Home Civil Society Voices PH perlu belajar daripada kelemahan dan lepas pandangnya yang lalu

PH perlu belajar daripada kelemahan dan lepas pandangnya yang lalu

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

PH perlu tegas di dalam pendiriannya untuk tidak berpaling semula kepada sistem-sistem lapuk berdasarkan perkauman dan feudal, ujar WH Cheng.

Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu mempelajari dan mengambil segala iktibar daripada apa yang gabungan itu telah terlepas pandang sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan yang lalu sehinggalah pentadbiran mereka terguling.

Ini akibat dari pemberontakan yang dicetuskan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 ahli parlimen Azmin Ali di dalam gabungan tersebut yang seterusnya menjurus kepada perletakan jawatan perdana menteri pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad.

Sewaktu pemerintahan kerajaan PH dahulu, sebab utama PH sering dilihat “lemah” dan “tidak berdaya tahan” adalah kerana dasar kebebasan bersuara yang kuat dipeloporinya dan tidak ada tindakan drastik untuk menanganinya penyebaran berita palsu, dakyah dan pelbagai tohmahan berbisa yang sering dilempar oleh Umno dan Pas sebelum ini.

Idea-idea lapuk perkauman, keagamaan

Justeru dari itu, Umno dan Pas terus menggunakan kesempatan daripada kebebasan bersuara itu untuk menyebarkan idea-idea lapuk perkauman dan keagamaan mereka tanpa perlu bimbang sebarang tindakan yang mereka bakal hadapi.

Akibat daripada dakyah dan tohmahan perkauman dan agama berbisa yang dipergiat oleh Umno dan Pas, ianya telah membangkitkan kemarahan dan keresahan masyarakat Melayu Islam serta ketidakyakinan rakyat jelata mula timbul terhadap kerajaan PH oleh kerana terlalu banyak karenah perkauman dan agama yang berlanjutan sehinggalah ke babak kejatuhan kerajaan tersebut.

Perkara ini berlaku kerana kerajaan PH pada masa itu tidak menggunakan jentera dan pelbagai saluran kerajaan dengan sebaik-baiknya bagi menerangkan kepada rakyat isu-isu dan dasar-dasar baru yang bakal dan sedang dilaksanakan, serta mengenai apa yang rasional, praktikal dan cabaran berikutnya.

Selain itu, PH juga dilihat tidak efektif di dalam setiap rangkaiannya dalam menangkis serangan dakyah dan pelbagai fitnah perkauman dan agama yang bertalu-talu bisanya daripada Umno dan Pas.

Akibat itu, kerajaan PH sering kehilangan arah apabila berdepan dengan elemen-elemen negatif sedemikian, rakyat jelata khususnya orang-orang Melayu dan Islam serta para penduduk kawasan luar bandar dan pendalaman sering termakan dengan hujah-hujah perkauman dan agama yang sering dibawa oleh Umno dan Pas.

DAP menguasai kerajaan PH?

Hujah-hujah ini mendakwa DAP yang sedang menguasai kerajaan PH, para pemimpin Melayu PH terpaksa tunduk kepada telunjuk DAP, PH tidak adil dalam dasarnya terhadap masyarakat Melayu dan Islam, Melayu dan Islam kini hilang kuasa di bawah PH, Melayu dan Islam ditindas oleh DAP yang anti-Islam dan sebagainya.

Di sebelah masyarakat bukan Melayu-Islam pula, MCA juga membantu Umno dan Pas di dalam usaha memecahbelahkan masyarakat yang lain dengan seringkali mengatakan DAP dan PH hanya mengutamakan Melayu dan Islam, belanjawan memperuntukan lebih bantuan kewangan kepada kaum Melayu dan Islam sahaja dan masyarakat Cina sering diketepikan dalam apajua keadaan semasa.

Ini menyebabkan syak wasangka juga mulai timbul di kalangan masyarakat berbilang kaum akibat daripada pelbagai tohmahan, fitnah dan dakyah berbisa yang sering dilontarkan oleh Umno dan Pas serta dibantu oleh budak suruhannya, MCA.

Hujah-hujah perkauman dan agama Umno dan Pas yang berlarutan tersebut telah banyak menimbulkan kekeliruan, keresahan dan memecahbelahkan sokongan dan pendapat terhadap kerajaan PH pada masa itu.

READ MORE:  Pas joining government? It could be a warning to Bersatu

Selain daripada itu, jentera penerangan dan propaganda parti-parti komponen PH turut dilihat tidak begitu memainkan peranannya di semua peringkat hinggalah ke akar umbi di dalam penyebaran propaganda pembaharuan dan dasar-dasar yang dipelopori PH agar rakyat jelata dapat memahami jelas dan menerima perlaksanaan kerajaan PH.

Ini adalah kerana para pemimpin PH tempatan turut menghabiskan masa mereka dalam usaha mengejar jawatan dan pangkat baik di peringkat parti mahupun di peringkat kerajaan negeri dan majlis-majlis tempatan.

Sengketa di dalam PKR

Dalam pada itu, kepimpinan di dalam gabungan PH juga terpaksa bergelut dengan pelbagai karenah politik dalaman yang timbul akibat daripada sengketa dalaman PKR yang masih berterusan, kelemahan Amanah di dalam usaha keluasan pengaruhnya di peringkat akar umbi, dan DAP yang masih tidak berjaya menghakis identiti keCinaannya daripada parti tersebut.

Kerana PH terpaksa bergelut dengan masalah politik dalamannya sendiri, Umno dan Pas pula mengambil kesempatan menyemarakkan lagi batu api di kalangan pemimpin PH yang berpolitik dan bersengketa dengan harapan PH tidak dapat menumpukan perhatian penuh mereka dengan dalam urusan kerajaan.

Hasil daripada itu, rakyat jelata dan para penyokong PH mula melihat ketidakberkesanan di dalam urusan kerajaannya kerana terlalu banyak karenah politik mengikuti para pemimpin PH daripada mentadbir negara.

Harapan rakyat dan penyokong PH mulai pudar apabila melihat para pemimpin PH lebih berpolitik dan bersengketa daripada bertumpu di dalam urusan pentadbiran negara.

Sengketa di antara dua kumpulan utama di dalam PKR di mana puak yang diketuai oleh timbalan presiden dan seorang naib-presiden pada masa itu, Azmin Ali, dan Zuraida Kamaruddin cuba menggunakan pelbagai cara untuk mengatasi pengaruh presiden partinya, Anwar Ibrahim, yang semakin menonjol kepimpinannya setelah berjaya mengambil-alih pucuk pimpinan parti setahun yang lalu.

Sengketa di antara dua kumpulan tersebut berterusan sehinggalah ianya tercetus secara terbuka apabila gandingan Azmin dan Zuraida mula mencabar dan memberontak terhadap kepimpinan Anwar dengan tercetusnya “Langkah Sheraton” kemudiannya.

Kelemahan Amanah

Amanah juga dilihat kurang menonjolkan diri di dalam arena politik negara setelah berjaya membentuk kerajaan bersama PH sejak 2018 yang lalu. Kepimpinan Amanah juga tidak dapat menarik minat dan sokongan golongan muda dan generasi baru ke dalam partinya bagi membina satu barisan pelapis muda yang baru.

Selain itu, Amanah juga tidak dapat menangkis serangan daripada Pas yang kononnya Amanah hanyalah “suruhan DAP” semata-mata.

Ini adalah kerana sehingga pada hari ini, Amanah masih belum dapat menembusi benteng-benteng dan kubu-kubu Umno dan Pas khususnya di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Sebaliknya, Amanah banyak bergantung sokongannya dengan para penyokong dan penduduk di kawasan pekan dan bandar yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Bersatu – duri dalam daging PH

Kedudukan Bersatu di dalam PH yang juga sering dianggap duri dalam daging dalam gabungan tersebut kerana konsep konservatifnya, kini telah menjadi kenyataan apabila Bersatu di bawah Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memberontak terhadap PH setelah mencapai kata sepakat dengan Azmin Ali di dalam Langkah Sheraton yang dipengerusikan oleh bekas timbalan presiden PKR itu.

READ MORE:  Pas joining government? It could be a warning to Bersatu

Ketika Bersatu masih berada di dalam penggabungan PH, parti tersebut dilihat ingin meneruskan idea-idea konservatif satu kaum dan ketuanannya yang sebelum ini hanya dipelopori oleh Umno oleh kerana kebanyakkan ahli dan pemimpinannya berasal dari Umno sebelum ini.

Di dalam apajua keadaan Bersatu sewaktu bersama dengan PH dahulu, sering mengemukakan pendapat dan dasar konservatif ala-Umno yang jelas bertentangan dengan idea-idea pembaharuan yang diketengahkan dan dipersetujui oleh PKR, Amanah dan DAP – justeru itu menyebabkan banyak pembaharuan yang dijanjikan di dalam pilihanraya umum yang lalu tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya disebabkan bantahan daripada Bersatu.

Sengketa dalaman PKR, ketidakberkesanan Amanah dan ketidaktentuan Bersatu telah menyebabkan masyarakat Melayu khususnya dari luar bandar dan kawasan pendalaman berasa tidak yakin terhadap PKR, Amanah dan Bersatu – justeru itu merasakan adalah agak berisiko jika mereka mengalihkan sokongan asal mereka dari Umno dan Pas ke PH.

Pandangan negatif terhadap DAP

Manakala dalam DAP pula, parti tersebut didapati masih dikongkong oleh golongan kepimpinan tahun 1990an. Tambahan pula rancangan penggantian (succession plan) di dalam DAP juga agak lambat di dalam membimbing pelapis muda yang baru untuk mengambil-alih kepimpinan parti pada penggal yang akan datang.

Para pemimpin DAP juga dilihat kurang mendekati dan berkomunikasi dengan rakyat jelata sejak memegang tampuk kerajaan pada 2018 yang lalu, sebaliknya lebih menumpukan kepada komunikasi melalui media sosial dan sumber-sumber internet yang lain.

Orang-orang Melayu dan Islam juga masih menunjukkan tindakbalas yang kurang senang terhadap DAP apabila terdapat dakwaan daripada Umno dan Pas yang mengatakan kerajaan PH kini dikuasai oleh DAP berdasarkan dominasi kepimpinannya dalam kerajaan yang dianggap “sangat menonjol”.

Dakwaan Umno dan Pas yang DAP “sangat menonjol” di dalam kerajaan PH juga telah menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat Melayu dan Islam yang DAP berkemungkinan besar “sangat berkuasa” di sebalik kerajaan PH. Dan DAP pula tidak mengambil langkah-langkah perlu bagi menangkis serangan daripada Umno dan Pas mengenai dakwaan palsu tersebut.

Dakwaan mengenai DAP cuba menghakis hak istimewa orang-orang Melayu dan DAP kononnya cuba mengketepikan Islam sebagai agama rasmi dalam negara ini, sifat parti itu yang dikatakan “tidak mendukung” sistem raja berpelembagaan juga menambahkan lagi keresahan orang-orang Melayu terhadap DAP.

Parti tersebut dilihat sebagai tidak bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk memadamkan padangan negatif umum terhadap parti tersebut tetapi lebih mengharapkan agar orang ramai akan dapat “memahami” keadaan tersebut di masa yang akan datang.

Harapan DAP untuk mendapatkan lebih banyak sokongan daripada masyarakat Melayu dan Islam turut dilihat masih tipis memandangkan “pembunuhan imej” ala perkauman dan agama yang sering dilakukan oleh Umno dan Pas terhadapnya. Ini membantut lagi usaha parti tersebut untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan daripada masyarakat Melayu dan Islam khususnya mereka-mereka daripada golongan konservatif yang berada di luar bandar dan kawasan pendalaman.

Selain daripada itu, DAP juga perlu bersungguh-sungguh untuk menghakis pandangan orang ramai yang parti tersebut adalah sebuah parti satu kaum sahaja dengan meramaikan lagi ahli-ahli dari kalangan berbilang kaum.

READ MORE:  Pas joining government? It could be a warning to Bersatu

Adalah kurang memadai jika sekiranya parti tersebut hanya pada nama atau segelintir sahaja nampak berbilang kaum tetapi pada hakikatnya ahli-ahli keturunan Cina masih menguasai barisan kepimpinan parti di hampir semua peringkat.

PH perlu komited di dalam perjuangan

PH perlu menguatkan gabungannya semula setelah pemberontakan dan berlakunya banyak pengkhianatan di kalangan pemimpinnya baik di peringkat pusat mahupun negeri yang telah menyebabkan kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri digulingkan.

Pemilihan dan penapisan pemimpin-pemimpin baru bagi dilatih untuk mengambil-alih teraju parti dan bertanding di dalam pilihanraya yang akan datang memerlukan suatu proses yang berterusan dan senantiasa dipantau bagi memperlihatkan keberkesanannya.

PH juga perlu komited di dalam perjuangan dan dasar-dasar pembaharuannya bagi memperkukuhkan lagi idelisme barunya yang bakal dilaksanakan apabila berkerajaan semula nanti.

Komitmen PH mengenai perpaduan, kesamarataan, hak asasi kemanusiaan dan tentangan terhadap diskriminasi serta pembaharuan terhadap institusi-institusi utama negara juga perlu teguh bagi menyakinkan rakyat jelata yang ianya perlu dilaksanakan demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan bukannya untuk kepentingan individu-individu atau puak-puak yang tertentu sahaja.

Dasar-dasar PH yang turut memaparkan keperluan semasa (needs-based) juga perlu diketengahkan secara rasional dan praktikal tanpa sebarang keraguan, bertumpu kepada golongan 40% terbawah 40% dari kalangan masyarakat berbilang kaum, walaupun pada masa yang sama Umno dan Pas sudah pasti akan cuba mempolitikkan hal-hal berkait dengan perkauman dan agama terhadap dasar tersebut.

Dalam tajuk itu, PH perlu tegas dengan rancangan pembaharuannya tanpa perlu takut kepada agenda-agenda sempit kedua-dua parti ekstremis dan sesat tersebut.

Sekiranya dasar-dasar baru PH masih bertumpu kepada hanya satu kumpulan sahaja, maka diskriminasi dan peminggiran masyarakat-masyarakat tertentu akan terus berlaku dan ketidakadilan dalam pengagihan faedah akan berlanjutan.

PH juga perlu tegas di dalam pendiriannya untuk tidak berpaling semula kepada sistem-sistem lama dan lapuk berdasarkan perkauman dan feudal yang selama ini dipelopori Umno, Pas dan Bersatu, jika mereka ingin melihat dasar-dasar pembaharuannya yang memanfaatkan semua, bertapak kukuh di dalam negara ini.

Berkenaan dengan pemilihan ketua pembangkang parlimen yang baru di dalam persidangan Parlimen yang akan datang, PKR, Amanah dan DAP perlu menegaskan secara bersama bahawa PH patut mengetuai barisan pembangkang.

Mana-mana ahli-parlimen pembangkang lain yang ingin bekerjasama dengan gabungan PH perlu menerima semua syarat-syarat dan perjanjian persefahaman serta dasar-dasar yang telah dirancang dan disemai oleh kepimpinan PH.

Ingin kami ingatkan, sekiranya Dr Mahathir Mohamad dan beberapa ahli parlimen Bersatu yang menyokongnya ingin bersama pembangkang, mereka harus akur kepada dasar-dasar baru yang dipelopori oleh PH dan tidak lagi membawa bersamanya fahaman-fahaman lama ala-Umno dan Pas.

Jika berulangnya usaha untuk memecahbelahkan PH di barisan pembangkang di masa yang terdekat, Bersatu ataupun mana-mana ahli parlimen yang dikenal pasti harus dijarakkan sama sekali di dalam apajua bentuk kerjasama pembaharuan PH yang bakal dirancang dan diketengahkan kelak.

Tragedi Februari 2020 tidak seharusnya diulangi.

Sumber: g-socialaffairs.blogspot.com

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x