Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dan Pertubuhan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform) mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa pelaksanaan agenda reformasi institusi dan undang-undang.
Menurut kenyataan media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut telah dipengerusikan timbalan PM Fadillah Yusof dengan kehadiran bersama menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) Azalina Othman Said.
Walau bagaimanapun, kami berasakan bahawa BHEUU dan jawatankuasa ini perlu juga meletakkan keutamaan terhadap usaha penggubalan semula akta perkhidmatan parlimen bagi dibentangkan dalam tempoh yang segera bagi memberi autonomi pentadbiran dan kewangan yang sebenarnya kepada institusi Parlimen.
Berdasarkan kenyataan media BHEUU, jawatankuasa tersebut setakat ini hanya mengenal pasti dua buah reformasi untuk diangkat iaitu berkenaan penubuhan ombudsman Malaysia dan pindaan kepada Akta Pemberi Maklumat 2010.
Sebagaimana sasaran jawatankuasa, yang diberi masa tiga bulan bagi mengadakan libat urus dan kemudian membentangkan reformasi ini pada sidang parlimen bulan Oktober, seharusnya perhatian dan libat urus juga perlu memasukkan pembentangan akta perkhidmatan parlimen, yang menurut Azalina sudah 90% siap pada sesi pertanyaan jawapan lisan oleh menteri di Parlimen pada sesi lalu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Setakat pengetahuan kami, libat urus bagi memperkenalkan semula akta perkhidmatan parlimen ini hanya melibatkan agensi kerajaan dan belum mendapat pandangan menyeluruh daripada pertubuhan masyarakat sivil, malah belum pun lagi melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk diperhalusi.
Justeru, kami mempersoalkan apakah status pelaksanaan dan pembentangan akta perkhidmatan parlimen sehingga hari ini? Apakah 10% lagi yang menjadi halangan kepada kerajaan persekutuan untuk membentangkan akta ini dalam sidang parlimen yang terdekat, serta bilakah akta perkhidmatan parlimen akan dibentangkan oleh kerajaan persekutuan?
Adakah ini bermakna akta ini tidak akan dibentangkan kerajaan dalam sidang parlimen akan datang dan sekali lagi akan ditunda?
Kami menyeru kerajaan dan Azalina untuk mengumumkan garis masa pelaksanaan serta turut mengadakan libat urus bersama anggota pertubuhan masyarakat sivil.
Kami mencadangkan agar jawatankuasa pelaksana agenda reformasi ini untuk menggariskan pelan hala tuju reformasi yang lebih menyeluruh agar rakyat secara umumnya dapat mengetahui perjalanan agenda reformasi yang sedang diusahakan kerajaan.
Pelan ini juga dapat memudahkan pertubuhan masyarakat sivil yang telah lama memperjuangkan reformasi ini untuk membantu mengukuhkan usaha reformasi yang sedang dirangka. – Bersih/Ideas/Reform
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme