Home Civil Society Voices Prediksi pilihan raya negeri: 3:3 kekal status quo – Ilham Centre

Prediksi pilihan raya negeri: 3:3 kekal status quo – Ilham Centre

Status quo, prestasi PH-BN sukar dicabar, PN unggul di jajaran Melayu

ANIL NETTO/ALIRAN

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Tiga elemen penentu: Peratus keluar mengundi, kebolehpindahan undi PH-BN dan ayunan undi muda.

Bagi membuat bacaan prediksi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, terdapat tiga angkubah (variables) utama yang mempengaruhi kalah menang parti dan calon yang bertanding.

Pertama, peratusan keluar mengundi akan sama ada tinggi atau rendah memberikan natijah berbeza. Kebiasaannya pilihan raya peringkat negeri lebih rendah peratusan yang keluar berbanding pilihan raya umum.

Faktor ini akan melihat pola atau sikap yang berbeza mengikut kaum dan suasana kempen yang berjalan. Semakin panas suhu politik ia akan memangkin jumlah keluar mengundi yang tinggi. Memandang keadaan semasa yang agak sederhana, ianya menjurus kepada peratus yang rendah.

Kedua, faktor ini terjadi apabila Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung dalam Kerajaan Perpaduan menjadikan hanya wujud pertembungan gabungan parti ini dengan PN. Walaupun wujud cabaran dari parti-parti kecil mahupun calon Bebas, sukar bagi mereka untuk menyaingi arus yang dibina oleh dua gabungan tadi.

Pengamatan kami dalam kajian ini mendapati, terdapat dua senario berbeza antara sikap penyokong parti Umno-BN dan PH. Penyokong PH tidak mempunyai masalah untuk mereka memindahkan undi mereka di DUN yang ditandingi BN.

Sebaliknya pula  berlaku di DUN PH bertanding. Ahli Umno atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong PH. 27 peratus dan ke atas menyatakan sukar untuk mereka memangkah logo PH kerana faktor DAP.

Oleh itu kadar perpindahan undi antara PH-BN adalah berbeza memaksa analisa secara mikro dilakukan setiap DUN kerana penerimaan adalah berbeza antara DUN di enam negeri ini.

Ketiganya, pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, pola sokongan anak muda terutama pada julat umur 18 tahun hingga 25 tahun memihak kepada PN. Ternyata maklumat yang ditemui dalam kajian ini membuktikan pola itu masih kekal dan PH menghadapi cabaran untuk menganjak dan menarik sokongan pada segmen ini.

Walaupun PMX begitu agresif berdialog dan turun bertemu anak muda di kampus,  ternyata ianya belum memadai untuk merubah secara peratusan besar menukar sokongan mereka kepada parti pemerintah.

Pengundi muda kekal bersama PN

Persaingan PRN kali ini juga masih tertumpu kepada perebutan meraih sokongan anak muda. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, dijangka 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun akan turun menentukan keputusan.

Sepanjang kajian mendalam dilakukan kepada kelompok ini, tiada tanda pergerakan sokongan yang signifikan kepada Kerajaan Perpaduan. Walaupun pelbagai rencana yang dilaksanakan Kerajaan seperti ‘rally’ Program Temu Anwar, Jelajah Kampus, pemberian e-wallet Belia RM 200 dan sebagainya namun, usaha-usaha ini belum cukup menarik minat serta melonjakkan sokongan anak muda secara menyeluruh.

Seperti sebelum ini, mereka tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka malah kini lebih jelas menunjukkan pendirian politik masing-masing. Tiada istilah undi adalah rahsia, mereka merasa selesa menzahirkan sikap dan sokongan dalam PRN kali ini. Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi, psikografi dan lokaliti.

Umno bergulat merebut undi Melayu

Mengembangkan lagi poin dapatan kajian berhubung sikap pengundi BN kami mendapati  wujud penolakan ketara akar umbi  Umno dan pengundi “fence sitter” yang mengundi BN sebelum ini terhadap Zahid Hamidi terlalu kuat dan besar.

Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli Umno akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden Umno menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN. Sebahagian besar agak pasif dan dalam mode tunggu dan lihat.

Ahli Umno termasuk jentera mengakui masih sukar untuk menerima  PH kerana DAP dan sebahagiannya kerana Anwar. Pendirian bergabung dengan dua berkait usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) gagal dijelaskan dengan baik kepada ahli bawahan Umno.

Ahli Umno berkemungkinan akan membuat peralihan undi kepada PN atas faktor di atas dan juga lebih dekat dengan PAS kesan kerjasama (Muafakat Nasional) yang lalu. Ternyata MN menguntungkan PAS dan PN secara keseluruhannya.

Dari segi psikologi, selama ini mereka memangkah BN kini bagi DUN ditandingi PH tiada logo berkenaan lagi. Selain itu mereka juga  takut disindir oleh orang PAS yang kini sudah orang Umno-BN sudah membela DAP-PH yang didoktrin sekian lama dalam Umno.

Selain itu, wujud juga elemen “cah keting” apabila pemilihan calon tidak selari dengan kehendak Umno Bahagian. Bagi kawasan sebegini amat terdedah untuk berlaku protes senyap di kalangan ahli Umno. Situasi ini banyak dikesan di negeri Kelantan dan Terengganu.

READ MORE:  PH's power and potential now protected and prolonged

Mengikut data kami, sekitar 27-58 peratus pengundi Umno dalam PRU15 yang berpindah mengundi PN dalam PRN pada 12 Ogos ini. Keadaan ini boleh terubat dengan pemimpin Umno turun bertemu mata dengan ahli akar umbi menjelaskan dengan tuntas keputusan bersama DAP dan Anwar.

Momentum gelombang Melayu-Islam ketika PRU15 dilihat masih berterusan. Untuk rekod ketika PRU15, PN memperoleh 52 peratus undi orang Melayu diikuti BN (32 peratus) dan PH (15 peratus).

Dengan situasi pasca PRU15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman UMNO yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana di kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini.

Walaupun kerjasama PH-UMNO akan mengecilkan keterpecahan undi orang Melayu berbanding ketika PRU15 menerusi persaingan dua penjuru, ia masih dilihat tidak membantu Kerajaan Perpaduan.

Untuk memberikan konteks, UMNO kalah di kesemua kerusi parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15.

Justeru keupayaan UMNO untuk menarik sokongan orang Melayu dalam PRN ini masih disangsikan. Kajian lapangan mendapati UMNO bergelut untuk mendapatkan undi orang Melayu antaranya disebabkan faktor dalaman parti. Dapatan di lapangan memperlihatkan akar umbi UMNO terbelah kepada tiga kelompok. Pertama kelompok anti-Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyalahkan beliau atas apa yang berlaku ke atas UMNO ketika PRU15.

Kedua kelompok yang tiada masalah dengan Zahid tapi marah UMNO bekerjasama dengan PH. kelompok ini masih tidak dapat menerima kerjasama tersebut khususnya dengan DAP yang dianggap ekstrim dan cauvinis Cina yang anti-Melayu.

Ketiga kelompok yang tiada masalah dengan Zahid dan Kerajaan Perpaduan tetapi bermasalah dengan calon di kawasan. Antara penyebab ialah calon yang diletakkan bukan pilihan akar umbi (parachute candidate) serta calon PH bertanding di kawasan mereka.

Suasana kempen sejuk dan hambar

Selain itu, calon yang bertanding harus memainkan peranan mendampingi pengundi secara sentuhan peribadi. Ini memaksa wakil calon menyusun siri pertemuan untuk memujuk segmen ini.

Dalam cerapan sentimen pengundi di lapangan membabitkan enam negeri ini, ianya mempamerkan keadaan tidak sama. Pada masa kajian berlangsung hanya Selangor dan Kedah disifatkan oleh pengundi agak panas kerana pertembungan PH-BN dengan PN agak ketara.

Manakala empat negeri lain suasana kempen berbaur hambar dan ‘sejuk’. Ini dapat dilihat kepada sambutan ceramah politik setempat, perang bendera dan kempen fizikal sangat minima.

‘Perang’ sebenar lebih tertumpu di media sosial. Sambutan terhadap ceramah setempat, meraih undi menerima sambutan agak hambar dari pengundi.

Lambakan kempen yang berpusatkan kepada isu nasional menyebabkan isu tempatan mahupun negeri tenggelam.

Dengan situasi ini, kami mengunjurkan ianya akan menyebabkan peratusan keluar mengundi lebih rendah berbanding PRU15. Pengundi luar lokaliti atau negeri menyatakan dalam kajian ini berkemungkinan besar mereka tidak pulang mengundi.

Bagi responden yang mengundi di Terengganu dan Kelantan kelihatan selesa dengan kemenangan besar PAS dalam PRU lalu melihat parti itu akan menang walaupun mereka tidak pulang mengundi. Ini membentuk sikap selesa pada pengundi di dua negeri berkenaan.

Selangor dan Kedah mencabar dan panas mengundang keterujaan tinggi untuk pengundi berpartisipasi dalam proses demokrasi kali ini.

Saifuddin vs Sanusi: Faktor Sanusi menjadi tumpuan

Menteri Besar Kedah sementara, Sanusi Mohd Nor menjadi tumpuan utama dalam kempen berbanding tokoh lain dalam fasa kempen pilihan raya kali ini.

Sanusi menjadi titik serangan pemimpin PH-BN dengan mengheret isu REE di Bukit Enggang, Sik Kedah untuk menjadikan alasan rakyat Kedah perlu menolak Pas dan Sanusi.

Ternyata kempen yang dikepalai sendiri Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution menyerang Sanusi tidak berkesan. Malah ianya menjadi backfire atau memakan diri kepada PH. Ini kerana kempen PH  gagal memahami keadaan, aras penerimaan dan laras bahasa  orang Kedah, akhirnya kekuatan Sanusi kian bertambah. Semakin diserang makin kuat dan populariti beliau makin meningkat.

Sewajarnya PH perlu menumpukan kepada tawaran kepada rakyat Kedah seperti selesaikan masalah tekanan air, inisiatif Rahmah mengurangkan kos sara hidup mahupun tawaran peluang pekerjaan kepada anak muda daripada memusatkan tenaga menyerang Sanusi.

Tawaran Sanusi menyelesaikan isu pemohonan tanah oleh rakyat yang menunggu masa berpuluh tahun sangat berbekas kepada pengundi di Kedah. Pemberian geran ini melonjakkan kepimpinan beliau di Kedah

READ MORE:  Let’s learn to celebrate the smaller victories

Pasukan media Sanusi juga kreatif dengan memotong klip ucapan dan ditukarkan. Dalam dapatan kajian, “Sanusi Effect” ini telah melangkaui Kedah dan mempengaruhi pengundi di lima negeri lain.

Segmen pengundi muda rentas negeri mengakui FYP Tik Tok mereka menerima video Sanusi. Mereka menyatakan kagum dengan Sanusi adalah simbol keberanian bercanggah pandangan dengan kerajaan.

Sanusi dilihat sebagai mangsa keadaan. Dengan ini, dengan “Sanusi Effect” kami menjangkakan PN mendapat laba dari tindak balas berlebihan terhadap Menteri Besar berkenaan.

Isu nasional lebih mendominasi

Kebanyakan isu dibangkitkan lebih berkisar kepada perbandingan prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah PMX, melebihi apa yang sepatutnya difokus untuk manfaat masyarakat dalam DUN itu sendiri.

Kajian mengesahkan populariti PMX dan prestasi Kerajaan PMX masih berada pada tahap sederhana dan belum cukup memangkin sokongan terhadap PH-BN yang berkerjasama dalam PRN kali ini. Selain itu, isu-isu seputar kos sara hidup, naik turun harga barang, kejatuhan nilai ringgit, komitmen Kerajaan melawan rasuah dan sebagainya lebih menangkap minda para pengundi.

Walaupun pembangkang dilihat tidak berdaya dalam mengolah isu-isu besar nasional secara tuntas dan menonjolkan prestasi Kerajaan Negeri yang diterajui PAS-PN, serangan bertali arus terhadap Kerajaan kini telah berjaya membina persepsi negatif dalam kalangan pengundi. Secara konsisten, naratif isu-isu ini berjaya digarap ringkas, lebih mudah difahami dan disebar secara meluas melalui media sosial khususnya di Facebook dan Tik Tok.

Dapatan kajian ini juga jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai naratif balas yang komprehensif dan berada dalam posisi kalah perang persepsi yang ditunjangi pembangkang.

Faktor parti lebih kuat, kekuatan calon agak minima tetapi signifikan

Pertimbangan besar pengundi dalam kajian ini tertumpu memberikan undi mereka atas penilaian parti yang bertanding lebih utama berbanding faktor calon dan isu.

Dalam situasi ini kadangkala pemberat tidak seimbang. Di DUN yang mempunyai kekuatan berasaskan parti dicabar oleh calon lawan yang berpengaruh. Misalnya kerusi DUN Hulu Kelang.

Merujuk data, kelebihan lebih kepada PH, namun selepas nama besar seperti Mohamed Azmin Ali mencabar calon payung terjun PH, Juwairiya Zulkifli. DUN itu menjadi sengit dan pengundi sukar menjangkakan siapa yang akan tampil pemenang.

Bagi negeri Kedah, faktor parti menyumbang sebanyak 63 peratus diikuti oleh Pulau Pinang, 60 peratus. Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan seimbang antara faktor parti dan calon. Menariknya di Terengganu ketiga-tiga faktor diterima hampir sama.

Kelantan memaparkan dapatan yang unik dan menarik. Pengundi memang terbuka untuk mempertimbangkan faktor isu terutama berkaitan dengan pembangunan negeri. Sebanyak 53 peratus ini sebenarnya angka yang begitu tinggi.

Dapatan kualitatif menyokong data ini sebenarnya pengundi tempatan sudah tidak tahan dengan kelemahan pentadbiran 33 tahun PAS tetapi mereka tidak nampak harapan mereka ini mampu diperjuangkan atau dipikul oleh BN-PH.

BN-PH ternyata gagal menggembleng tenaga dan memanipulasi isu kelemahan Kerajaan PAS untuk menarik perhatian pengundi.

Di penghujung kempen, muncul kebimbangan jentera PAS berhubung kenyataan Mohd Amar Abdullah akan memberikan kesan kepada undi PAS tetapi ternyata isu itu terlalu lewat.

Prediksi: 3:3 kekal status quo

Selangor dijangka kekal kepada gabungan PH-BN dengan menyaksikan PN melebarkan pengaruh di negeri terkaya di Malaysia ini.

PH-BN mempertaruhkan prestasi cemerlang pentadbiran Kerajaan Negeri memberikan keyakinan terbesar mengapa pengundi di negeri ini masih yakin dengan PH-BN.

Selain itu, undi asas yang dimiliki oleh PH terutama di kalangan pengundi bukan Melayu; Cina dan India kelihatan menjadi deposit tetap kepada gabungan parti ini. Sokongan bukan Melayu seakan tidak berganjak. Kempen agresif PN menakutkan segmen ini dan data kami menunjukkan pengundi bukan Melayu akan keluar tinggi di Selangor.

PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina, India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu.

Ini akan menyempitkan ruang PN menawan negeri ini. Mereka perlu memperolehi 70 peratus dan ke atas sokongan Melayu untuk melepasi jumlah undi untuk menang.

PN berpeluang menambah kerusi di DUN bermajoriti Melayu namun tidak berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri. Kerusi seperti di anjung utara Selangor terdedah kepada penguasaan PN.

Kerusi milik PH seperti Sungai Ramal, Morib dan Hulu Bernam. PKR bergoyang di Sementa dan Sungai Kandis. Hulu Kelang kerusi sengit dan sukar dibuat bacaan.

READ MORE:  2023 state polls: Crucial figures to watch out for

Negeri Sembilan sukar dicabar apabila dua blok PH dan BN bergabung. Di negeri ini, undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar. PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.

Ditambah pula kekuatan PAS dan Bersatu di negeri ini tidak sekuat dan tersusun berbanding lima negeri lain. PN juga bermasalah untuk menampilkan poster boy untuk MB dan ini sedikit sebanyak memberi kesan untuk menarik pengundi di atas pagar kepada gabungan parti itu.

Rumusan untuk Negeri Sembilan hanya tiga DUN berlaku tentangan sengit iaitu Ampangan, Bagan Pinang dan Gemas. Ini sahaja ruang untuk PN menafikan penguasaan total milik PH-BN.

Pulau Pinang lebih tertumpu di DUN majoriti Melayu. Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua – PN berpotensi di sini. Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir, Penanti termasuk dalam kategori sengit. Kerusi lain PH dan BN di hadapan.

Kelantan dan Terengganu berkongsi ciri hampir sama. PAS ternyata selesa dan amat berhati-hati dalam berkempen. Pos parti tidak semeriah dahulu dengan aktiviti membuat jamuan kerana khuatir disabitkan dengan kesalahan pilihan raya.

Perang bendera, Terengganu mengatasi Kelantan. Namun kempen fizikal sangat suram dan tidak mendapat sambutan. Audien yang hadir hanyalah penggerak parti atau orang lama yang meramaikan majlis.

Mengikut data, untuk soalan kerajaan negeri wajar dikekalkan, Kelantan paling rendah dengan hanya 57 peratus bersetuju. Peratus paling rendah antara negeri di bawah pentadbiran PAS. Terengganu sebanyak 61 peratus dan Kedah sebanyak 67 peratus.

Ini memberi makna, terdapat ruang ketidakpuasan hati untuk pengundi menukar kerajaan, tetapi keadaan terjadi sebaliknya selepas penamaan calon.

Di pihak BN dan PH, pengundi menyifatkan gabungan itu tidak serius untuk mengambil alih kerajaan. Ketiadaan tokoh berwibawa terutama di Kelantan menyebabkan pengundi yang mungkin kurang berpuas hati hilang keterujaan untuk mengubah undi mereka kepada gabungan itu.

Kombinasi calon yang kurang meyakinkan, ketiadaan gelombang dengan isu yang kuat dalam kempen menyebabkan pengundi tidak melihat sebagai alternatif sokongan mereka.

Kelantan hanya kerusi Kota Lama dan Galas berpotensi tinggi dan keadaan 50-50 yang memerlukan undi Cina membantu di dua kerusi ini.

Terengganu hanya Telemung jelas untuk menyumbang kerusi. Kerusi lain seperti Kijal, Seberang Takir dan Permaisuri undi putih Umno diperlukan untuk menyaingi PAS. Dun Bandar sengit atas faktor undi bukan Melayu di sini.

Kedah berada di kelas tersendiri. Sepertimana ulasan di atas, faktor Sanusi sudah memadai menyekat hasrat BN dan PH untuk merampas negeri ini. Malah kesilapan strategi kempen menyebabkan kerusi milik PH dan BN dahulu mungkin akan hilang dari genggaman.

Mampu menyapu hampir bersih sekiranya pengundi Cina rendah keluar mengundi. Kerusi Derga, Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang ada peluang buat PH. Undi Umno perlu keluar maksimum bagi DUN Pedu dan Sungai Tiang untuk menang.

Disediakan oleh

PANEL PENYELIDIKAN ILHAM CENTRE

Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif)
Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi)
Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik)
Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan)
Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik)

Latar belakang kajian

Kajian ini mengutip pensampelan berdasarkan populasi mengikut negeri yang dikaji. Sejumlah 2,304 di enam negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan telah memberikan kerjasama dan terlibat dalam kaji selidik fasa kedua selepas hari penamaan calon yang bermula pada 29 Julai sehingga 8 Ogos 2023.

Manakala terdapat 48 responden terlibat dalam temu bual mendalam (in depth – interview) dan yang meliputi kumpulan anak muda, pemimpin tempatan dan wanita.

Bagi kaji selidik secara tatap muka di lapangan, data dikumpul oleh enumerator menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur. Ralat kesilapan ialah 2 peratus dengan tahap keyakinan sebanyak 95 peratus.

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi seluruh enam negeri dengan kaedah pensampelan rawak berstrata meliputi semua peringkat umur, etnik, kumpulan isi rumah, tahap pendidikan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Ilham adalah merupakan sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi awam dan sosioekonomi.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x