Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara menyiasat keseluruhan projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) UiTM, susulan perkembangan terbaharu mengenai tatakelola dan pengurusan kewangan UiTM Holdings.
Menurut KMUiTM, perhatian terhadap UiTM Holdings tidak sepatutnya menyebabkan persoalan PFI UiTM yang melibatkan komitmen konsesi jangka panjang dan nilai kewangan yang dianggarkan berbilion ringgit kembali dilupakan, khususnya apabila persoalan mengenai kaedah perolehan dan kos konsesi projek itu telah dibangkitkan sejak 2014.
Pada 2014 Rafizi Ramli mempersoalkan enam projek kampus UiTM di Pasir Gudang, Jasin, Seremban 3, Puncak Alam, Tapah dan Kota Samarahan yang menurutnya diberikan melalui rundingan terus, termasuk kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan ahli sebuah parti politik.
Beliau menganggarkan kos pembinaan enam kampus tersebut sekitar RM1.8bn, berbanding kira-kira RM8.6bn jumlah bayaran konsesi yang didakwanya sepanjang tempoh 23 tahun.
Rafizi turut mencabar kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi supaya kos, keuntungan pemegang konsesi dan struktur perjanjian dapat diperiksa umum.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pada masa sama, PAC pada ketika itu turut mempersoalkan ketelusan enam projek tersebut dan menggesa maklumat mengenai projek konsesi didedahkan kepada umum, termasuk persoalan penggunaan rundingan terus serta sama ada kerajaan memperoleh value for money.
Rekod rasmi Parlimen menunjukkan UiTM menerima RM881j peruntukan pembangunan pada 2022, tetapi RM858j atau 97.3% peratus daripadanya diperuntukkan untuk caj tetap PFI yang merangkumi ‘availability charges, maintenance charges dan maintenance reserve fund’.
Pada 2023 pula, RM865j atau 95.0% daripada RM911j peruntukan pembangunan diperuntukkan bagi caj tetap PFI.
KMUiTM berkata angka tersebut menimbulkan persoalan mengenai kos lepas (opportunity cost) PFI kepada universiti.
Setiap ringgit yang diperuntukkan untuk memenuhi komitmen konsesi jangka panjang tidak boleh digunakan pada masa yang sama untuk keperluan pembangunan lain seperti penyelenggaraan kampus, naik taraf fasiliti, pelaksanaan program pembangunan mahasiswa, pengambilan tenaga akademik tetap, pembinaan kolej kediaman serta kebajikan mahasiswa.
“Persoalannya bukan sekadar berapa kos sebuah kampus dibina. Persoalannya ialah berapa jumlah yang dibayar sepanjang hayat konsesi dan apa yang UiTM terpaksa korbankan kerana sebahagian besar peruntukan pembangunannya terikat kepada komitmen tersebut,” menurut KMUiTM.
Bagi KMUiTM, hakikat bahawa PFI masih mempunyai komitmen kewangan yang aktif menjadikan persoalan lama itu relevan untuk diperiksa semula, bukannya sekadar diarkibkan sebagai kontroversi 2014.
Tuntutan itu turut mengambil kira perkembangan terhadap UiTM Holdings. PAC pada 2024 mengenal pasti kelemahan dalam tadbir urus kewangan serta kelemahan maklumat dan kawal selia pengurusan pelaburan UiTM Holdings – manakala SPRM kini menjalankan siasatan terhadap kerugian syarikat berkenaan dan beberapa isu berkaitan, termasuk isu pembayaran RM42j berkaitan projek solar Gambang yang menurut SPRM dibuat bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek tersebut dan tanpa kelulusan lembaga pengarah.
Perbandingan itu, kata KMUiTM, bukan bermaksud mendakwa PFI dan UiTM Holdings melibatkan kesalahan yang sama. Sebaliknya, ia menimbulkan persoalan mengenai standard akauntabiliti terhadap wang awam UiTM.
Pada Januari 2026, persoalan tersebut telah pun diketengahkan oleh wakil KMUiTM dalam sidang media mahasiswa mengenai sistem perolehan universiti awam. Mereka ketika itu turut mengangkat semula konsesi kampus UiTM yang dibangkitkan Rafizi pada 2014 dan mengaitkan isu perolehan universiti dengan amanah kewangan awam, selain menggesa audit forensik terhadap projek dan tender universiti.
KMUiTM kini menggesa supaya keseluruhan portfolio PFI UiTM dibuka kepada siasatan dan audit, termasuk proses penganugerahan kontrak asal, penggunaan rundingan terus, struktur pemilikan syarikat konsesi, jumlah bayaran yang telah dibuat, baki komitmen, kos penyelenggaraan dan penilaian value for moneyberdasarkan prestasi sebenar projek.
Kumpulan itu turut menggesa kerajaan mendedahkan jumlah keseluruhan komitmen PFI yang masih berbaki dan menilai kos lepas kepada fungsi pendidikan UiTM akibat peruntukan pembangunan yang terikat kepada caj PFI.
Menurut KMUiTM, penelitian tersebut juga penting kerana PFI bukan semata-mata model pembiayaan yang sudah ditinggalkan. UiTM masih mengurus portfolio PFI, dan sebarang cadangan untuk memperluas penggunaan model tersebut, termasuk bagi projek infrastruktur atau tenaga, perlu dibuat hanya selepas prestasi dan kos kontrak sedia ada dinilai secara bebas.
Kewujudan kampus PFI juga didakwa menyebabkan pembinaan kolej kediaman baharu dan penambahan kemudahan kampus lebih rumit, memandangkan kampus-kampus berkenaan secara teknikalnya ibarat bangunan yang disewa oleh UiTM.
KMUiTM berkata penyiasatan semula tidak bertujuan menghukum sesuatu model pembiayaan secara automatik, tetapi memastikan keputusan yang mengikat wang awam untuk puluhan tahun dapat dipertanggungjawabkan berdasarkan kos sebenar, prestasi sebenar dan manfaat kepada universiti.
“Kalau benar PFI memberikan value for money, maka kerajaan perlu membuktikannya berdasarkan lebih sedekad data sebenar, bukan sekadar hujah ketika kontrak mula diberikan,” menurut kumpulan itu. – KMUiTM
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











