
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menggesa kerajaan untuk segera memperbaiki sistem perolehan tender kontrak bangunan kerajaan, seperti perkhidmatan keselamatan dan kebersihan di sekolah dan hospital.
Dalam sidang media kami baru-baru ini, kami telah membentangkan hasil kajian kami yang bertumpu terhadap masalah ketelusan (transparensi) dan akauntabiliti yang sangat berleluasa dikalangan penerima tender kontrak khidmat-khidmat sokongan ini.
Terlalu banyak syarikat yang beroperasi di sekolah kerajaan melanggar undang-undang menindas pekerja dengan tidak memberi gaji minimum, cuti tahunan dan cuti sakit dan terus beroperasi tanpa dikenakan sebarang tindakan. Ada juga syarikat yang terus mendapat tender berulang kali walaupun banyak rekod aduan pekerja dikemukakan.
Kajian kami mendapati beberapa syarikat di sekolah berkait rapat dengan ahli politik dan maklumat latar belakang syarikat sukar diperiksa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, malah terdapat juga syarikat yang tidak melaporkan audit ke suruhanjaya tersebut.
Masalah yang dialami pekerja pembersihan di hospital juga berpunca dari kekebalan kontraktor yang datang dari masalah akauntabilitidan ketidak-telusan. Salah satu puncanya adalah sebab dan informasi penerima tender dilindungi disebalik Akta Rahsia Rasmi 1972.
Untuk laporan penuh yang memperincikan maklumat salahlaku syarikat, kaitan diantara syarikat-syarikat dengan ahli politik, dan kelemahan proses perolehan tender, ia boleh dimuat-turun dari laman web kami.
Dengan itu, kami gesa kerajaan untuk segera ambil-langkah berikut untuk pastikan kebajikan pekerja barisan hadapan ini terjamin;
Sebelum pemberian tender
- Senaraihitamkan syarikat bermasalah/berkaitan ahli politik
- Syarikat sendirian dan berhad dan syarikat berkaitan kerajaan sahaja dibenarkan mohon tender
- Senaraihitamkan syarikat yang disumber-luarkan (subkontrak)
- Tetapkan cagaran/bon sekitar RM200,000 – RM300,000 dalam kes salahlaku
- Cagaran digunakan untuk bayar gaji/elaun pekerja
- Cagaran dilupuskan dalam kes rasuah
Semasa pemberian tender
- Kawal aktiviti Jabatan Urus Setia Perolehan
- Pantau perlantikan ahli lembaga dan pengarah jabatan ini
- Periksa latar belakang supaya tiada lantikan politik
- Libatkan agensi luar seperti NGO dan kesatuan buruh dalam proses penilaian
- Sebab pemilihan dan penolakan pemohon mesti diberitahu umum
Reformasi undang-undang
- Mansuhkan perlindungan maklumat pemohon di sebalik Akta Rahsia Rasmi 1972
- Semua maklumat mesti dedah kepada umum
Reformasi Institusi
- Kuasa pendakwaan ketua pengarah Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia mesti dibebaskan dari pengaruh
peguam negara - Lantikan ketua pengarah suruhanjaya juga mesti melalui proses pengundian dan hanya boleh dilucutkan jawatan oleh Agong
Hak pekerja
Hak pekerja seperti yang termaktub dalam Akta Kerja 1955 mesti disertakan dalam klausa tender dan diwajibkan untuk memastikan hak pekerja terjamin.
Reformasi selepas pemberian tender
Bentuk jawatankuasa audit yang terdiri daripada NGO dan kesatuan buruh untuk audit prestasi kontraktor, untuk pastikan tender tidak diberi kepada syarikat yang tidak layak dan mencurigakan.
Kami akan mengutarakan hasil kajian dan cadangan pembaharuan kepada ahli-ahli parlimen, kementerian-kementerian berkenaan termasuk sumber manusia dan kewangan dan juga pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.
Danial Hakeem Azman ialah kordinator nasional Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.