
CSO Platform for Reform mengalu-alukan keputusan Dewan Rakyat dalam meluluskan usul penubuhan 10 jawatankuasa pilihan khas parlimen ke-15 yang baharu.
Keputusan ini menunjukkan komitmen kerajaan dan Parlimen dalam memastikan proses demokrasi lebih subur dengan adanya peluang bagi wakil rakyat yang tiada jawatan menteri atau timbalan menteri untuk berperanan sebagai semak dan imbang kepada pihak eksekutif.
Kami berharap bahawa jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan dapat memainkan peranan penting dalam mengawal dan menilai tindakan kerajaan, memastikan integriti dan ketelusan serta mempercepatkan pembangunan negara bagi kesejahteraan semua rakyat Malaysia.
Dalam keadaan semasa yang penuh dengan cabaran, penubuhan jawatankuasa pilihan khas ini amat penting juga bagi memastikan kecekapan dan keberkesanannya dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan pandemik Covid dan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diperlukan.
Kami juga mengalu-alukan keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi. Kedua-dua jawatankuasa ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan keadilan dan kesetaraan bagi semua rakyat Malaysia dapat dipelihara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih inklusif dan adil selaras dengan konsep Malaysia Madani.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
CSO Platform for Reform berpandangan bahawa jawatankuasa pilihan khas ini sepatutnya menjadi ruang untuk rakyat Malaysia memberikan pandangan, pendapat dan sumbangan idea terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka.
Selain itu, CSO Platform for Reform juga ingin menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan jawatankuasa pilihan khas parlimen yang baru ini dalam memastikan proses demokrasi di Malaysia berjalan dengan lancar dan telus. Kami percaya dengan adanya penglibatan organisasi masyarakat madani dalam kerangka ini membolehkan jawatankuasa ini memperoleh maklumat
Sebagai cadangan penambahbaikan, kami berharap agar jawatankuasa pilihan khas parlimen ini dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada perwakilan masyarakat madani dan penggiat hak asasi manusia untuk memberikan pandangan mereka mengenai isu-isu yang dibincangkan di dalam jawatankuasa tersebut.
Selain itu, kami berharap agar jawatankuasa pilihan khas parlimen ini diberi lebih banyak akses kepada maklumat dan data yang berkaitan dengan isu-isu yang dibincangkan supaya keputusan yang dibuat adalah berasaskan fakta dan bukti yang kukuh.
Selain itu, CSO Platform for Reform berpendapat bahawa penubuhan 10 jawatankuasa pilihan khas parlimen dengan hanya sembilan ahli bagi setiap jawatankuasa adalah satu pembaziran kerana jawatankuasa tersebut masih gagal untuk menggunakan sepenuhnya ahli parlimen kerajaan dan pembangkan dalam jawatankuasa yang ditubuhkan. Sekiranya 10 JPKP ini diteruskan, maka terdapat 67 ahli parlimen yang tidak mempunyai peranan kerana tidak menganggotai mana-mana jawatakankuasa tersebut atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Oleh itu, kami bersependapat dengan Bersih untuk mencadangkan penambahan komposisi ahli parlimen dalam setiap jawatankuasa hingga maksimum 16 orang atau menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan khas parlimen bagi memastikan setiap ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat memainkan fungsi dan peranan mereka di dalam jawatankuasa yang telahpun ditugaskan..
Akhir sekali, kami ingin mengulangi kesediaan kami untuk bekerjasama dengan jawatankuasa pilihan khas parlimen yang baharu ini dalam memastikan keadilan, keterbukaan dan kecekapan dalam pelaksanaan tugas-tugas mereka.
Kami percaya bahawa hanya melalui kerjasama yang berkesan antara masyarakat sivil, kerajaan dan Parlimen, Malaysia dapat mencapai tahap kematangan dan kestabilan politik yang lebih tinggi, serta membangun sebuah negara yang lebih adil dan sejahtera untuk semua rakyatnya selaras dengan aspirasi kerajaan melalui pembentukan Malaysia Madani.
Dikeluarkan oleh:
- Tharma Pillai, Undi18, lead
- Ann Teo, Rose, co-lead
- Kluster Reformasi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
Nota: Kluster Reformasi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan sebahagian daripada CSO Platform for Reform, satu gabungan 60 badan-badan masyarakat sivil yang memberi tumpuan terhadap pembaharuan institusi.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
