Pada 21 November 2019, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh telah mengatakan bahawa negeri Selangor mencatat kes keganasan rumah tangga yang tertinggi dilaporkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sebanyak 27% daripada keseluruhan kes diterima JKM dari Januari hingga Jun 2019 adalah dari negeri Selangor.
Tambahan pula, kajian terkini oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Institut Wanita Berdaya menunjukkan bahawa terdapat kekurangan tempat perlindungan di Kuala Lumpur dan negeri Selangor yang sesuai dengan keperluan mangsa keganasan rumah tangga.
Sehubungan dengan itu, WAO bersama kerajaan negeri Selangor telah melancarkan projek perintis Komuniti Selamat Bersepadu untuk memerangi keganasan rumah tangga. Projek ini telah bermula sejak Oktober 2019 di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor dan Petaling Jaya dan akan diteruskan di lima lagi daerah di Selangor.
Berucap ketika perasmian projek tersebut pada 3 Disember, Melissa Akhir, ketua pembangunan kapasiti WAO, berkata, “WAO menjalankan program-program seranta dan bengkel mengenai keganasan rumah tangga kepada orang awam, responder pertama, serta ketua-ketua komuniti — termasuklah mereka yang terdiri daripada golongan B40 dan pedalaman.
“Kami mensasarkan untuk bekerjasama dengan rakan-rakan penting dalam komuniti untuk melaksanakan ‘Projek Komuniti Selamat Bersepadu’, yang bertujuan untuk mengelakkan dan memerangi keganasan rumah tangga. Dengan sokongan kerajaan negeri Selangor, kami berharap untuk memperkasa hubungan antara komuniti serta menambahbaik sistem respon dan rujukan bagi keganasan rumah tangga.
“Tambahan lagi, kami juga berharap untuk membantu mewujudkan rangkaian pusat perlindungan krisis bagi wanita dan kanak-kanak yang mengalami keganasan rumah tangga. Ini akan meningkatkan akses kepada keadilan dan melindungi hak wanita dan kanak-kanak. WAO komited dalam usaha kerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dalam melaksanakan Projek Komuniti Selamat, demi kepentingan rakyat Selangor.”
Projek berkonsep holistik ini bertujuan memperkasa segenap lapisan masyarakat untuk mencegah dan bertindak balas terhadap keganasan rumah tangga, di mana mereka dilatih untuk merujuk mangsa untuk bantuan dan panduan selanjutnya.
Kerajaan negeri Selangor membiayai tenaga pakar daripada WAO dalam melatih pasukan pemimpin komuniti di setiap daerah untuk merancang tindakan komuniti selamat bersepadu, termasuk mewujudkan tempat selamat untuk mangsa keganasan rumah tangga.
“Impian kami adalah supaya Komuniti Selamat Bersepadu menjadi realiti di Selangor. Bayangkan jika setiap wanita dan kanak-kanak yang mengalami keganasan dapat bergantung kepada masyarakat sekeliling untuk membantu mereka ketika saat krisis. Dan bayangkan jika masyarakat sekeliling, oleh sebab dibekalkan dengan pengetahuan, dapat menyokong mangsa. Pihak berkuasa yang menerima aduan pula, tahu kewajipan mereka dan cara untuk bertindakbalas.
“Komuniti ini juga diperkasa dengan sistem rujukan yang cekap. Mesej ringkasnya: Jangan hanya jadi pemerhati, jadilah komuniti 3K (Kenal, Kendali, Kaitkan) yang dapat membantu dan menyokong mangsa keganasan,” tambah Melissa.
Dengan ini, Komuniti Selamat dilancarkan pada 3 Disember 2019, sempena kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, demi memberdayakan masyarakat untuk menolak keganasan terhadap wanita.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme