Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengambil maklum cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dibentangkan di Parlimen pada 24 Jun.
Bersih dan Ideas menghargai usaha yang dilakukan oleh Azalina Othman Said dan ahli-ahli jawatankuasa pilihan khas yang lain, terutamanya usaha melibatkan organisasi masyarakat sivil seperti Bersih, C4 Center, Ideas, Ikram, Projek Sama dan Rasuah Busters, serta pakar-pakar perundangan dan hal ehwal parlimen seperti Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi dan Maha Balakrishnan.
Bersih dan Ideas menyambut baik syor jawatankuasa pilihan khas agar Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) diberikan kuasa untuk menasihati Agong dalam urusan pelantikan pendakwa raya.
Syor ini adalah selari dengan saranan Bersih, Ideas dan rakan-rakan masyarakat sivil sebelum ini bahawa institusi Agong perlu dilindungi daripada terheret ke dalam kancah politik sekiranya terdapat pertikaian terhadap keputusan-keputusan dan prestasi pendakwa raya.
Dengan berpegang kepada kaedah dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 40, doktrin raja berperlembagaan dapat dilindungi dan institusi Agong akan terus terpelihara mengatasi politik.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Walau bagaimanapun, selepas meneliti laporan jawatankuasa pilihan khas tersebut, kami berpandangan bahawa pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 masih terdapat kelemahan utama, terutamanya terkait penglibatan Parlimen dalam pelantikan dan pengawasan pendakwa raya.
Selain itu, terdapat ketidakselarian (inconsistencies) di antara syor-syor dalam laporan jawatankuasa pilihan khas dan apa yang telah dijelmakan dalam rang undang-undang pindaan jawatankuasa pilihan khas.
Berdasarkan rang undang-undang pindaan dalam jawatankuasa pilihan khas, berikut adalah kelemahan-kelemahan yang masih belum ditangani sepenuhnya oleh jawatankuasa pilihan khas dan kerajaan:
Penglibatan Parlimen dalam pelantikan pendakwa raya
Walaupun jawatankuasa pilihan khas telah mencadangkan pindaan kepada peruntukan asal Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk memasukkan peranan Parlimen dalam melantik pendakwa raya, namun cadangan pindaan rang undang-undang tersebut tidak benar-benar memberi fungsi yang bermakna kepada Parlimen.
Cadangan pindaan tersebut juga tidak jelas merujuk kepada Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
Dalam cadangan pindaan rang undang-undang, Parlimen hanya boleh memberi ulasan tanpa ada peruntukan yang menyatakan Parlimen boleh mengesyorkan atau tidak mengesyorkan calon-calon pendakwa raya kepada SPKP.
Bersih dan Ideas berpandangan bahawa Perlembagaan perlu menyatakan dengan jelas peranan Parlimen dalam pelantikan ini.
Dewan Rakyat terutamanya perlu diberikan kuasa dengan khusus oleh Perlembagaan untuk membentuk satu jawatankuasa bagi meneliti dan mengesyorkan (atau tidak mengesyorkan) nama calon-calon pendakwa raya daripada SPKP sebelum diserahkan semula kepada SPKP bagi tujuan pelantikan oleh Agong.
Peruntukan yang jelas dapat memudahkan Parlimen untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan pelantikan, pemecatan dan laporan pendakwa raya.
Pendirian agar diwujudkan jawatankuasa pilihan khas di Dewan Rakyat dan kuasa jawatankuasa pilihan khas bagi mengesyorkan atau tidak mengesyorkan juga ada dinyatakan oleh syor-syor jawatankuasa pilihan khas di Bahagian 6 D, Penglibatan Parlimen Dalam Pelantikan Pendakwa Raya, perenggan ke 59, 60 dan 61.
Walau bagaimanapun, syor ini tidak dimasukkan dalam cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan oleh jawatankuasa pilihan khas.
Kelemahan pengawasan tugas-tugas pendakwa raya oleh Parlimen
Dalam cadangan pindaan jawatankuasa pilihan khas, pendakwa raya perlu mengemukakan laporan tahunan berhubungan pentadbiran, pengurusan dan kedudukan kewangan pejabat pendakwa raya.
Kami menyambut baik syor ini namun peruntukan ini perlu diperkukuhkan bagi memastikan Parlimen benar-benar dapat menjalankan fungsi semak dan imbang kepada institusi pendakwa raya yang mempunyai kuasa yang besar untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan pendakwaan.
Pengawasan parlimen tidak boleh terhad hanya kepada menyemak hal-hal berkaitan pentadbiran dan pengurusan sahaja, namun perlu menjangkau dalam mengawasi dan meneliti dasar-dasar yang diambil oleh pendakwa raya dan keselarian keputusan-keputusan pendakwaan dengan garis panduan atau etika yang perlu diterbitkan melalui satu akta pemberi kuasa, terutama apabila timbul isu-isu yang besar dalam dasar dan keputusan pendakwaan seperti DAA, pelepasan dan pembebasan, pelepasan tanpa pembebasan dan tiada tindakan lanjut.
Perlembagaan perlu menjelaskan laporan tahunan pendakwa raya kepada Parlimen tidak terhad kepada hal-hal pentadbiran dan kewangan sahaja, agar akta pemberi kuasa dapat menyediakan perincian kepada pelaporan pendakwa raya.
Bersih dan Ideas sekali lagi menyambut baik beberapa pindaan dalam pengasingan peguam negara dan pendakwa raya ini dan bersedia untuk menyokong rang undang-undang ini, dengan syarat penglibatan Parlimen yang lebih substantif dapat ditambahkan ke dalam rang undang-undang ini.
Kami berpandangan bahawa negara kini sedang memasuki detik penentu dalam sistem keadilan negara.
Justeru, kami menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang, untuk benar-benar membaca, mendalami, memahami dan menambahbaik cadangan-cadangan pindaan yang dikemukakan oleh jawatankuasa pilihan khas dan kerajaan persekutuan bagi mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Pemindahan kuasa pendakwaan kepada satu institusi baharu pendakwa raya perlu dimulakan dengan proses yang telus serta pengawasan yang bermakna bagi melindungi pendakwa raya daripada pengaruh politik dan menghadkan kuasa institusi ini daripada segala bentuk penyalahgunaan kuasa, serta wujud kebertanggungjawaban yang tinggi kepada rakyat dan negara melalui institusi Parlimen ini. – Bersih/Ideas
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme










