan
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Dan Perdagangan Antarabangsa
  • Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi Dan Alam Sekitar

Semak dan imbang terhadap pentadbiran oleh institusi Parlimen adalah perlu dan penting dalam memastikan akauntabiliti dan ketelusan kerajaan agar penyalahgunaan kuasa dan apajua salahlaku dapat dibendung dengan sewajarnya.

Sumber: g-socialaffairs.blogspot.com

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x